Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Apa hukum “Keep the change“?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan memberi maksud frasa Keep the change. Ia adalah frasa yang biasa digunakan apabila seseorang membeli barangan kemudian ketika membayar, terdapat baki daripada pembayaran dan dia menyatakan Keep the change untuk memberitahu peniaga yang dia menghadiahkan baki tersebut kepada peniaga dan tidak perlu untuk memberi semula baki bayaran kepada pembeli tersebut.
Pertamanya, Rasulullah SAW pernah bersabda:
daripada Jabir bin Abdullah R.Anhuma, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
رَحِمَ اللَّهُ رَجُلًا سَمْحًا إِذَا بَاعَ وَإِذَا اشْتَرَى وَإِذَا اقْتَضَى.
Maksudnya: “Semoga Allah merahmati orang yang bertoleransi ketika menjual, membeli dan menuntut (haknya).”
Riwayat al-Bukhari (2076)
Nas ini menunjukkan sifat baik dan toleransi ketika transaksi jual beli adalah amat dituntut terutamanya dari kedua-dua pihak. Jual beli yang sebenar adalah berasaskan keredhaan, sebagaimana sabda Rasulullah SAW:
إنَّمَا الْبَيْعُ عَنْ تَرَاضٍ
Maksudnya: “Hanyasanya jual beli itu apa yang diredhai oleh pembeli dan penjual.”
Riwayat Ibn Hibban (4967). Syeikh Syu’aib al-Arna’ut dalam takhrij Sahih Ibn Hibban menyatakan isnadnya kuat.
Berdasarkan kepada dua nas di atas, jika dari keredhaan dan kerelaan pembeli sebagai pemberian kepada tuan kedai atau owner kedai, maka hukumnya adalah diharuskan. Dan saya melihat isu ini adalah amat baik, cumanya janganlah bersifat sepihak. Begitu juga, jika pembeli tidak mencukupi untuk bayaran maka pekedai boleh juga memberi pengecualian kekurangan yang sedikit yang sepatutnya dibayar.
Semoga sifat baik hati dari semua pihak boleh menatijahkan perasaan kasih sayang serta respect dan penghormatan kepada yang lain. Hal ini sudah tentu menatijahkan masyarakat yang baik. Amin.
Bertarikh: 17 Mei 2023 bersamaan 28 Syawal 1444H