#1526: Mencukur atau Menggunting Rambut Orang Lain

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Adakah dibolehkan bagi seseorang jemaah untuk mencukur atau menggunting rambut orang lain sebelum dia bercukur atau bergunting rambutnya sendiri?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Tahallul ialah perbuatan membebaskan diri daripada ihram dengan melakukan segala amalan yang dituntut di dalam rukunnya dengan mencukur atau memendekkan rambut. Bercukur merangkumi semua perbuatan memotong rambut. Ia termasuk menggunting tiga helai rambut atau lebih, mencabut atau memendekkannya walau sekadar mana dan dengan apa-apa alat sekalipun. Ia merupakan rukun menurut pendapat yang sahih dalam Mazhab Syafie. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 2/142)

Bercukur atau bergunting ini dilakukan setelah sempurna melakukan tawaf dan sa’ie. Antara dalil yang menunjukkan kepada pensyariatan bercukur atau bergunting ini adalah seperti berikut:

Allah SWT berfirman:

لَتَدْخُلُنَّ الْمَسْجِدَ الْحَرَامَ إِن شَاءَ اللَّـهُ آمِنِينَ مُحَلِّقِينَ رُءُوسَكُمْ وَمُقَصِّرِينَ لَا تَخَافُونَ

Maksudnya: Iaitu Sesungguhnya kamu tetap akan memasuki Masjid Al-Haram – insya Allah (pada masa Yang ditentukanNya) – Dalam keadaan aman (menyempurnakan ibadah umrah kamu) dengan mencukur kepala kamu, dan dengan menggunting sedikit rambutnya, serta kamu tidak perlu merasa takut (akan pengkhianatan musuh sehingga kamu keluar balik dari situ).”

(Surah al-Fath: 27)

Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili berkata: Firman-Nya, ‘مُحَلِّقِينَ رُءُوسَكُمْ وَمُقَصِّرِينَ’, yakni dalam keadaan mencukur seluruh rambutnya, dan sebahagian yang lain sebahagian rambutnya. Al-Tahliq (mencukur seluruh rambut) dan al-taqsir (memotong sebahagian rambut) untuk kaum lelaki, kedua-duanya boleh. (Lihat al-Tafsir al-Munir, 13/421)

Daripada Abdullah bin Umar R.Anhuma, katanya:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: «اللَّهُمَّ ارْحَمِ الْمُحَلِّقِينَ» قَالُوا: وَالْمُقَصِّرِينَ يَا رَسُولَ اللَّهِ، قَالَ: «اللَّهُمَّ ارْحَمِ الْمُحَلِّقِينَ» قَالُوا: وَالْمُقَصِّرِينَ يَا رَسُولَ اللَّهِ، قَالَ: «وَالْمُقَصِّرِينَ».

Maksudnya: Rasulullah SAW berdoa: “اللَّهُمَّ ارْحَمِ الْمُحَلِّقِينَ” (Ya Allah, rahmatilah orang-orang yang mencukur rambut mereka).” Para sahabat berkata: “Dan (doakanlah rahmat juga buat) orang-orang yang menggunting (rambut mereka), wahai Rasulullah.” Baginda mengucapkan: “اللَّهُمَّ ارْحَمِ الْمُحَلِّقِينَ»” (Ya Allah, rahmatilah orang-orang yang mencukur rambut mereka).” Mereka berkata lagi: “Dan (doakanlah rahmat juga buat) orang-orang yang menggunting (rambut mereka), wahai Rasulullah.”  Baginda menyambung: “Dan (rahmati jugalah wahai Allah) orang-orang yang menggunting (rambut mereka).

Riwayat al-Bukhari (1727) dan Muslim (1301)

Merujuk kepada persoalan di atas, dibolehkan untuk seseorang itu bercukur bagi diri jemaah yang lain sebelum bercukur atau bergunting bagi pihak dirinya sendiri. Namun begitu, adalah terlebih aula (utama) dan afdhal untuk bercukur atau bergunting bagi pihak dirinya terlebih dahulu sebelum melakukannya terhadap orang lain. Firman Allah SWT:

فَاسْتَبِقُوا الْخَيْرَاتِ

Maksudnya: “Oleh itu berlumba-lumbalah kamu dalam melakukan kebaikan (beriman dan beramal soleh).”

(Surah al-Maidah: 48)

Al-Maraghi berkata bahawa berlumba-lumba dalam (mengejar) kebaikan dan melakukan amalan soleh ialah dengan cara mengisi kesempatan dengan melakukan hal yang baik dan melipatgandakan amalan kebaikan. Ini kerana, orang yang cemerlang dalam perlumbaan itulah yang paling dekat dengan Allah SWT. Maka, dalam apa jua kebajikan sekalipun, segerakanlah diri dalam menyempurnakan amalan tersebut melebihi orang lain. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 3/1595)

Antara amalan yang sunat untuk dilakukan ketika pelaksanaan bergunting atau bercukur:

  1. Bagi lelaki, afdhal bercukur seluruh kepala.
  2. Bagi wanita, disunatkan menggunting rambut sepanjang seruas jari dari mana-mana sudut kepala.
  3. Bagi yang tidak mempunyai sebarang rambut (botak licin) sama ada semulajadi atau baru dicukur adalah sunat melalukan mata pisau cukur di atas kepala.
  4. Mulakan bercukur atau bergunting di bahagian kanan, kemudian di bahagian kiri dengan menghadap ke arah kiblat, diiringi dengan bacaan doa semasa bercukur atau bergunting sambil memegang rambut di kepala.

 

Kesimpulan

Dalam isu ini, seseorang jemaah haji itu adalah dibolehkan untuk mencukur atau menggunting rambut orang lain sebelum dirinya. Walaubagaimanapun, adalah terlebih afdhal dirinya terlebih dahulu sebelum melakukannya kepada orang yang lain.

Di sini kami ingin mengingatkan dan menggalakkan para jemaah agar berlumba-lumbalah kita di dalam merebut dan meraih ganjaran pahala daripada-Nya. Hal ini kerana Allah menyukai orang yang sentiasa mendekatkan diri kepada-Nya.

Rasulullah SAW bersabda, di dalam sebuah hadith qudsi Allah SWT berfirman:

وَإِنْ تَقَرَّبَ إِلَىَّ بِشِبْرٍ تَقَرَّبْتُ إِلَيْهِ ذِرَاعًا ، وَإِنْ تَقَرَّبَ إِلَىَّ ذِرَاعًا تَقَرَّبْتُ إِلَيْهِ بَاعًا ، وَإِنْ أَتَانِى يَمْشِى أَتَيْتُهُ هَرْوَلَةً

Maksudnya: “Jika dia (hamba-Ku) dekat kepada-Ku sejengkal, Aku akan dekat kepadanya sehasta. Jika dia (hamba-Ku) dekat kepada-Ku sehasta, Aku dekat kepadanya sedepa. Jika dia (hamba-Ku) datang kepada-Ku dengan berjalan (biasa), maka Aku mendatanginya dengan berjalan cepat.”

Riwayat al-Bukhari (6970)

Akhir sekali, marilah kita berdoa semoga kita dijauhi dan dilindungi oleh Allah SWT daripada perkara-perkara yang dimurkai oleh-Nya seterusnya hidup dibawah rahmat-Nya. Amin.

Bertarikh: 16 Mei 2023 bersamaan 27 Syawal 1444H