Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Apa hukum seseorang berdiri untuk sambut ketibaan individu tertentu?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Dalam menjawab persoalan di atas, kamu mulakan dengan hadith daripada Abu Sa’id al-Khudri, katanya: “Sesungguhnya penduduk Quraizhah tatkala mereka bersetuju untuk menerima hukum (yang bakal diputuskan) oleh Sa’ad, maka Nabi SAW menghantar beliau kepada mereka. Lalu beliau datang dengan menaiki keladai. Maka Baginda SAW bersabda:
قُومُوا إِلَى سَيِّدِكُمْ
Maksudnya: “Berdirilah kamu semua kepada tuan kamu.”
Dalam riwayat lain, Baginda SAW bersabda:
إِلَى خَيْرِكُمْ
Maksudnya: “(Berdirilah) kepada orang yang baik dari kalangan kamu.”
Riwayat Abu Daud (5215)
Mulla ‘Ali al-Qari menjelaskan: “Sebahagian ulama menyebut bahawa hadith ini menunjukkan kepada perbuatan memuliakan golongan yang mempunyai kelebihan dari sudut keilmuan, kesolehan, atau kemuliaan dengan cara berdiri apabila mereka datang.”
Beliau turut menukilkan pandangan al-Ghazali yang menyebut: “Perbuatan berdiri adalah makruh jika bertujuan untuk mengagung-agungkan (seseorang), dan tidak makruh dengan tujuan untuk memuliakan.” (Lihat Mirqat al-Mafatih, 7/2972)
Imam al-Nawawi berkata: “Berdiri disebabkan (kehadiran) golongan yang memiliki kelebihan dan kebaikan, serta memuliakan golongan yang mempunyai hak untuk dihormati, dengan tujuan untuk memuliakan mereka, maka telah datang padanya hadith-hadith daripada peninggalan para salaf, serta pendapat-perndapat para ulama’ padanya.”
Beliau turut menyebut, “Pendapat yang kami pilih adalah, ia (perbuatan berdiri tersebut) hukumnya mustahab terhadap sesiapa yang wujud pada dirinya kelebihan yang zahir dari sudut keilmuan dan kesolehan.” (Lihat al-Azkar, hlm. 341)
Kata beliau juga, “Pendapat yang kami pilih dan kami beramal dengannya, dan juga merupakan pendapat yang masyhur daripada ucapan-ucapan dan perbuatan para salaf adalah keharusan untuk berdiri serta mustahabnya ia berdasarkan wajah (bentuk) yang telah kami sebutkan.” (Lihat al-Manthurat, hlm. 110)
Adapun jika sujud, maka hukumnya haram dan tidak dibolehkan. Hal ini berdasarkan hadith Nabi SAW daripada Anas bin Malik RA bahawa Nabi SAW bersabda:
لَا يَصْلُحُ لِبَشَرٍ أَنْ يَسْجُدَ لِبَشَرٍ، وَلَوْ صَلَحَ لِبَشَرٍ أَنْ يَسْجُدَ لِبَشَرٍ، لَأَمَرْتُ الْمَرْأَةَ أَنْ تَسْجُدَ لِزَوْجِهَا، مِنْ عِظَمِ حَقِّهِ عَلَيْهَا
Maksudnya: “Tidak dibenarkan seorang manusia itu untuk sujud kepada manusia. Jika dibenarkan untuk manusia itu sujud kepada manusia nescaya aku akan meminta isteri untuk sujud kepada suaminya kerana besarnya hak suami ke atas isteri itu.”
Riwayat Ahmad (12614). Syeikh Syu’aib al-Arna’ut menilai hadith ini sahih li ghairihi.
Justeru, kami nyatakan bahawa jika sekiranya individu yang disambut itu merupakan seorang yang dihormati dari sudut kesolehan, keilmuan, kewarakan dan kemuliaannya, maka ia adalah dibolehkan jika hanya untuk meraikan dan memuliakannya.
Bertarikh: 17 Mei 2023 bersamaan 28 Syawal 1444H