Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri, apa hukum baca al-Quran dalam keadaan tidak menutup aurat?
Jawapan
Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.
Pada asasnya, termasuk daripada adab membaca al-Quran adalah dengan menutup aurat secara sempurna. Berpakaian menutup aurat ketika membaca al-Quran adalah salah satu bentuk memuliakan syiar (lambang) kepada Islam itu sendiri. Firman Allah SWT:
ذَٰلِكَ وَمَن يُعَظِّمْ شَعَائِرَ اللَّهِ فَإِنَّهَا مِن تَقْوَى الْقُلُوبِ
Maksudnya: “Demikianlah (ajaran Allah) dan sesiapa yang menghormati Syiar-syiar agama Allah maka (dialah orang yang bertakwa) kerana sesungguhnya perbuatan itu satu kesan dari sifat-sifat takwa hati orang mukmin.”
(Surah al-Hajj:32)
Al-Hakim al-Turmuzi menyebut bahawa antara cara kita menghormati dan mengagungkan al-Qur’an adalah dengan cara:
أَنْ تَتَلَبَّسَ لَهُ كَمَا تَتَلَبَّسَ لِلدُّخُولِ عَلَى الْأَمِيرِ لِأَنَّكَ مُنَاجٍ
Maksudnya: “Hendaklah kamu berpakaian seperti mana kamu berpakaian ketika ingin bertemu seorang raja untuk meminta sesuatu permintaan.” (Lihat Nawadir al-Usul fi Ma’rifati Ahadith al-Rasul, 2/240)
Bahkan, sikap para salafus soleh ketika berhubung dengan al-Quran sangat mengagumkan. Dinyatakan:
وَكَانَ أَبُو الْعَالِيَةِ إِذَا قَرَأَ اعْتَمَّ وَلَبِسَ وَارْتَدَى وَاسْتَقْبَلَ الْقِبْلَةَ.
Maksudnya: “Diceritakan bahawa Abu al-‘Aliyah ketika ingin membaca al-Quran, maka beliau akan mengenakan serban dan memakai pakaian yang indah, serta akan menghadap kiblat.”
(Lihat Tafsir al-Qurtubi, 1/27; Tafsir Hada’iq al-Ruh wa al-Raihan, 1/57; Tafsir al-Quran al-Karim, 10/783)
Berbalik kepada isu di atas, kami nukilkan fatwa daripada bekas Mufti Mesir, Syeikh ‘Atiyah Saqr yang menyebut dalam fatwanya:
“Diharuskan/dibolehkan seorang wanita membaca al-Quran dengan kepala terdedah atau dengan berpakaian yang biasa dipakai dalam rumah, asalkan tidak ada lelaki ajnabi yang melihatnya. Namun yang terbaik adalah dia memakai pakaian yang menutup aurat dengan sempurna, berwudhu’ dan menghadap ke arah kiblat, supaya bertambah pahalanya.” (Lihat Fatawa Dar al-Ifta’ al-Misriyyah, 8/419 – Syeikh ‘Atiyyah Saqr, Mei 1997)
Begitu juga, fatwa Syeikh Dr Ali Jumu’ah yang menyebut:
ويجوز للسيدة أن تقرأ القرآن دون حجاب، ولا شيء عليها في ذلك
Maksudnya: “Dan harus bagi perempuan bahawa dia membaca al-Quran dalam keadaan tidak berhijab dan tiada suatu (kesalahan) atas perempuan itu pada yang demikian itu.”
Begitu juga fatwa yang dinyatakan oleh Mufti Jordan, Dr. Nuh ‘Ali Salman ketika ditanya tentang hukum perempuan yang tidak menutup aurat dengan tidak memakai hijab ketika membaca ayat al-Quran. Kata beliau:
نعم يجوز؛ لأنه ليس من شروط قراءة القرآن أن تكون المرأة محتجبة، ولكن يستحب لها ذلك كي تكون متهيئة لسجود التلاوة أثناء القراءة، فستر العورة من شروط صحة سجود التلاوة كما هو من شروط صحة الصلاة، والمهم أن لا تهجر قراءة القرآن. والله أعلم.
Maksudnya: “Ya, boleh (bagi perempuan yang tidak menutup aurat untuk membaca al-Quran), kerana sesungguhnya bukanlah syarat untuk membaca al-Quran itu adalah mesti berhijab. Meskipun begitu, sunat hukumnya bagi perempuan (untuk menutup aurat) supaya dia dapat bersedia untuk melakukan sujud tilawah ketika sedang membaca ayat al-Quran (apabila sampai pada ayat yang ada sujud tilawah). Maka, menutup aurat merupakan syarat sah untuk sujud tilawah, sebagaimana menutup aurat juga merupakah syarat sah solat. Namun, yang paling penting, janganlah sampai meninggalkan bacaan al-Quran.”
Penutup
Dalam menjawab persoalan di atas, sunat bagi seseorang untuk membaca al-Quran dalam keadaan menutup aurat. Justeru, alangkah eloknya kita dapat menjaga adab-adab ketika membaca al-Quran. Hal ini kerana al-Quran merupakan sebuah kitab agung yang diturunkan oleh Allah SWT kepada sekalian manusia.
Namun begitu, sekiranya seseorang membaca al-Quran dalam keadaan tidak menutup aurat, maka tidaklah menjadi kesalahan ke atasnya dan hukumnya adalah harus kerana tidak ada sebarang dalil yang menegah perkara tersebut. Wallahu a’lam.
Bertarikh: 9 Mei 2022 bersamaan 20 Syawal 1444H