#1549: Ucapan Saidina Abu Bakar RA Ketika Menjadi Khalifah

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh Dato’ Seri tolong syarahkan ucapan Abu Bakar RA ketika menjadi khalifah?

 Jawapan:

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Pada 12 Rabiul Awwal tahun ke-11 hijrah, ketika itu Abu Bakar al-Siddiq berada di Suhn (Kawasan tanah tinggi di Madinah), beliau dikhabarkan akan suatu berita tentang pemergian Rasulullah SAW. Lalu beliau bergegas menuju ke rumah Aisyah RA dan melihat Baginda sudah ditutupi dengan kain. Abu Bakar lalu menyingkap kain dan melihat wajah Rasulullah SAW, kemudian menciumnya. Beliau berkata:

بِأَبِي أَنْتَ وَأُمي طِبْتَ حَيًّا وَمَيِّتًا وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ لَا يُذِيقُكَ اللهُ الْمَوْتَتَيْنِ أَبَدًا

Maksudnya: “Ayah dan ibuku sebagai galang ganti bagimu, kamu dalam keadaan baik saat hidup dan sesudah mati. Demi Dia jiwaku berada ditangan-Nya, Allah SWT tidak akan membuatkanmu merasakan kematian sebanyak dua kali buat selama-lamanya.”

Kemudian Abu Bakar keluar dan berkata: Wahai orang yang bersumpah (yakni Umar), bertenanglah ditempatmu.” Ketika itu Umar hanya mampu terduduk. Lalu Abu Bakar berkata:

فمَن كانَ مِنكُم يَعْبُدُ مُحَمَّدًا صَلَّى اللهُ عليه وسلَّمَ، فإنَّ مُحَمَّدًا قدْ مَاتَ، ومَن كانَ مِنكُم يَعْبُدُ اللَّهَ فإنَّ اللَّهَ حَيٌّ لا يَمُوتُ

Maksudnya: “Ketahuilah sesiapa yang menyembah Muhammad, maka sesungguhnya Muhammad telah wafat, dan sesiapa menyembah Allah maka Allah sentiasa hidup dan tidak pernah mati.” (Lihat Sahih Bukhari, no. 3668).

Beliau membaca firman Allah:

اِنَّكَ مَيِّتٌ وَّاِنَّهُمْ مَّيِّتُوْنَ ۖ

Maksudnya:  Sesungguhnya engkau (Muhammad) akan mati dan mereka akan mati.

Surah az-Zumar (30)

Beliau juga membaca firman Allah SWT:

وَمَا مُحَمَّدٌ اِلَّا رَسُوْلٌۚ قَدْ خَلَتْ مِنْ قَبْلِهِ الرُّسُلُ ۗ اَفَا۟ىِٕنْ مَّاتَ اَوْ قُتِلَ انْقَلَبْتُمْ عَلٰٓى اَعْقَابِكُمْ ۗ وَمَنْ يَّنْقَلِبْ عَلٰى عَقِبَيْهِ فَلَنْ يَّضُرَّ اللّٰهَ شَيْـًٔا ۗوَسَيَجْزِى اللّٰهُ الشّٰكِرِيْنَ

Maksudnya: “Dan Muhammad hanyalah seorang Rasul; sebelumnya telah berlalu beberapa rasul. Apakah jika dia wafat atau dibunuh kamu berbalik ke belakang (murtad)? Barangsiapa berbalik ke belakang, maka ia tidak akan merugikan Allah sedikit pun. Allah akan memberi balasan kepada orang yang bersyukur.”

Surah Ali-Imran (144)

Ibn al-Musayyib mengatakan bahawa Umar berkata,” Demi Allah, sebaik sahaja aku mendengar Abu Bakar membacakan ayat itu, maka aku menjadi lemah longlai sehingga tidak berdaya untuk berdiri. Maka, yakinlah aku bahawa Rasulullah SAW telah wafat. (Lihat Rahiq al-Makhtum, hlm 469)

 

Ucapan Abu Bakar sebagai khalifah pertama selepas kewafatan Rasulullah SAW

Selepas kewafatan Rasulullah SAW, datang seorang khalifah yang pertama dan terbaik dalam memahami konsep ketaatan yang syar’ie iaitu Abu Bakar al-Siddiq RA. Beliau menyampaikan khutbah berkata:

