#1523: Makan Cengkih Semasa dalam Ihram

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah hukum makan cengkih ketika ihram? Adakah wajib fidyah kerana memakan sesuatu yang berbau wangi?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, cengkih adalah sejenis tumbuhan atau pokok yang bunganya wangi atau buahnya mempunyai bau yang wangi, pedas rasanya, dibuat rempah dan lain-lain.[1]

Pada asasnya, hukum memakai wangi-wangian semasa ihram adalah diharamkan. Jika seseorang itu melanggar larangan ini maka dia wajib dikenakan dam. Ini berdasarkan sabda Nabi SAW daripada Ibn ‘Umar R.Anhuma yang mana seorang lelaki telah datang bertemu Rasulullah ﷺ dan bertanyakan tentang pakaian apa yang perlu dipakai oleh orang yang sedang berihram dan jawab Baginda ﷺ:

لاَ يَلْبَسُ الْقُمُصَ وَلاَ الْعَمَائِمَ وَلاَ السَّرَاوِيلاَتِ وَلاَ الْبَرَانِسَ وَلاَ الْخِفَافَ، إِلاَّ أَحَدٌ لاَ يَجِدُ نَعْلَيْنِ فَلْيَلْبَسْ خُفَّيْنِ، وَلْيَقْطَعْهُمَا أَسْفَلَ مِنَ الْكَعْبَيْنِ، وَلاَ تَلْبَسُوا مِنَ الثِّيَابِ شَيْئًا مَسَّهُ الزَّعْفَرَانُ أَوْ وَرْسٌ

Maksudnya: “Jangan dipakai baju, serban, seluar, jubah yang ada penutup kepala, khuf (stoking kulit) kecuali jika seseorang tidak mendapati selipar maka pakailah khuf yang telah dipotong apa yang menutup bahagian buku lali dan janganlah memakai pakaian yang telah terkena za’faran atau wars (sejenis minyak wangi).”

Riwayat al-Bukhari (1542)

Al-Hafiz Ibn Hajar berkata: Adapun wars (وَرْسٌ) adalah tumbuhan yang berwarna kuning, memiliki aroma yang harum, serta digunakan untuk mewarnakan pakaian. Ibn al-Arabi berkata: “Wars tidak termasuk jenis minyak wangi, akan tetapi penyebutannya di sini hanya untuk mengalihkan perhatian untuk menjauhi semua wangi-wangian dan sesuatu yang memiliki aroma yang serupa, sehingga dapat disimpulkan larangan menggunakan semua jenis minyak wangi bagi orang yang ihram. Hal ini telah disepakati oleh para ulama’ selama penggunaan tersebut dalam rangka berhias.” Lafaz hadith “yang disentuh” dijadikan dalil tentang haramnya memakai pakaian yang diberi warna dengan wars atau za’faran, sama ada seluruhnya atau sebahagiannya, meskipun tidak menyebarkan aroma wangi. (Lihat Fath al-Bari, 8/432)

Namun begitu, maksud wangi-wangian yang diharamkan itu ialah setiap bahan yang dianggap sebagai wangian pada adat kebiasaan. Jika diniatkan untuk berwangian maka diharamkan apa-apa bentuk penggunaannya. (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah Qism Ibadah, hlm. 504). Justeru bahan-bahan yang tidak diniatkan baunya ketika menggunakannya seperti untuk berubat, bersihkan diri, dan makan adalah tidak diharamkan dan tidak dikenakan dam sekalipun bahan-bahan itu memiliki bau yang wangi.

Imam al-Khatib al-Syarbini dalam Mughni al-Muhtaj (2/296) pada menerangkan perkara-perkara yang terkeluar daripada larangan berwangian ketika ihram ialah bahan makanan dan ubat-ubatan menyebut:

وَمَا يُقْصَدُ بِهِ الْأَكْلُ أَوْ التَّدَاوِي وَإِنْ كَانَ لَهُ رِيحٌ طَيِّبَةٌ كَالتُّفَّاحِ وَالْأُتْرُجِّ بِضَمِّ الْهَمْزَةِ وَالرَّاءِ وَتَشْدِيدِ الْجِيمِ عَلَى الْأَفْصَحِ وَيُقَالُ الْأُتْرُنْجُ وَالْقُرُنْفُلُ وَالدَّارَصِينِيُّ وَالسُّنْبُلُ وَسَائِرُ الْأَبَازِيرِ الطَّيِّبَةِ كَالْمُصْطَكَى لَمْ يَحْرُمْ وَلَمْ تَجِبْ فِيهِ فِدْيَةٌ لِأَنَّهُ إنَّمَا يُقْصَدُ مِنْهُ الْأَكْلُ أَوْ التَّدَاوِي

Maksudnya: “Dan apa-apa yang diniatkan dengannya untuk makan atau berubat, sekalipun ia memiliki bau yang wangi seperti epal, atruj (buah sitrus seakan lemon dan limau), cengkih, kayu manis, sunbul (sejenis tumbuhan yang akarnya digunakan untuk membuat wangian), dan segala jenis rempah ratus seperti mastoka (resin daripada pokok Mastik); maka tidak diharamkan (memakannya atau menggunakan sebagai ubat) dan tidak diwajibkan dengan penggunaannya fidyah (yakni dam) kerana sesungguhnya ia hanya digunakan untuk tujuan makan dan ubat-ubatan.”

Tambahan lagi, berdasarkan buku Soal Jawab Haji & Umrah yang dikeluarkan oleh Tabung Haji dan dipersetujui oleh Ahli-Ahli Jawatankuasa Penasihat Ibadat Haji (TH/JAKIM) menyebut soalan tentang hukum jika semasa ihram jemaah haji minum air sirap apakah hukumnya?

Maka dijawab, jemaah haji boleh mengambil makanan dan minuman yang berperisa wangian kerana bahan yang digunakan itu adalah untuk menyedapkan makanan atau minuman itu sahaja. (Lihat Soal Jawab Haji & Umrah Cetakan 2017, hlm. 76).

Penutup

Berdasarkan fakta dan kenyataan di atas, jelas kepada kita bahawa memakan cengkih contohnya dalam makanan seperti sup, atau memakannya secara mutlak, tidaklah haram semasa ihram dan tidak dikenakan dam atau fidyah. Semoga penjelasan ini memberikan keyakinan kepada kita semua untuk beramal.

[1] https://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=cengkih

Bertarikh: 16 Mei 2023 bersamaan 27 Syawal 1444H