#1512: Hukum Mengerjakan Ibadah Haji

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah hukum mengerjakan ibadah haji bagi seorang Muslim? Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Ibadah haji merupakan salah satu rukun Islam yang lima, yang wajib dilaksanakan oleh setiap Muslim yang mukallaf. Justeru, setiap Muslim mestilah menanam di dalam hati serta berazam untuk menunaikan ibadah haji dan sentiasa berusaha sedaya mungkin dalam melaksanakan perintah Allah SWT tersebut. 

Pada asasnya, semua ulama bersepakat mengenai kefardhuan dan kewajipan menunaikan ibadah haji berdasarkan al-Quran, al-Sunnah dan ijma‘. Hal ini jelas seperti mana firman Allah SWT:

وَلِلَّـهِ عَلَى النَّاسِ حِجُّ الْبَيْتِ مَنِ اسْتَطَاعَ إِلَيْهِ سَبِيلًا

Maksudnya: “Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat Haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya.”

 (Surah Ali ‘Imran: 97)

Syeikh al-Maraghi ketika menafsirkan ayat di atas, menerangkan bahawa ibadah haji ini diwajibkan kepada setiap orang Muslim yang mukallaf yang berkemampuan. Hal ini kerana, perintah haji merupakan satu penghormatan besar kepada Baitullah bermula dari zaman Nabi Ibrahim A.S sehinggalah ke zaman Nabi Muhammad SAW. Justeru, pelaksanaan ibadah haji dan umrah mampu menjadi mercu tanda dan bukti pengabdian setiap hamba kepada Penciptanya. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 2/853).

Selain itu, Allah SWT berfirman:

وَأَذِّنْ فِي النَّاسِ بِالْحَجِّ

Maksudnya: “Dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan ibadat Haji.”

(Surah al-Hajj: 27)

Syeikh al-Sa‘di ketika menafsirkan ayat di atas menyatakan, maksudnya adalah beritahu kepada mereka mengenai ibadat haji tersebut, dan ajaklah mereka kepadanya. Sampaikan kepada mereka sama ada orang yang dekat dan jauh tentang kewajipan haji dan keutamaannya. Hal ini kerana jika kamu telah memanggil mereka, pasti mereka akan datang kepadamu sebagai orang-orang yang mengerjakan haji atau umrah. (Lihat Tafsir al-Sa‘di, 1/536).

Seterusnya, Nabi SAW turut menegaskan berkenaan hal tersebut melalui sabdanya:

بُنِيَ الإِسْلاَمُ عَلَى خَمْسٍ شَهَادَةِ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ وَإِقَامِ الصَّلاَةِ وَإِيتَاءِ الزَّكَاةِ وَحَجِّ الْبَيْتِ وَصَوْمِ رَمَضَانَ

Maksudnya: Islam didirikan di atas lima perkara: Bersaksi bahawa tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah SWT dan Nabi Muhammad SAW adalah hamba-Nya dan utusan-Nya, mendirikan solat, mengeluarkan zakat, menunaikan haji ke Baitullah, dan berpuasa di bulan Ramadhan.

Riwayat Muslim (16)

Muhammad al-Amin al-Harari ketika menjelaskan lafaz “وَحَجِّ الْبَيْتِ” menyatakan, tujuannya adalah untuk mengerjakan ibadah khusus, bagi mereka yang mampu untuk menunaikannya. (Lihat al-Kaukab al-Wahhaj Syarh Sahih Muslim, 2/132).

Malah para ulama telah bersepakat memutuskan bahawa haji adalah fardhu, tanpa seorang pun dalam kalangan mereka berpendapat sebaliknya. Oleh itu, mereka menghukumkan kafir kepada sesiapa yang mengingkari sesuatu yang yang telah thabit dengan al-Quran, al-Sunnah dan ijma‘. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 2/115). 

Mengenai hal ini juga, Ibn Hazm menyatakan, para ulama telah bersepakat bahawa seorang Muslim yang merdeka, berakal, baligh, dan memiliki tubuh badan yang sihat dengan dua tangan, penglihatan (yang baik) dan dua kaki, serta yang mempunyai bekalan dan kenderaan, serta sesuatu (yakni nafkah) yang ditinggalkan kepada ahli keluarganya untuk suatu tempoh pemergiannya, begitu juga tidak terdapat pada jalannya lautan mahupun ketakutan, dan tidak pula ibu bapanya atau salah seorang daripada mereka menghalangnya, maka diwajibkan ke atasnya haji. (Lihat Maratib al-Ijma‘, hlm. 41).

Selain daripada itu, Habib Hasan bin Ahmad al-Kaff menyatakan, para ulama telah bersepakat bahawa hukum mengerjakan ibadah haji adalah fardhu ain. Dalam erti kata lain, jika ia adalah hajjah al-Islam (haji kali pertama) dan memenuhi syarat-syarat wajib untuk mengerjakan haji, maka ia adalah fardhu ain ke atasnya. Syarat-syarat tersebut ialah Islam, mumayyiz, baligh, merdeka dan istita‘ah (berkemampuan). (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 470-472).

Justeru, ibadah haji wajib dikerjakan sekali seumur hidup bagi mereka yang berkemampuan. 

