#1504: Lafaz Talak Ta‘liq Boleh Ditarik Balik Jika Darurat?

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Seorang suami telah melafazkan ta‘liq kepada isteri yang sedang mengandung dengan menyebut, “Jika kamu melangkah keluar dari rumah aku ini kamu jatuh talak.” Soalan saya adakah jatuh talak sekiranya isteri keluar dari rumah tersebut kerana terpaksa bersalin di hospital? Adakah  situasi ini dikira darurat atau lafaz ta‘liq talak tersebut berlaku? Mohon pencerahan.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pada asasnya, talak boleh dilakukan secara langsung atau dengan ta‘liq. Talak Ta‘liq bermaksud suami menggantungkan jatuh  isterinya dengan terjadi sesuatu sifat atau syarat yang dikaitkan dengan isteri atau orang lain.

  • Contohnya, suami menggantungkan jatuh talak isterinya dengan kedatangan seseorang atau dengan perbuatan tertentu yang dilakukan oleh isterinya, atau orang lain.
  • Contoh talak yang dikaitkan dengan sifat ialah suami berkata kepada isterinya: “Kamu tercerai kerana ayahmu datang” atau “kamu tercerai dalam bulan Ramadhan.”Sehubungan dengan itu, apabila ayahnya datang atau masuk bulan Ramadhan, jatuhlah talak.
  • Contoh yang dikaitkan dengan syarat ialah suami berkata kepada isterinya: “Kamu tercerai jika keluar dari rumah ini” atau “kamu tercerai jika saudara lelakimu masuk ke dalam rumah ini.” Oleh yang demikian, apabila isteri itu keluar dari rumah atau saudara lelakinya masuk ke dalam rumahnya, maka jatuhlah talak.

Hal ini berdasarkan hadith, Rasulullah SAW bersabda:

الـمُسْلِمُوْنَ عِنْدَ شُرُوْطِهِمْ

Maksudnya: Orang Islam terikat dengan syarat-syarat yang mereka tetapkan.

Riwayat al-Hakim (2/49)

Kesan daripada Talak Ta‘liq

Talak ta‘liq akan menyebabkan perkara-perkara berikut:

  • Tidak jatuh selagi sesuatu yang disyaratkan belum berlaku.
  • Kehidupan berumah tangga masih kekal dengan segala hukum dan kewajipan selagi syarat yang dikaitkan dengan talak belum terjadi walaupun ia pasti berlaku. Contohnya, suami berkata: “Apabila tiba bulan Ramadhan engkau tercerai.
  • Talak jatuh sebaik-baik sahaja syarat yang berkaitan itu berlaku. Suami tidak perlu melafazkan talak yang baru.

Berbalik kepada soalan yang diajukan, secara umumnya, para ulama telah berbeza pendapat mengenai perkara ini kepada beberapa pendapat. Guru kami Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili telah membahaskan secara panjang lebar dengan membawakan khilaf ulama berkenaan hal ini dalam kitabnya, al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu (9/6972-6976). 

Namun, cukuplah di sini kami meringkaskan perbahasan tersebut dengan membawakan pendapat majoriti dan pendapat imam mazhab yang empat. Ringkasnya, para imam mazhab yang empat menyatakan bahawa jatuh talak yang dita‘liq bila mana terdapatnya perkara yang dijadikan ta‘liq, sama ada perkara itu dilakukan oleh salah seorang daripada suami isteri, atau suatu perkara yang terjadi akibat kehendak Allah, atau ta‘liq itu berbentuk sumpah iaitu suatu dorongan untuk melakukan sesuatu atau meninggalkannya atau menegaskan suatu berita atau sebagai syarat yang dimaksudkan untuk mendapatkan balasan ketika mana syarat itu sudah dipenuhi.

Mereka berhujah berdasarkan kepada dalil  al-Quran, hadith, dan dalil aqli (ma‘qul).

  1. Dalil al-Quran. Mereka berhujahkan dengan kemutlakan ayat yang menunjukkan pensyariatan talak dan pemberian perkara talak kepada suami. Misalnya firman Allah SWT:

الطَّلَاقُ مَرَّتَانِ

Maksudnya: “Talak (yang boleh dirujuk kembali itu hanya) dua kali.”

