#1496: Adakah Bankrap Dianggap Tidak Berkemampuan untuk Tunai Haji?

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Adakah seorang bankrap dianggap tidak berkemampuan dari segi mengerjakan haji dalam keadaan – a) membantu bayaran teratur kepada Jabatan Insolvensi; atau b) pembayaran tidak teratur (ada tunggakan) atau langsung tidak membuat bayaran? Ini kerana ada bankrap yang buat permohonan untuk mengerjakan haji sedangkan hutangnya terlalu tinggi.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Definisi Bankrap

Bankrap adalah keadaan di mana seseorang itu tidak mampu untuk menyelesaikan hutang. Kebankrapan merujuk kepada satu proses di mana seorang penghutang diisytiharkan sebagai bankrap melalui perintah mahkamah atas petisyen pemiutang atau petisyen penghutang sendiri. Segala harta kepunyaan bankrap yang tidak bercagar adalah terletak hak kepada Ketua Pengarah Insolvensi (KPI) dan KPI bertanggungjawab untuk menghasilkan semua harta tersebut. Hasil jualan harta akan diagihkan kepada pemiutang yang telah memfailkan borang bukti hutang dan bukti hutang tersebut telah diperakukan oleh KPI.

Orang yang bankrup terikat dan tertakluk kepada undang-undang. Pada asasnya, Akta Kebankrapan 1967 mengenakan tindakan senarai hitam ke atas individu bankrap yang menyekat mereka daripada ke luar negara. Meskipun begitu, laporan pernah yang dikeluarkan menyatakan bahawa walaupun individu yang diisytiharkan bankrap dikenakan senarai hitam, Jabatan Insolvensi masih membenarkan mereka untuk ke luar negara dengan alasan kukuh termasuk tujuan keagamaan seperti haji dan umrah. Lihat laporan di sini.

Dalam isu ini, mereka yang bankrap berdasarkan takrifan di atas terkait dengan undang-undang juga boleh menunaikan ibadat haji apabila diberi kebenaran khas oleh pihak Insolvensi atau badan yang berautoriti.

Kembali kepada isu agama dan fiqh, orang yang berhutang terbahagi kepada dua:

  • Hutang yang bertangguh atau bertempoh serta mempunyai masa untuk dilunaskan, maka orang ini dibolehkan untuk pergi ke Mekah selama mana dia beriltizam dan komitmen untuk melunaskannya. Contoh seperti hutang kereta, hutang rumah dan hutang dengan bank.
  • Hutang yang segera seperti hutang dengan seseorang, maka hendaklah diminta halal terlebih dahulu atau tempoh kepada orang yang dia berhutang untuk dia menunaikan ibadat haji. Jika diberi tempoh, maka, bolehlah dia menunaikan haji, sebaliknya jika tidak, maka hendaklah dia mendahulukan untuk menyelesaikan hutang. 

Imam al-Nawawi ada menyebut: “Jika dia masih ada hutang yang perlu dilangsaikan dengan segera, sedangkan dia mampu melaksanakannya, maka pemberi hutang berhak menghalangnya daripada musafir. Sebaliknya jika dia termasuk daripada golongan yang susah kerana kesempitan hidup dan tidak memiliki apa yang dituntut, ketika itu, harus baginya untuk bermusafir tanpa izinnya. Begitu juga jika hutang itu bersifat bertangguh, maka boleh dia bermusafir tanpa meminta izinnya terlebih dahulu. Tetapi sunat baginya untuk tidak keluar musafir sehingga diwakilkan kepada seseorang yang boleh melangsaikan hutangnya ketika ketiadaannya.” (Lihat al-Taudhih Syarh al-Idhah, hlm. 88)

Penutup

Saya nyatakan dengan tegas, bahawa isu hutang merupakan isu yang utama dan asas yang terkena kepada hampir kebanyakan orang ramai, dek kerana tuntutan semasa untuk pembelian rumah, kereta, motosikal dan sebahagian daripada pembelajaran. 

Sebaik-baiknya selesaikan hutang terlebih dahulu atau memohon keizinan kemudian barulah bermusafir termasuklah ke Mekah untuk menunaikan ibadat haji. Inilah sebaik-baiknya. 

Justeru, kami katakan jika pemerintah membenarkan untuk mereka yang ditimpa bankrup menunaikan ibadat haji maka hukumnya adalah harus berdasarkan kaedah:

أَنَّ حُكْمَ الْحَاكِمِ يَرْفَعُ الْخِلَافَ

Maksudnya: “Bahawa sesungguhnya keputusan hakim (pemerintah) mengangkat khilaf.”

Kami titipkan di sini untuk kita lazimi doa yang Nabi SAW suruh kepada sahabatnya yang ditimpa dengan bebanan hutang iaitu Abu Umamah al-Bahili. Antara doanya ialah:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ الْهَمِّ وَالْحَزَنِ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنَ الْعَجْزِ وَالْكَسَلِ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنَ الْجُبْنِ وَالْبُخْلِ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ غَلَبَةِ الدَّيْنِ وَقَهْرِ الرِّجَالِ

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu daripada kedukaan dan kesedihan. Aku berlindung kepada-Mu daripada sifat lemah dan malas. Aku berlindung kepada-Mu daripada sifat pengecut dan kedekut. Dan aku berlindung kepada-Mu daripada bebanan hutang dan penindasan manusia.” 

Riwayat al-Bukhari (6369), Abu Dawud (1555), al-Tirmizi (3484), al-Nasa’ie (5449) dan al-Baihaqi dalam al-Da’awat al-Kabir (305)

Semoga Allah SWT selamatkan kita daripada hutang yang membelenggu hidup kita dan mampu untuk kita selesaikannya dengan secepat mungkin. Amin.

Bertarikh: 15 Mei 2023 bersamaan 26 Syawal 1444H