أَيُّها النَّاسُ فَإِني قَدْ وُلِّيتُ عَلَيْكُم وَلَسْتُ بِخَيْرِكُمْ فإِنْ أَحْسَنْتُ فَأَعِينُونِي وإِنْ أَسَأْتُ فَقَوِّمُوني. الصِّدْقُ أَمَانةٌ وَالْكَذِبُ خِيَانَةٌ . والضَّعِيفُ فِيْكُمْ قَوِيٌّ عِنْدِي حَتَّى أُرْجِعَ إِلَيْهِ حَقَّهُ إِنْ شَاءَ اللّهُ، وَالْقَوِيُّ فِيْكُمْ ضَعِيفٌ عِنْدِي حَتَّى آخُذَ الحقَّ مِنْهُ إِنْ شَاءَ اللّهُ. لَا يَدَعُ قومٌ الجِهادَ فِي سَبِيْلِ اللّهِ إِلَّا خَذَلَهمُ اللَّهُ بِالذُلِّ وَلَا تَشِيعُ الفَاحِشَةُ فِي قَوْمٍ إِلَّا عَمَّهُمُ اللَّهُ بِالبَلَاءِ. أَطِيعُونِي مَا أَطَعْتُ اللَّهَ وَرَسُوْلَهُ فَإِذا عَصَيْتُ اللَّهَ وَرَسُولَهُ فَلَا طَاعَةَ لِي عَلَيْكُمْ. قُومُوا إلَى صَلَاتِكُمْ يَرْحَمْكُمُ اللّهُ.

Maksudnya: “Wahai sekalian manusia, sesungguhnya aku telah dipilih untuk memimpin kamu semua, dan aku bukanlah yang terbaik dalam kalangan kamu semua. Jika sekiranya aku berbuat baik, maka bantulah ak, dan jika sekiranya aku melakukan kesalahan, maka perbetulkanlah aku. Kebenaran itu adalah satu amanah dan dusta itu adalah satu pengkhinatan.

Dan orang yang lemah dikalangan kamu semua adalah orang yang kuat pada pandanganku, sehingga aku berikan hak kepadanya, Insyaallah. Dan orang yang kuat dikalangan kamu semua adalah orang yang lemah pada pandanganku, sehingga aku mengambil kembali hak daripadanya, Insyaallah.

Janganlah ada sesuatu kaum yang meninggalkan jihad, kecuali Allah SWT akan menimpakan kehinaan kepadanya. Dan apabila keburukan sudah memenuhi sesuatu kaum, maka Allah SWT akan mendatangkan bala kepada kaum tersebut.

Taatlah kepadaku selagi mana aku taat kepada Allah SWT dan RasulNya. Jika sekiranya aku melakukan maksiat kepada Allah dan Rasulnya, maka tidak wajib kepada kamu semua untuk mentaatiku. Marilah semua mendirikan solat, semoga Allah SWT merahmati kamu semua.” (Lihat al-Muwatta,1/161, Sirah Ibn Hisyam,4/240 dan Uyun al-Akhbar Ibn Qutaibah, 2/234)

Berdasarkan khutbah Abu Bakar, terdapat beberapa pengajaran yang boleh kita ambil iktibar daripadanya. Antaranya:

  1. Menjadi hak pemimpin dalam negara, bagi membantu setiap rakyat sekiranya keadaan memerlukan kepada perkara tersebut. Sekiranya dilihat pemerintah tersebut membuat perkara yang betul, maka menjadi kewajipan kepada rakyat untuk bersama-sama pemimpin dan membantu dalam melaksanakan tanggungjawab tersebut.
  2. Sikap bertanggungjawab di antara pemimpin dan rakyat dalam mengislah masyrakat perlu sentiasa dipegang dalam menegakkan tanggungjawab tersebut.
  3. Setiap orang berhadapan dengan undang-undang, tidak kira pemimpin mahupun rakyat. Undang-undang dikenakan kepada orang yang berkuasa tanpa melihat kepada jawatan yang dimiliki dan turut dikenakan tindakan kepada orang lemah tanpa melihat kepada kelemahan mereka.
  4. Ketaatan kepada ulil amri itu adalah bagi membolehkan pemerintah menegakkan keadilan dalam berhukum sebagaimana yang diperintahkan oleh Allah SWT. Maka arahan mentaati pemerintah yang disertai dengan arahan menegakkan keadilan ini menunjukkan bahawa ketaatan yang diwajibkan oleh Allah SWT ialah ketaatan pada perkara yang ma’ruf.
  5. Menjadi tanggungjawab bagi pemerintah untuk berhukum dengan adil dan menjalankan amanah yang diberi, begitu juga menjadi tanggungjawab rakyat untuk dengar dan patuh kepada mereka. (Lihat al-Tahrir wa al-Tanwir, 5/96)

 

Kesimpulan

Kewafatan Rasulullah SAW membawa seribu kesedihan kepada seluruh umat Islam. Namun, ia merupakan salah satu dari fitrah manusia bahawa setiap manusia pasti akan merasai mati dan akhirat kekal buat selamanya. Ketika Umar tidak dapat menahan sedihnya, Abu Bakar menasihatkannya sepertimana yang disebutkan sebelum ini. Akhirnya Umar rebah ke bumi ketika mendengar Abu Bakar membacakannya dan yakinlah dia bahawa Rasulullah telah wafat. Begitu juga pelbagai pengajaran yang dapat kita perolehi dari khutbah yang disampaikan oleh Saidina Abu Bakar as-Siddiq. Justeru itu, moga Allah merahmati kita semua dalam mengejar redha-Nya.

Bertarikh: 17 Mei 2023 bersamaan 28 Syawal 1444H