#1502: Membersihkan Barang Seorang Ibu Hoarder

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Mohon bertanya, apa hukum membuang barang ibu yang pengotor sehingga tahap hoarder? Contohnya saya buang plastik bekas makanan lutsinar yang digunakan utk beli makanan di pasar malam, dikumpul terlampau banyak hingga bersepah. Ada yang saya rasa sampah namun ibu cakap ada guna lagi benda tu kemudian hari, jadi disuruh simpan. Saya senyap-senyap buang atau terang-terang buang sampai ibu saya marah. Apa hukumnya di sini ustaz? Saya risau ibu akan dihisab untuk setiap barangnya di akhirat kelak, dan kebersihan sebahagian dari iman. Apa hukum untuk saya menyebabkan kemarahan ibu sebab bersihkan barang-barang tahap hoardernya ini? Adakah saya dikategorikan anak derhaka? Saya sudah bercakap elok-elok namun masih juga demikian. Mohon pencerahan ustaz.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan maksud atau takrifan hoarder. Hoarding disorder (Gangguan Penimbunan) adalah kesukaran bersangatan untuk membuang atau berpisah dengan barangan peribadi kerana merasai keperluan untuk menyimpan barang tersebut. Orang yang mengalami hoarding disorder akan mengalami ketegangan setiap kali memikirkan tentang membuang barang tersebut. Pengumpulan barang yang berlebihan, tanpa mengira nilai sebenar, akan berlaku.

Hoarding merupakan tingkah laku individu mengumpul dan menyimpan barang secara berlebihan dan seringkali melibatkan barang yang tidak perlu. Tingkah laku hoarding merupakan sejenis penyakit mental di bawah kecelaruan obsesif-kompulsif menurut Diagnostic Statistical Manual of Mental Disorders (DSM-5). Individu yang mengalami tingkah laku hoarding pada tahap yang teruk tidak dapat menjalani kehidupan seharian secara normal dan mengalami masalah mental.

Masalah penimbunan boleh terjadi dalam tahap ringan hingga teruk. Dalam beberapa kes, pengumpulan (penimbunan) mungkin tidak banyak memberi kesan kepada kehidupan, sementara dalam kes lain ia akan sangat mempengaruhi kehidupan seharian.

Orang yang mempunyai hoarding disorder mungkin tidak melihatnya sebagai masalah, menjadikan pilihan rawatan jadi mencabar. Namun, rawatan yang intensif dapat membantu pesakit yang mengalami gangguan penimbunan untuk memahami bagaimana kepercayaan dan tingkah laku mereka dapat diubah agar mereka dapat hidup dengan lebih selamat dan lebih menyenangkan.

Hoarding disorder berlaku pada (dalam anggaran) 2 hingga 6 peratus penduduk. Sesetengah kajian menunjukkan hoarding disorder adalah lebih biasa berlaku pada lelaki daripada wanita. Ia juga lebih biasa berlaku di kalangan orang dewasa yang lebih tua (tiga kali ganda peluang orang dewasa 55 hingga 94 tahun dipengaruhi oleh hoarding disorder berbanding orang dewasa 34 hingga 44 tahun). 

Pengumpulan barang seringkali akan mengakibatkan suasana hidup yang sempit sehingga rumah boleh dipenuhi dengan kapasiti berlebihan, dengan hanya laluan sempit antara keserabutan barang-barang. Almari, sinki, dapur, meja, laluan tangga dan hampir semua permukaan lain biasanya dipenuhi dengan barangan. Dan ketika tidak ada lagi ruang di dalamnya, keserabutan ini akan merebak ke garaj, kenderaan, halaman rumah dan pelbagai kemudahan penyimpanan lain. Antara implikasi penyakit ini terhadap kehidupan seseorang ialah:

  • Keadaan serabut dengan longgokan barangan yang tidak teratur, seperti surat khabar, pakaian, kertas kerja, buku atau barangan sentimental
  • Barang-barang yang memenuhi dan menyempitkan ruang berjalan dan ruang rumah anda dan menyebabkan ruang tidak boleh digunakan untuk tujuan yang dikehendaki, seperti tidak dapat memasak di dapur atau menggunakan bilik mandi untuk mandi
  • Mengumpul makanan atau sampah ke tahap yang terlampau banyak dan sangat tidak bersih
  • Ketegangan atau masalah besar dalam berfungsi atau menjaga keselamatan diri dan orang lain di rumah anda
  • Konflik dengan orang lain yang cuba mengurangkan atau menghilangkan keserabutan dari rumah anda
  • Kesukaran menyusun barangan, kadang-kadang kehilangan barangan penting dalam kekusutan

Dalam menjawab persoalan di atas, saya nyatakan firman Allah SWT:

وَيْلٌ لِّكُلِّ هُمَزَةٍ لُّمَزَةٍ ‎﴿١﴾‏ الَّذِي جَمَعَ مَالًا وَعَدَّدَهُ ‎﴿٢﴾‏ يَحْسَبُ أَنَّ مَالَهُ أَخْلَدَهُ

Maksudnya: “Kecelakaan besar bagi tiap-tiap pencaci, pengeji; Yang mengumpulkan harta dan berulang-ulang menghitung kekayaannya; Ia menyangka bahawa hartanya itu dapat mengekalkannya (dalam dunia ini).”