(Surah al-Baqarah: 229)

Ayat ini tidak membezakan di antara talak munjiz (yang terjadi secara langsung) dan mu‘allaq (yang diikat dengan sesuatu). Kejatuhannya tidak diikat dengan sesuatu. Mutlak berlaku sesuai dengan kemutlakannya. Si suami memiliki hak untuk menjatuhkan talak sesuai dengan yang dia kehendaki baik secara munjiz, secara mudhaf (yang disandarkan), ataupun mu‘allaq, sama ada dalam bentuk sumpah mahupun bentuk selainnya.

  1. Dalil hadith. Mereka beristidlal berdasarkan sabda Rasulullah SAW:

 الْمُسْلِمُونَ عِنْدَ شُرُوطِهِمْ

Maksudnya:Orang-orang Islam itu berdasarkan syarat-syarat mereka.”

Riwayat al-Bukhari secara mu‘allaq dengan sighah jazam sebelum hadith (2274); riwayat al-Tahawi secara mausul dalam Syarh Ma‘ani al-Athar (5848)

Begitu juga dengan pelbagai peristiwa yang banyak terjadi pada zaman Nabi SAW dan dan para sahabat Baginda. Di antaranya, hadith yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari daripada Nafi‘, dia berkata:

طَلَّقَ رَجُلٌ امْرَأَتَهُ الْبَتَّةَ إِنْ خَرَجَتْ، فَقَالَ ابْنُ عُمَرَ: إِنْ خَرَجَتْ فَقَدْ بُتَّتْ مِنْهُ، وَإِنْ لَمْ تَخْرُجْ فَلَيْسَ بِشَيْءٍ

Maksudnya: “Seorang lelaki mentalakkan isterinya dengan talak yang keras, jika isterinya keluar.  Ibn Umar berkata: ‘Jika dia keluar, maka jatuh talak daripada suaminya dan jika dia tidak keluar, maka tidak terjadi apa-apa.’”

Riwayat al-Bukhari secara mu‘allaq dengan sighah jazam (5/2018)

Termasuk juga hadith yang diriwayatkan oleh al-Baihaqi daripada Ibn Mas‘ud R.A mengenai seorang lelaki yang berkata kepada isterinya: “إن فعلتْ كذا وكذا، فهي طالق” (“Jika dia melakukan hal ini dan itu, maka dia tertalak.”) Lalu isterinya melakukan perbuatan tersebut, dan suaminya berkata: “Dia tertalak dengan talak satu,” dan dia lebih berhak untuk mendapatkan talak satu. 

Termasuk juga hadith sahih daripada riwayat Abu Zar al-Ghiffari bahawa isterinya mengajukan pertanyaan berulang kali mengenai waktu yang mustajab untuk berdoa pada hari Jumaat, maka dia berkata kepada isterinya: ‘إن عدت سألتِني فأنت طالق’ (“Jika kamu kembali bertanya kepadaku, maka kamu akan tertalak.”) 

Begitu juga riwayat yang disandarkan oleh Ibn ‘Abd al-Bar, daripada Aisyah R.Anha, beliau berkata:

كُلُّ يَمينٍ وَإِنْ عَظُمَتْ، فَفِيهَا الكَفَّارَةُ إِلَّا العِتْقُ وَالطَّلَاقُ

Maksudnya: “Setiap sumpah sebesar mana pun akan dapat ditebus, kecuali kemerdekaan hamba dan juga talak.” (Lihat al-Tamhid, 20/90)

Demikian juga hadith yang diriwayatkan oleh al-Baihaqi daripada Ibn Abbas R.Anhuma mengenai seorang lelaki yang berkata mengenai isterinya: “هي طالق إلى سنة” (“Dia tertalak sehingga satu tahun.”) Beliau berkata: “Lelaki tersebut menggauli isterinya sampai satu tahun.” Athar ini berkaitan dengan ta‘liq yang bersifat syarat dan semua perkara ta‘liq yang bersifat sumpah.

Daripada al-Hasan al-Basri mengenai seseorang yang berkata kepada isterinya: “Kamu tertalak jika aku tidak memukul hambaku,” lalu hamba itu melarikan diri. Dia berkata: “Dia tetap menjadi isterinya yang dapat digauli, dan keduanya saling mewarisi, sampai dia melakukan apa yang dia katakan. Jika hambanya itu mati sebelum dia melakukan apa yang dia ucapkan, maka isterinya tertalak daripadanya.” 

