Soalan:
Assalamualaikum w.b.t. Saya ada satu soalan. Saya melihat banyak permainan “claw crane” diletakkan di dalam pasaraya. Soalannya, bolehkah kita sebagai seorang Muslim bermain permainan tersebut? Mohon pencerahan. Terima kasih.
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t.
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Claw Crane atau dikenali juga sebagai mesin ‘claw’ adalah sejenis permainan arked yang menggunakan cakar besi dalam memperolehi barangan-barangan yang dipertaruhkan di dalam mesin tersebut. Matlamat permainan ini adalah untuk memanipulasi cakar di dalam mesin tersebut bagi merebut hadiah yang dikehendaki di dalamnya, yang kemudiannya dikeluarkan dan dikumpulkan oleh pemain jika mereka berjaya.
Secara khususnya, praktikal dalam permainan ini mempunyai unsur perjudian yang diharamkan oleh syariat agama Islam. Firman Allah SWT:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا إِنَّمَا الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالْأَنْصَابُ وَالْأَزْلَامُ رِجْسٌ مِنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ فَاجْتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, judi, pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) daripada perbuatan syaitan. Oleh itu, hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.”
(Surah al-Ma’idah: 90)
Fakhruddin al-Razi dalam kitab tafsirnya, ketika membincangkan berkenaan hikmah daripada larangan dan pengharaman judi menyebut bahawa dosa dan keburukan kedua-duanya boleh membawa kepada kepada permusuhan, mengutuk-ngutuk dan pertelingkahan; serta merupakan suatu bentuk pengambilan harta orang lain secara batil. Di samping itu, ia juga melalaikan manusia daripada mengingati Allah SWT dan mengerjakan solat.
Beliau menjelaskan lagi, pertaruhan di dalam perjudian akan menimbulkan perasaan ingin cuba menang, terutama setelah mengalami kekalahan sehingga semua harta akhirnya habis digunakan untuk berjudi sehinggakan ada yang sanggup menggadaikan isteri dan anak-anak. Tentunya si kalah judi ini akan jatuh miskin dan menyimpan dendam kesumat terhadap lawannya yang telah menang dan merampas harta bendanya, sehingga berlakulah permusuhan dan benci-membenci yang berpanjangan di dalam masyarakat.
Dari segi agama pula, si penjudi akan jauh hatinya daripada mengingati Allah dan mengerjakan solat kerana disibukkan dengan harapan untuk menang, atau marah kerana kalah judi. Bahkan sekiranya dia menang sekalipun, nescaya kemenangannya itu akan terus menenggelamkannya dalam kesibukan demi kesibukan, sehingga dia tidak ingat selain daripada harta yang dimenanginya itu sahaja. (Lihat Mafatih al-Ghaib, 6/49 dan 12/82).
Selain itu, Ibn Taimiyyah juga ada menyatakan bahawa mafsadah judi adalah lebih besar daripada mafsadah riba kerana terdapat dua mafsadah di dalamnya. Pertamanya, mafsadah memakan harta secara haram. Kedua, mafsadah perkara lalai yang haram; yang menghalang pelakunya daripada mengingati Allah SWT, lalai daripada mengerjakan solat serta menimbulkan permusuhan dan kebencian. Disebabkan itulah, diharamkan judi sebelum pengharaman riba. (Lihat Majmu‘ al-Fatawa, 32/337).
Tambahan lagi, pengarang al-Fiqh al-Manhaji turut menyatakan, setiap permainan yang berdasarkan nasib dan yang membantutkan akal fikiran seperti permainan dadu, daun terup (yang mempunyai unsur pertaruhan) dan sebagainya adalah haram. Ini kerana permainan ini membiasakan diri untuk bergantung kepada nasib dalam setiap perkara yang dilakukan. Ini menjadikan mereka menyangka bahawa nasib adalah penentu segala-galanya dalam dunia ini. Permainan jenis ini sebenarnya memberi banyak kesan negatif kepada diri manusia. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 8/146).
Selain daripada itu, konsep yang diketengahkan dalam permainan mesin ‘claw’ ini juga adalah menafikan hak pembeli dalam memilih barangan yang dikehendakinya dan disukainya dengan harga yang setimpal dengan apa yang telah dibayar. Justeru, situasi ini adalah melanggar prinsip-prinsip jual-beli yang sepatutnya ada seperti khiyar (pilihan). Dalam mengklasifikasikan sesuatu permainan sebagai judi, para ulama telah mensyaratkan ciri-ciri berikut:
- Ia disertai oleh dua orang atau lebih atau dua kumpulan manusia atau lebih.
- Setiap pihak mempertaruhkan sesuatu harta atau manfaat.
- Mana-mana pihak yang menang akan memperolehi harta atau manfaat dari pihak yang kalah di samping menyimpan harta dan manfaat yang ia pertaruhkan. (Lihat Halal dan Haram dalam Islam, hlm. 427).
Kesimpulannya
Berdasarkan kepada kenyataan dan perbincangan di atas, kami berpendapat bahawa permainan mesin ‘claw’ ini adalah haram dan dilarang. Lebih-lebih lagi, permainan tersebut secara langsung dilihat sebagai menafikan serta mengabaikan hak pemain selaku pembeli untuk memilih barangan yang dikehendakinya setimpal dengan harga yang dibayar. Selain itu, permainan seperti ini juga dilihat lebih kepada keberuntungan nasib pemain semata-mata. Maka, oleh sebab itu jelas ia mirip kepada perjudian dan tidak dibenarkan di dalam Islam.
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.
Wallahu a‘lam.
Bertarikh: 11 Mei 2023 bersamaan 22 Syawal 1444H