#1559: Zikir Allah secara Mufrad

Soalan :

Assalamualaikum. Terdapat sebilangan orang yang mengatakan zikir Allah, Allah, itu tiada makna yang jelas atau tiada manfaat. Adakah ini merupakan perkara khilaf? Bolehkah terangkan pendapat-pendapat dari para ulama tentang isu ini. Terima kasih.

Jawapan :

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Zikir ialah satu istilah yang suci daripada Ilahi. Hal ini adalah seperti yang didefinisikan oleh Syeikh ‘Abd al-Rahman al-Sa‘di, zikir secara umum adalah meliputi segala perkara yang mendekatkan seseorang hamba dengan Allah SWT dari segi aqidah, pemikiran, amalan hati, amalan badan atau pujian ke atas Allah atau mempelajari ilmu berfaedah atau mengajarinya atau seumpama dengannya. (Lihat al-Riyadh al-Nadhirah, hlm. 245 )

Secara khususnya pula, zikir merujuk kepada lafaz-lafaz tertentu yang disyariatkan oleh Allah SWT seperti membaca al-Quran, menyebut nama-nama dan sifat-sifat-Nya yang Maha Tinggi dengan bibir atau di dalam hati sebagaimana yang termaktub di dalam al-Quran, atau pun lafaz-lafaz yang disyariatkan menerusi lidah Rasulullah SAW yang memberi erti pujian, penyucian, pengudusan dan pengesaan terhadap Allah SWT( Lihat al-Zikr wa Atharuh fi Dunya al-Muslim wa Akhiratih, hlm. 17-20. ).

Selain daripada itu, Ibn ‘Allan pula menyimpulkannya sebagai apa yang kita ibadahkan berdasarkan lafaz-lafaz yang ditentukan oleh pembuat syariat (Allah SWT) bertujuan bagi mengagungkan Allah SWT dan memuji-muji-Nya (Lihat al-Futuhat al-Rabbaniyyah Syarh al-Azkar al-Nawawiyyah, 1/396.)

Dalam menjawab persoalan ini, suka saya nyatakan bahawa perintah zikir terlalu banyak dalam nas Ilahi dan hadith Nabawi. Ia termasuk juga boleh menenangkan hati. Saya nyatakan di sini beberapa dalil:

أَلَا بِذِكْرِ اللَّهِ تَطْمَئِنُّ الْقُلُوبُ

Maksudnya: “Ketahuilah dengan “zikrullah” itu, tenang tenteramlah hati manusia.”

(Surah al-Ra’d: 28)

Di sana juga terdapat banyak hadith berkaitan galakan berzikir ini seperti hadith daripada Abu Musa R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:

مَثَلُ الَّذِي يَذْكُرُ رَبَّهُ وَالَّذِي لاَ يَذْكُرُ رَبَّهُ، مَثَلُ الحَيِّ وَالمَيِّتِ

Maksudnya: “Perumpamaan orang yang berzikir kepada Allah dan orang yang tidak berzikir kepada Allah seperti orang yang hidup dan mati.” 

Riwayat al-Bukhari (6407)

 Daripada Abu al-Darda’ RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

أَلَا أُنَبِّئُكُمْ بِخَيْرِ أَعْمَالِكُمْ، قَالَ مَكِّيٌّ: وَأَزْكَاهَا، عِنْدَ مَلِيكِكُمْ، وَأَرْفَعِهَا فِي دَرَجَاتِكُمْ، وَخَيْرٍ لَكُمْ مِنْ إِعْطَاءِ الذَّهَبِ وَالْوَرِقِ، وَخَيْرٍ لَكُمْ مِنْ أَنْ تَلْقَوْا عَدُوَّكُمْ، فَتَضْرِبُوا أَعْنَاقَهُمْ وَيَضْرِبُوا أَعْنَاقَكُمْ ” قَالُوا: وَذَلِكَ مَا هُوَ يَا رَسُولَ اللهِ؟ قَالَ: ذِكْرُ اللهِ عَزَّ وَجَلَّ

Maksudnya: “Tidakkah kamu ingin aku tunjukkan kepada kamu akan sebaik-baik amalan? Kata Makki: Ia adalah sebaik-baik penyucian di sisi Tuhan kamu dan yang mengangkat darjat kamu dengan begitu tinggi. Dan ia lebih baik daripada kamu memberikan emas dan duit. Ia juga jauh lebih baik daripada kamu apabila berhadapan dengan musuh kamu dengan kamu memancung leher-leher mereka dan mereka memancung lehermu. Para sahabat berkata: Apakah perkara itu (kami ingin mengetahuinya) wahai Rasulullah! Lalu Rasulullah SAW bersabda: “Zikir kepada Allah Azza Wa Jalla.” 