Begitu juga al-Baihaqi meriwayatkan daripada Abu al-Zinad, daripada fuqaha ahli Madinah bahawa mereka berpendapat, lelaki mana sahaja yang berkata kepada isterinya: “Kamu tertalak jika kamu keluar sehingga waktu malam,” dan isterinya keluar sebelum waktu malam tanpa pengetahuannya, maka isterinya tertalak. 

Semua athar ini menunjukkan kepada jatuhnya talak ta‘liq ketika terjadinya syarat yang dijadikan sebagai ta‘liq.

  1. Dalil aqli (ma‘qul). Keperluan boleh membuatkan seseorang mengucapkan ta’liq talak sebagaimana keperluan membuatkan seseorang itu menjatuhkan talak, sebagai peringatan untuk isteri. Jika si isteri melanggar ta‘liq ini, maka dia adalah orang yang bertindak secara salah terhadap dirinya sendiri. Talak yang bersifat sumpah ini diqiaskan kepada orang yang saling berhutang sehingga ke tempoh masa tertentu, juga kepada yang memerdekakan sehingga tempoh masa tertentu.

Penjelasan lanjut mengenai talak ta‘liq ini bolehlah merujuk kepada e-book atau kajian ilmiah kami yang bertajuk: “Talaq Ta‘liq: Adakah Ia Jatuh dan Bolehkah Ditarik Semula?

Kesimpulan

Oleh itu, berdasarkan kepada kenyataan dan perbahasan di atas, serta situasi saudara yang bertanya, kami berpendapat bahawa lafaz talak ta‘liq jatuh bila mana isteri keluar dari rumah itu sekalipun kerana terpaksa bersalin di hospital kerana suatu yang disyaratkan itu sudah berlaku. Pendapat ini adalah merupakan pendapat para imam mazhab yang empat serta pendapat yang dilihat lebih berhati-hati (ihtiyat).

Sekalipun begitu, saudara atau si suami boleh merujuk semula isterinya yang tertalak kerana lafaz ta‘liq tersebut selagi mana masih dalam tempoh ‘iddah. Tempoh ‘iddah tersebut adalah selama tiga kali suci (quru’), manakala bagi wanita yang hamil pula tempohnya adalah sehingga melahirkan anaknya. Jika tempoh ‘iddah telah tamat sebelum sempat suaminya merujuk semula, maka pasangan tersebut memerlukan kepada akad yang baru jika ingin bersama semula.

Kami juga mengambil kesempatan di sini menasihatkan agar tidak bermudah-mudah dengan talak sama ada secara langsung mahupun dengan ta‘liq. Suami terutamanya janganlah menggunakan senjata talak terhadap isterinya. Sementelahan lagi tindakan yang disyaratkan itu, bertentangan dengan agama, perkara yang remeh-temeh, dan perkara yang mesti dilakukan secara mendesak. Apabila kita ta’liqkan seperti itu sudah tentu kita menyempitkan keluasan yang Allah telah kurniakan kepada kita. Sesungguhnya bermudah-mudah dengan ta’liq adalah sifat yang tidak baik dan boleh mengundang kerosakan rumah tangga dan meruntuhkan institusi kekeluargaan. Firman Allah SWT:

الطَّلَاقُ مَرَّتَانِ ۖ فَإِمْسَاكٌ بِمَعْرُوفٍ أَوْ تَسْرِيحٌ بِإِحْسَانٍ

Maksudnya:Talak (yang boleh dirujuk kembali itu hanya) dua kali. Sesudah itu bolehlah ia (rujuk dan) memegang terus (isterinya itu) dengan cara yang sepatutnya atau melepaskan (menceraikannya) dengan cara yang baik.

(Surah al-Baqarah: 229)

Dalam nas ini menyebut betapa pentingnya imsakun bi makruf iaitu menjaga hak kekeluargaan dari diruntuhkan dengan penuh makruf. Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya:Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

Surah al-Furqan (74)

Bertarikh: 15 Mei 2023 bersamaan 26 Syawal 1444H