#149 Hutang Yang Tidak Diketahui Warisnya

Soalan

Bagaimana cara membayar hutang kepada orang mati yang tidak diketahui warisnya?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Dalam bahasa Arab hutang disebut sebagai al-qardh (القَرضَ). Al-Qardh dari segi bahasa bermaksud potong. Menurut kamus al-Misbah al-Munir: ‘قَرَضْتُ الشَّيْءَ قَرْضًا’ bermaksud saya memotong sesuatu. Kata nama perkataaan ini pula membawa maksud satu barangan yang diberikan kepada seseorang sebagai hutang. Perkataan ini digunakan dalam bahasa Arab kerana ia  (hutang) memotong hak pemilik terhadap barangan tersebut. (Lihat al-Misbah al-Munir, 2/497).

Menurut istilah para fuqaha’, hutang ialah memberi hak milik sesuatu barangan kepada orang lain dengan syarat orang tersebut memulangkan semula gantinya tanpa sebarang tambahan. Dalam bahasa Arab, proses ini dinamakan qardh kerana proses ini menyebabkan tuan punya barangan memotong sebahagian hak miliknya untuk diberikan kepada kepada penghutang. Ini sesuai dengan makna qardh dari segi bahasa. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 4/121-122).

Dalam isu menerima dan memberi hutang, penekanan yang amat serius diberikan oleh Allah SWT sehinggakan terdapat dalam al-Quran satu ayat yang cukup panjang  yang membicarakan berkenaan hutang-piutang ini secara terperinci. Berikut adalah firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا تَدَايَنتُم بِدَيْنٍ إِلَىٰ أَجَلٍ مُّسَمًّى فَاكْتُبُوهُ

Maksudnya:Wahai orang-orang Yang beriman! apabila kamu menjalankan sesuatu urusan Dengan hutang piutang Yang diberi tempoh hingga ke suatu masa Yang tertentu maka hendaklah kamu menulis (hutang dan masa bayarannya).”

(Surah al-Baqarah: 282)

Perkara-perkara yang digalakkan ketika berhutang berdasarkan ayat di atas:

  • Mencatat hutang (isi surat hutang itu dengan jelas).
  • Penulis hutang adalah daripada orang yang adil.
  • Janganlah mengurangkan sesuatu pun dari hutang tersebut.
  • Bagi orang yang lemah, perlu diwakilkan kepada wali.
  • Mendatangkan saksi (dua lelaki atau seorang lelaki dan dua orang perempuan).
  • Bertakwalah kepada Allah SWT sepanjang melaksanakan muamalah tersebut.

 Merujuk kepada persoalan di atas, bagi penghutang yang tidak mampu untuk mengembalikan semula harta yang dihutanginya kepada tuannya (telah mati), maka penghutang tersebut wajib mengembalikan harta tersebut kepada ahli waris si mati. Namun begitu, jika penghutang tidak tidak menjumpai mana-mana waris si mati untuk dipulangkan harta tersebut, maka harta tersebut boleh disalurkan kepada maslahat kaum muslimin. Ataupun, harta tersebut boleh disedekahkan kepada fakir miskin.

Imam al-Nawawi menukilkan pandangan Imam al-Ghazali yang mengatakan: Barangsiapa yang menyimpan harta haram (harta yang bukan miliknya, termasuk hutang) dan dia hendak bertaubat dari perbuatannya, serta hendak berlepas diri dari harta haram tersebut, hendaklah dia mencari si pemilik sah harta itu. Apabila si pemilik sah sudah meninggal dunia, hendaklah harta itu diserahkan kepada ahli warisnya. Namun jika si pemilih sah dan ahli warisnya tidak diketahui juga, hendaklah harta tersebut disalurkan kepada maslahat kaum muslimin, seperti membina jambatan, masjid, menjaga perbatasan negara islam dan sektor lain yang bermanfaat untuk seluruh kaum muslimin. Atau boleh juga disumbangkan kepada fakir miskin” (Lihat Majmu’ Syarh Muhazzab, 9/351).

Dalam Kitab Syarh Riyad al-Solihin, penulisnya berkata boleh juga harta yang dihutangi tersebut disedekahkan atas nama pemilik harta dengan ikhlas kerana Allah SWT serta diniatkan pahala kepada tuannya, Maka hutang tersebut dapat disedekahkan atas namanya dengan ikhlas. Dan Allah SWT mengetahui hal ini dan akan menunaikan hal ini dan menunaikan kepada orang tersebut (pemilik harta).” (Lihat Syarh Riyad al-Salihin, 1/89).

KESIMPULAN

Hutang adalah satu perkara yang amat besar kesannya dalam kehidupan seorang muslim di dunia mahupun akhirat. Lebih-lebih lagi, jika hutang tersebut melibatkan hak-hak manusia yang semestinya diselesaikan terlebih dahulu semasa hidup. Berdasarkan hujah-hujah di atas, kami berpandangan bahawa penghutang itu mesti berusaha bersungguh-sungguh untuk mencari warisnya (si mati) untuk melunaskan hutangnya. Namun sekiranya dia tidak menjumpai setelah berusaha bersungguh-sungguh, maka duit atau harta yang dihutangi tersebut perlulah diserahkan kepada baitulmal negeri masing-masing agar ianya dapat digunakan bagi maslahat umum.

Setiap penghutang perlulah mempunyai keazaman untuk melangsaikan hutangnya dengan apa cara sekalipun. Bagi mereka yang mampu untuk menyelesaikan hutangnya, maka bersegeralah dalam menunaikan perbuatan tersebut.

Daripada Abu Hurairah RA, Nabi SAW bersabda:

مَطْلُ الْغَنِيِّ ظُلْمٌ، فَإِذَا أُتْبِعَ أَحَدُكُمْ عَلَى مَلِيٍّ فَلْيَتْبَعْ

Maksudnya:Menunda pembayaran bagi orang mampu merupakan satu kezaliman, barangsiapa yang (hutangnya) dilimpahkan kepada seseorang, maka hendaklah dia menurutinya.”

Riwayat al-Bukhari (2288)

Dengan penjelasan ini, diharap mampu untuk membuka ruang fikir umat Islam untuk bersegera dalam menunaikan hak-hak(hutang) orang lain. Ini kerana, amat buruk pembalasan bagi sesiapa yang melengah-lengahkan serta memakan harta orang lain. Demikian, tidak boleh ada alasan lagi untuk mengelakkan dari melunaskan hak orang lain yang terdapat dalam harta kita.

Wallahua`lam.

Bertarikh 2 Disember 2021 M bersamaan 27 Rabiul Akhir 1443 H