Selain itu, para ulama juga bersepakat mengatakan bahawa seseorang itu hanya diwajibkan haji sekali sahaja seumur hidupnya iaitu hajjah al-Islam kecuali jika dia bernazar, maka ia wajib ditunaikan. (Lihat al-Ijma‘ oleh Ibn al-Munzir, hlm. 51; al-Fiqh al-Manhaji, 2/116). Ini berdasarkan hadith Nabi SAW:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ قَدْ فَرَضَ عَلَيْكُمُ الْحَجَّ فَحَجُّوا. فَقَالَ رَجُلٌ: أَفِي كُلِّ عَامٍ يَا رسول الله؟ فَسَكَتَ عَنْهُ حَتَّى أَعَادَهُ ثَلاَثًا، ثُمَّ قَالَ: ذَرُونِي مَا تَرَكْتُكُمْ، وَلَوْ قُلْتُ نَعَمْ لَوَجَبَتْ، وَلَمَا اسْتَطَعْتُمْ، وَإِنَّمَا أَهْلَكَ مَنْ كَانَ قَبْلَكُمْ كَثْرَةِ سُؤَالِهِمْ، وَاخْتِلاَفِهِمْ عَلَى أَنْبِيَائِهِمْ، فَإِذَا أَمَرْتُكُمْ بِشَيْءِ فَأتُوا مِنْه مَا اسْتَطَعْتُمْ وَإِذَا نَهَيْتُكُمْ عَنْ شَيْءٍ فَاجْتَنِبُوهُ

Maksudnya:Wahai manusia! Telah difardhukan atas kamu ibadah haji, maka hendaklah kamu lakukannya. Lalu, seorang lelaki bertanya: ‘Apakah pada setiap tahun wahai Rasulullah?’ Baginda terus diam sehingga pemuda tersebut mengulanginya sebanyak tiga kali. Kemudian, Baginda bersabda: ‘Biarkanlah aku, selagi aku membiarkan kamu. Jika aku berkata ya, bererti aku mewajibkannya dan sedangkan kamu tidak mampu melakukannya. Sesungguhnya binasa umat terdahulu sebelum kamu adalah disebabkan banyaknya pertanyaan dan menyalahi Nabi mereka. Justeru, apabila aku memerintahkan sesuatu, lakukanlah sedaya upaya kamu, dan apabila aku melarangnya, hendaklah kamu jauhi.’

Riwayat Muslim (1337); riwayat al-Nasa’i (2619); riwayat Ahmad (10615); riwayat al-Baihaqi (8877).

Namun, ibadah haji dan umrah ini dikira sunat untuk dikerjakan secara berulang-ulang kali. Ini kerana terdapat banyak kelebihan yang telah dijanjikan kepada sesiapa yang melaksanakan ibadah haji dan umrah dengan penuh keikhlasan dan ketakwaaan.

Daripada Abu Hurairah R.A, Rasulullah SAW bersabda:

الْعُمْرَةُ إِلَى الْعُمْرَةِ كَفَّارَةٌ لِمَا بَيْنَهُمَا وَالْحَجُّ الْمَبْرُورُ لَيْسَ لَهُ جَزَاءٌ إِلاَّ الْجَنَّةُ

Maksudnya: “Ibadah umrah kepada umrah berikutnya adalah kaffarah (penghapusan dosa) di antara kedua-duanya. Dan haji yang mabrur tiada balasan (bagi pelakunya) melainkan syurga).”

Riwayat al-Bukhari (1773) dan Muslim (1449)

Hadith di atas jelas menunjukkan kepada kita bahawa pensyariatan ibadah haji dan umrah merupakan satu pensyariatan yang agung di sisi Allah SWT. Hal ini jelas dapat dilihat berdasarkan hadith yang telah dinyatakan seperti di atas. Nabi SAW telah menjanjikan balasan syurga kepada sesiapa yang mencapai tahap mabrur dalam pelaksanaan ibadah hajinya. Begitu juga kepada sesiapa yang melaksanakan ibadah umrah secara berulang kali, dosa-dosa kecil mereka akan dihapuskan sepanjang tempoh jarak ibadah umrah tersebut.

Kesimpulan

Berdasarkan kepada kenyataan dan perbincangan di atas, kami berpandangan bahawa wajib ke atas setiap Muslim yang berkemampuan untuk melaksanakan ibadah haji dan umrah paling kurang sekali seumur hidup mereka. Namun, bagi mereka yang mempunyai kecukupan dan kemampuan yang lebih, disunatkan bagi mereka untuk mengulangi ibadah haji dan umrah pada tahun-tahun yang berikutnya.

Di sini, kami mengambil peluang untuk saling menasihati kepada semua jemaah haji dan umrah agar menanam di dalam jiwa masing-masing niat dan tekad untuk menjadi dhuyuf al-Rahman walaupun sekali seumur hidup mereka. Justeru, berusahalah untuk melaksanakan ibadah haji dan umrah dengan sebaik mungkin, persiapkanlah bekalan dari segi mental dan fizikal agar kita dapat menumpukan sepenuh perhatian dalam pelaksanaan ibadah yang kita kerjakan.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Bertarikh: 16 Mei 2023 bersamaan 27 Syawal 1444H