#1460: Air Yasin Digunakan Untuk Mencuci Kedai

 

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. saya nak tanya, boleh ke air yang telah dibaca surah Yasin beramai-ramai, dijadikan sebagai ikhtiar dengan air tersebut digunakan untuk membasuh kedai. Begitu juga soalan, menggunakan al-Quran atau nama-nama Allah SWT dengan tulisan yang dipanggil sebagai nasyrah boleh atau tidak? Terima kasih ustaz.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَنُنَزِّلُ مِنَ الْقُرْآنِ مَا هُوَ شِفَاءٌ وَرَحْمَةٌ لِّلْمُؤْمِنِينَ

Maksudnya: “Dan Kami turunkan dengan beransur-ansur dari Al-Quran Ayat-ayat Suci yang menjadi ubat penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman kepadanya,”

(Surah al-Isra’: 82)

Qatadah mentafsirkan firman Allah SWT: Dan Kami turunkan dengan beransur-ansur daripada al-Quran ayat-ayat suci yang menjadi ubat penawar dan rahmat, dengan berkata: Firman Allah SWT ini didengar oleh orang yang beriman, lalu mereka dapat mengambil manfaat daripadanya, bahkan menghafal dan memerhatikannya. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 8/4014)

Menjawab persoalan di atas, para fuqaha’ telah mengharuskan untuk merawat pesakit degan memohon kesembuhan secara membaca al-Quran. Ibn Abidin berkata: Keharusan ini telah diamalkan oleh orang ramai sampai ke hari ini dan thabit dengan hadis atau athar.

Imam al-Nawawi berkata: Sunat membaca kepada orang yang sakit dengan al-Fatihah berdasarkan hadith Nabi SAW:

وَمَا أَدْرَاكَ أَنَّهَا رُقْيَةٌ ؟

Maksudnya: “Tidakkah kamu ketahui bahawa surah Fatihah bersifat ruqyah.”

Riwayat al-Bukhari (5736) dan Muslim (2201)

Kelebihan surah al-Fatihah ini dapat dirujuk kepada peristiwa bagaimana seorang sahabat Rasulullah SAW bernama Abu Sa’id al-Khudri R.A yang telah menjampi seorang ketua kabilah yang terkena sengatan binatang berbisa. Beliau membaca al-Fatihah untuk merawat dan dengan izin Allah SWT, ketua kabilah itu sembuh seperti sediakala. Kisah tersebut dirakamkan melalui hadith berikut:

Daripada Abi Sa’id al-Khudri R.A:

أَنَّ نَاسًا مِنْ أَصْحَابِ رَسُولِ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- كَانُوا فى سَفَرٍ فَمَرُّوا بِحَىٍّ مِنْ أَحْيَاءِ الْعَرَبِ فَاسْتَضَافُوهُمْ فَلَمْ يُضِيفُوهُمْ. فَقَالُوا لَهُمْ هَلْ فِيكُمْ رَاقٍ فَإِنَّ سَيِّدَ الْحَىِّ لَدِيغٌ أَوْ مُصَابٌ. فَقَالَ رَجُلٌ مِنْهُمْ نَعَمْ فَأَتَاهُ فَرَقَاهُ بِفَاتِحَةِ الْكِتَابِ فَبَرَأَ الرَّجُلُ فَأُعْطِىَ قَطِيعًا مِنْ غَنَمٍ فَأَبَى أَنْ يَقْبَلَهَا. وَقَالَ حَتَّى أَذْكُرَ ذَلِكَ لِلنَّبِىِّ -صلى الله عليه وسلم-. فَأَتَى النَّبِىَّ -صلى الله عليه وسلم- فَذَكَرَ ذَلِكَ لَهُ. فَقَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ وَاللَّهِ مَا رَقَيْتُ إِلاَّ بِفَاتِحَةِ الْكِتَابِ. فَتَبَسَّمَ وَقَالَ « وَمَا أَدْرَاكَ أَنَّهَا رُقْيَةٌ ». ثُمَّ قَالَ : خُذُوا مِنْهُمْ وَاضْرِبُوا لِى بِسَهْمٍ مَعَكُمْ

Maksudnya: “Sesungguhnya beberapa orang daripada kalangan sahabat Rasulullah SAW sedang berada dalam perjalanan. Mereka pergi ke salah sebuah kampung Arab dan mereka berharap agar boleh menjadi tetamu kepada penduduk kampung tersebut.