(Surah al-Humazah: 1-3)

Syeikh al-Sa’di dalam tafsirnya menyebut: “وَيْلٌ” bermakna ancaman dan azab yang sangat keras. “لِكُلِّ هُمَزَةٍ لُمَزَةٍ” iaitu orang yang suka mencela dan merendahkan orang lain dengan perbuatannya dan menyakiti orang dengan katanya. Orang yang disebut “الهَمّاز” ialah orang yang menghina dan mencela orang lain dengan isyarat dan perbuatan, Manakala “اللّمّاز” adalah orang yang mengaibkan orang lain dengan perkataannya.  Orang yang suka mencela dan mengumpat memiliki sifat-sifat tertentu, antaranya ialah dia hanya fokus pada mengumpulkan harta dan menghitung-hitungnya, serta merasa bangga dengan harta tersebut. Mereka tidak memiliki keinginan untuk membelanjakan harta mereka pada perkara dan jalan kebaikan, menyambungkan silaturrahim dan seumpamanya.

Orang yang suka mencela dan mengumpat menyangka dengan kejahilannya bahawa harta kekayaannya akan membuatkan hidup selamanya di dunia. Oleh itu, segala usaha dan upayanya difokuskan untuk memperbanyakkan hartanya, yang dia sangkakan dapat memperpanjang umurnya. Tetapi dia tidak sedar bahawa sifat bakhil dan kikir itu sebenarnya memendekkan umurnya dan merosakkan kehidupannya dan persekitarannya. Sebaliknya, kebaikan dan amal kebajikanlah yang akan memperpanjangkan umur seseorang. (Lihat Tafsir al-Sa’di, hlm. 934)

Menjawab persoalan di atas, saya katakan sebaik-baiknya meraikan ibu terlebih dahulu dengan menyediakan tempat yang khas. Ajarkan kepadanya dan khabarkan kepadanya betapa baiknya berinfak dan bersedekah untuk memberi manfaat kepada orang lain. Mungkin lebihan dari apa yang kita ada bolehlah disedekahkan kepada yang memerlukan kerana ganjaran pahala amat besar di sisi Tuhan.

Kami telah nyatakan dalam buku kami berkenaan dengan Keajaiban Sedekah yang memberi terlalu banyak kelebihan bukan semata-mata pahala dan ganjaran di akhirat tetapi juga di dunia dengan pelbagai kemudahan dan kurniaan daripada Tuhan.

Sedekah bukan semata-mata dalam bentuk kewangan tetapi bahan yang boleh memberi manfaat seperti barangan-barangan tertentu juga dianggap sedekah apabila diberikan kepada orang yang memerlukan.

Allah SWT menyebut tentang golongan yang mendustakan agama dalam surah al-Ma’un. Firman Allah SWT:

وَيَمْنَعُونَ الْمَاعُونَ

Maksudnya: “Dan orang-orang yang tidak memberi sedikit pertolongan (kepada orang yang berhak mendapatnya).”

Surah al-Ma’un (7)

Ibn Jarir al-Tabari berkata: Mereka menegah orang ramai untuk mendapat manfaat yang kecil-kecil dan sedikit dari sesama mereka seperti meminta pinjaman jarum, kapak, periuk, garam dan air serta lainnya. Mujahid berkata, “الْمَاعُونَ” adalah mereka yang menegah pinjaman barang-barang yang menjadi alatan yang boleh bertukar antara manusia seperti kapak, timba dan bekas. (Lihat Jami’ al-Bayan, 30/209)

Syeikh al-Maraghi menukilkan pendapat gurunya, Ustaz Imam Muhammad Abduh antara lain berkata: Ciri-ciri khusus yang dimiliki oleh orang yang membenarkan agama yang membezakannya dengan pendusta agama ialah bersikap adil, belas kasih dan mendatangkan kebajikan kepada orang lain. Manakala ciri-ciri khusus pendusta agama yang membezakan dengan orang yang membenarkan agama ialah meremehkan hak orang lemah, tidak mengambil berat terhadap orang yang memerlukan bantuan, berbangga dan cintakan harta, bermegah-megah dengan kekuatan, dan tidak melakukan kebajikan kepada orang yang berhak dibantu olehnya. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 15/7718)

Kemudian, tindakan puan biarlah seperti menarik rambut dari tepung. Supaya ibu tidak terasa kerana saya yakin salah satu sifat orang hoarder dia akan terlupa barangannya yang banyak.

Kemudian, ajaklah ibu keluar daripada kepompong bersifat selfish dan keseorangan untuk dia bersahabat dengan rakan-rakan baik dan pemurah. Yang akhirnya, sifat-sifat yang baik juga terpercik kepadanya sehingga dapat keluar daripada sifat hoarder ini. Semoga jawapan yang ringkas ini memberi kefahaman kepada kita semua.

Marilah kita berdoa kepada Allah SWT untuk ibu bapa kita:

رَّبِّ ارْحَمْهُمَا كَمَا رَبَّيَانِي صَغِيرًا

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil.

(Surah al-Isra’: 24)

Bertarikh: 15 Mei 2023 bersamaan 26 Syawal 1444H