#1490: Nazar untuk Selawat Jika Tengok Perkara Lucah

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya dulu pernah bernazar “Jika saya tengok perkara lucah maka saya akan selawat 10 ribu kali.” Sekarang saya sudah tidak tahu berapa banyak kali dan sekarang saya menyesal. Bagaimana saya ingin batalkan nazar saya? bahawa saya ingin selawat pada nabi dalam keadaan bukan kerana hutang lagi tapi kerana saya sendiri ingin selawat moga ustaz boleh bantu saya.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pada asasnya, nazar dari sudut bahasa membawa erti berjanji melakukan kebaikan atau kejahatan. Manakala dari sudut istilah, nazar ditakrifkan sebagai :

اِلْتِزَامُ قُربُةِ لَم تَتَعَيَّن فِي الشَّرْعِ، إِمَّا مُطْلَقًا، أَوْ مُعَلَّقًا عَلَى شَيْء

Maksudnya: Mewajibkan ke atas diri sendiri suatu perbuatan qurbah (ibadah yang mendekatkan diri dengan Allah) yang tidak diwajibkan oleh syara’ (ke atas dirinya), sama ada secara mutlak atau pun dengan menta’liqkan (iaitu mengaitkan) dengan suatu perkara. (Lihat al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘ie, 2/501)

Hukum melaksanakan tuntutan nazar adalah wajib sekiranya ia merupakan suatu amal ketaatan. Ini berdasarkan firman Allah SWT:

وَلْيُوفُوا نُذُورَهُمْ

Maksudnya: “Dan hendaklah mereka menyempurnakan nazar-nazar mereka.”

(Surah Al-Hajj: 29)

Demikian juga berdasarkan sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Ummu al-Mu’minin A’isyah R.Anha beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ نَذَرَ أَنْ يُطِيعَ اللَّهَ فَلْيُطِعْهُ، وَمَنْ نَذَرَ أَنْ يَعْصِيَهُ فَلاَ يَعْصِهِ

Maksudnya: “Sesiapa yang bernazar untuk mentaati Allah maka hendaklah dia mentaatinya. Dan sesiapa yang bernazar untuk bermaksiat kepadanya maka janganlah dia bermaksiat kepadanya.”

Riwayat al-Bukhari (6696)

Namun, jika seseorang tidak mampu dan mahu membatalkan nazar tersebut, maka dituntut ke atasnya untuk membayar kafarah sumpah.

 مَنْ نَذَرَ نَذْرًا وَلَمْ يُسَمِّهِ فَكَفَّارَتُهُ كَفَّارَةُ يَمِينٍ 

Maksudnya: “Sesiapa yang bernazar dengan satu nazar, namun dia tidak mampu melakukannya, maka kafarahnya adalah kafarah sumpah.”

Riwayat Muslim (1645), Abu Dawud (3323), al-Tirmizi (1528), al-Nasa’ie (3832), Ahmad (17301) dan Ibn Majah (2127)

Maka wajib pada dirinya untuk menunaikan dengan menggantikan dengan menunaikan kafarah sumpah itu iaitu:

  • Memberi makan kepada sepuluh orang miskin; atau
  • Memberi pakaian kepada sepuluh orang miskin; atau
  • Memerdekakan seorang hamba sahaya.

Jika tiga perkara tersebut tidak dapat untuk ditunaikan, maka orang tersebut perlu menunaikan puasa selama 3 hari. Hal tersebut telah difirmankan oleh Allah SWT di dalam al-Quran:

لا يُؤَاخِذُكُمُ اللَّهُ بِاللَّغْوِ فِي أَيْمَانِكُمْ وَلَكِنْ يُؤَاخِذُكُمْ بِمَا عَقَّدْتُمُ الأيْمَانَ فَكَفَّارَتُهُ إِطْعَامُ عَشَرَةِ مَسَاكِينَ مِنْ أَوْسَطِ مَا تُطْعِمُونَ أَهْلِيكُمْ أَوْ كِسْوَتُهُمْ أَوْ تَحْرِيرُ رَقَبَةٍ فَمَنْ لَمْ يَجِدْ فَصِيَامُ ثَلاثَةِ أَيَّامٍ ذَلِكَ كَفَّارَةُ أَيْمَانِكُمْ إِذَا حَلَفْتُمْ وَاحْفَظُوا أَيْمَانَكُمْ كَذَلِكَ يُبَيِّنُ اللَّهُ لَكُمْ آيَاتِهِ لَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ

Maksudnya: “Allah SWT tidak menghukum kamu disebabkan sumpah-sumpahmu yang tidak dimaksud (untuk bersumpah), tetapi Dia menghukum kamu disebabkan sumpah-sumpah yang kamu sengaja, Maka kafarah (melanggar) sumpah itu ialah memberi Makan sepuluh orang miskin, iaitu dari makanan yang biasa kamu berikan kepada keluargamu atau memberi pakaian kepada mereka atau memerdekakan seorang budak. Barang siapa tidak sanggup melakukan yang demikian, Maka kafarahnya puasa selama tiga hari. yang demikian itu adalah kafarah sumpah-sumpahmu bila kamu bersumpah (dan kamu langgar). dan jagalah sumpahmu. Demikianlah Allah menerangkan kepadamu hukum-hukum-Nya agar kamu bersyukur (kepada-Nya).”

(Surah al-Maidah: 89)

Syeikh al-Sabuni berkata: Wajib dilaksanakan kaffarah sumpah mengikut turutan kemampuan seperti berikut:

  • Membebaskan hamba yang beriman.
  • Memberi makanan yang mengenyangkan kepada 10 orang fakir miskin.
  • Lazimnya makanan asasi yang dimakan oleh keluarga. Boleh juga disediakan wang dengan nilai makanan tersebut.
  • Membekalkan pakaian yang lengkap kepada 10 fakir miskin.
  • Jika tidak dapat menyediakan perkara tadi maka hendaklah berpuasa selama tiga hari.  (Lihat Safwah al-Tafasir, 1/263)

Penutup

Saya cadangkan agar saudara banyakkan selawat sebagai mana iltizam saudara yang bersifat harian. Seterusnya, saudara beristighfar dan bertaubat kepada Allah SWT. Pilihlah rakan taulan yang baik dan bergaullah dengan mereka. Begitu juga, aktivitikan masa lapang atau terluang yang memungkinkan saudara melihat video porografi dengan majlis ilmu atau perbincangan yang berfaedah dengan rakan-rakan yang lain. 

Di samping itu, banyakkan baca al-Quran secara tadabbur. Ini juga dapat mengubah tabiat kita yang tidak baik kepada yang lebih baik. Lazimilah doa kepada Allah SWT antaranya:

يَا مُقَلِّبَ القُلُوْبِ ثَبِّتْ قَلْبِي عَلَى دِيْنِكَ

Maksudnya: “Wahai Zat yang Maha membolak-balikkan hati, teguhkanlah hatiku di atas agama-Mu).”

Riwayat al-Tirmizi, (3522) dan Ahmad (6/315)

Bertarikh: 15 Mei 2023 bersamaan 26 Syawal 1444H