Namun ternyata penduduk kampung itu tidak mahu menerima mereka. Tetapi ada yang bertanya: “Adakah ada antara kamu yang boleh menjampi? Ini kerana penghulu kampung kami terkena sengat.” Salah seorang dari para sahabat menjawab: “Ya, ada.” Lalu beliau menemui ketua kampung tersebut dan menjampinya dengan surah al-Fatihah.

Kemudian ketua kampung tersebut sembuh, maka sahabat tersebut diberi beberapa ekor kambing. Beliau tidak mahu menerimanya dan mengajukan syarat: “Aku akan menyampaikannya kepada Nabi SAW,” beliau pun pulang menemui Nabi SAW dan menyatakan pengalaman tersebut. Beliau berkata: “Ya Rasulullah! Demi Allah, aku hanya menjampi dengan surah al-Fatihah.” “Bagaimana engkau tahu bahawa al-Fatihah itu memang merupakan jampi?” Kemudian Baginda bersabda lagi: “Ambillah pemberian daripada mereka dan pastikan aku mendapatkan bahagian bersama kamu.”

Riwayat Muslim (5863)

Berkenaan dengan menggunakan al-Quran melalui tulisan atau nama-nama Allah yang dipanggil sebagai nasyrah, kemudian dibasuhnya dengan air, kemudian disapu kepada pesakit atau diberi minum, maka Sa’id bin al-Musayyib mengharuskannya. (Lihat Tafsir al-Qurtubi, 10/318 dan al-Adab al-Syar’iyyah, 3/73)

Pendapat yang sama di kalangan mazhab Hanbali dan sebahagian Syafie, antara mereka ialah al-‘Imad al-Nihi, murid kepada al-Imam al-Baghawi berkata: Tidak harus menelan perca tulisan al-Quran yang terdapat padanya ayat tetapi kalau dibasuh dan diminum, hukumnya adalah harus. Inilah yang dijazamkan oleh al-Qadhi Husain dan al-Rafi’i dengan mengharuskan setiap makanan yang tertulis atasnya sesuatu daripada al-Quran. (Lihat al-Burhan fi Ulum al-Quran, 1/476, Kassyaf al-Qina’, 2/77, Syarh Muntaha al-Iradat, 1/320 dan Matalib Uli al-Nuha, 1/836)

Ibn Abd al-Bar berkata: al-Nasyrah termasuk dari jenis perubatan iaitu dengan cara basuhan sesuatu. Ia samalah seperti wuduk Rasulullah SAW. (Lihat Tafsir al-Qurtubi, 10/319)

Walaupun masalah ini menjadi khilaf seperti ditegah oleh al-Hasan dan Ibrahim al-Nakhaie, akan tetapi sebahagian ulama mengharuskannya berdasarkan hadis, daripada Jabir bin Abdillah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنِ اسْتَطَاعَ مِنْكُمْ أَنْ يَنْفَعَ أَخَاهُ فَلْيَفْعَلْ

Maksudnya: “Dan sesiapa di kalangan kamu mampu memberi manfaat kepada saudaranya maka lakukanlah.”

Riwayat Muslim (5859)

Kita sedia maklum terdapat fadhilat dan kelebihan yang terkait dengan surah Yasin. Walaupun sebahagian dalil-dalilnya bersifat dhaif, tetapi dalam bab fadhail a’mal, ia dibolehkan mengikut sebahagian ulama. 

Justeru benarlah al-Quran menjadi syifa’ dan penawar kepada penyakit. Semoga Allah selamatkan kita daripada penyakit kronik dan menjadikan kita cinta kepada Al-Quran.

Bertarikh: 9 Mei 2022 bersamaan 20 Syawal 1444H