Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apakah yang dimaksudkan dengan emas yang dipakai yang dikecualikan dari dikenakan zakat. Adakah emas ini perlu sentiasa dipakai? Bagaimana dengan emas yang hanya dipakai sekejap-sekejap atau setahun sekali. Adakah ia masih perlu dikenakan zakat?
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Diriwayatkan daripada Jabir bin Abdillah, sabda Rasulullah SAW:
ليسَ في الحليِّ زكاةٌ
Maksudnya: “Tiada zakat pada barang kemas (perhiasan wanita).”
Riwayat Al-Daruqutni (1926). Kata Abu Hamzah: Di dalam sanad hadith ini terdapat Maimun, orang yang menyebabkan hadith ini menjadi dhaif.
Hadith tersebut dikuatkan lagi dengan contoh perbuatan (آثار) sahabat R.Anhum:
أَنَّ عَائِشَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهَا كَانَتْ تَلِي بَنَاتِ أَخِيهَا يَتَامَى فِي حَجْرِهَا لَهُنَّ الْحُلِيُّ، فَلاَ تُخْرِجُ مِنْ حُلِيِّهِنَّ الزَّكَاةَ. وَأَنَّ عَبْدَ اللَّهِ بْنَ عُمَرَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُمَا كَانَ يُحَلِّي بَنَاتِهِ وَجَوَارِيَهُ الذَّهَبَ، ثُمَّ لاَ يُخْرِجُ مِنْ حُلِيِّهِنَّ الزَّكَاةَ
Maksudnya: “Aisyah R.Anha memelihara beberapa orang anak perempuan saudara lelakinya yang yatim. Mereka mempunyai barang kemas emas dan perak, dan dia tidak mengeluarkan zakatnya. Manakala Abdullah bin Umar R.Anhuma pula telah memakaikan anak perempuan dan khadam perempuannya barang kemas. Dia juga tidak mengeluarkan zakat barang kemas tersebut.”
Riwayat Malik. (Lihat al-Muwatta’, 1/250)
Imam al-Syafi‘ie Rahimahullah meriwayatkan:
أَنَّ رَجُلاً سَأَلَ جَابِرَ بْنَ عَبْدِ اللهِ رَضِيَ اللهُ عَنْهُمَا عَنِ الْحُلِيِّ: أَفِيهِ زَكَاةٌ؟ فَقَالَ: لاَ
Maksudnya: “Seorang lelaki bertanya kepada Jabir bin Abdullah R.Anhuma tentang barang kemas: Adakah wajib zakat? Kata Jabir: Tidak.” (Lihat al-Umm, 2/34-35)
Dr. Yusuf al-Qaradhawi berkata dalam Fatawa al-Mu’asirah (Fatwa Masa Kini): “Perkara yang telah sedia maklum, bahawa para fuqaha berselisih pendapat tentang kewajipan zakat terhadap perhiasan wanita jika ia terdiri daripada emas dan perak.”
Mazhab Abu Hanifah mengatakan wajib zakat ke atasnya apabila telah cukup nisab, sama ada cukup nisab itu tanpa dicampurkan dengan harta lain ataupun dicampurkan dengan harta lain.
Adapun bagi mazhab Maliki, Syafie dan Hanbali, perhiasan yang harus dan digunakan untuk kegunaan biasa, mereka mengatakan bahawa tidak diwajibkan zakat ke atasnya.
Manakala perhiasan yang haram digunakan adalah diwajibkan zakat ke atasnya, seperti perkakas atau perhiasan rumah dan barang kemas bagi lelaki, kecuali cincin perak. Barang-barang tersebut walaupun telah hilang suburnya sebab digunakan, tetapi sebab tersebut tidak diambil kira kerana menggunakannya adalah haram. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/650)
Pendapat inilah yang saya tarjih (benarkan) dan fatwakan, berdasarkan dalil-dalil yang telah saya huraikan dengan panjang lebar di dalam buku Fiqh al-Zakah (1/265).
Walaupun begitu, kebanyakkan Majlis Agama Islam melalui Pusat Pungutan Zakat masing-masing dan fatwa yang diputuskan bahawa zakat perhiasan dikenakan jika sekiranya banyak serta cukup haul yakni setahun Qamariah.
Adapun persoalan daripada puan, saya berpendapat tidaklah perlu dipakai setiap hari tetapi digunakan untuk perhiasan dan pakaiannya. Maka, tidak dikenakan zakat kecuali melebihi nisab atau jumlah yang banyak. Saya syorkan sebaik mungkin rujuklah ke Pusat Pungutan Zakat Negeri yang anda berada dan tanyalah dari sudut jumlah serta nisab zakat yang dikenakan.
Semoga kita semua menjadi golongan yang mendirikan solat dan menunaikan zakat. Amin.
Bertarikh: 12 Mei 2023 bersamaan 23 Syawal 1444H