Riwayat Ahmad (27102). Syeikh Syu’aib al-Arna’uth menilai sanad hadith ini adalah sahih.

Menjawab persoalan di atas ulama berbeza kepada dua pendapat. Pendapat pertama menerima dan pendapat yang kedua menolak. 

Pendapat Pertama: Antara dalil yang menunjukkan bolehnya berzikir dengan lafaz ( الله ) sahaja ialah sebuah hadith  yang diriwayatkan oleh Imam Muslim, daripada Anas Bin Malik, Rasulullah SAW bersabda:

لَا تَقُومُ السَّاعَةُ حَتَّى لَا يُقَالَ فِي الْأَرْضِ: اللَّهُ اللَّهُ

Maksud: “Tidak akan berlaku kiamat hingga tidak ada yang mengucapkan di atas bumi (kalimat) Allah, Allah” 

Riwayat Muslim (184)

Hadith ini menceritakan tentang keadaan akhir zaman di mana penduduk dunia tidak lagi menyebutkan nama Allah ketika itu. Imam Nawawi menyebutkan bahawa hadith ini menunjukkan bahawa kiamat itu akan berlaku ke atas seburuk-buruk kaum. (Lihat Syarh al-Nawawi ala Sahih Muslim, 2/178).

Justeru itu, hadith ini menjadi sandaran  kepada pendapat yang membenarkan kita untuk berzikir dengan lafaz ( الله ) sahaja.

Pendapat Kedua: Pendapat ini mengatakan zikir dengan menyebut lafaz ( الله ) sahaja tidak memberi sebarang makna. Hal ini demikian kerana setiap zikir perlulah memberi makna yang jelas seperti Subhana Allah (Maha Suci Allah), Alhamdulillah (Segala Puji Bagi Allah), Allahu Akbar (Allah Maha Besar) dan  Lailaha illa Allah (Tiada Tuhan Melainkan Allah). Manakala menyebut lafaz ( الله ) sahaja itu tidak sama seperti zikir-zikir tersebut.

Tambahan pula, tiada sandaran khusus bagi zikir dengan menyebut lafaz ( الله ) sahaja daripada mana-mana  dalil. Tiada juga jaminan apa-apa ganjaran akan diperoleh sekiranya zikir ini diamalkan dalam kehidupan seharian.

Antara kaedah fiqh yang biasa digunakan ialah:

الأَصْلُ فِي الْعِبَادَاتِ الْحَظَرُ أَوِ التَّوَقُّفُ

Maksud: Asal pada ibadat itu adalah haram atau tawaqquf

Maksud tawaqquf adalah terhenti kepada dalil. Jika terdapat dalil hukumnya dibolehkan.  Oleh yang demikian, kecenderungan pendapat  kedua yang menolak zikir dengan menyebut lafaz ( الله ) sahaja itu adalah disebabkan ketiadaan yang dalil yang disepakati.

Kesimpulan

Oleh yang demikian, kami berpendapat bahawa zikir yang terbaik untuk di amalkan adalah zikir yang Mathur daripada al-Quran dan al-Hadith. Sebagai contoh zikir yang penuh ialah sepertimana yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda:

كَلِمَتَانِ خَفِيفَتَانِ عَلَى اللِّسَانِ, ثَقِيلَتَانِ فِى الْمِيزَانِ, حَبِيبَتَانِ إِلَى الرَّحْمَنِ; سُبْحَانَ اللَّهِ وَبِحَمْدِهِ سُبْحَانَ اللَّهِ الْعَظِيمِ

Maksudnya : “Ada dua kalimat zikir yang ringan diucapkan di lidah, tetapi berat, besar pahalanya pada timbangan amal kebaikan, dan sangat dicintai oleh Ar-Rahman (Allah Ta’ala yang  Maha Luas Rahmat-Nya), iaitu: Subhaanallaahi wa Bihamdihi, Subhaanallahil ‘Azhiim (Maha  Muci Allah dengan memuji-Mya, dan Maha Suci Allah Yang Maha Agung).”

Riwayat al-Bukhari (6682) dan Muslim (2694)

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

Bertarikh: 17 Mei 2023 bersamaan 28 Syawal 1444H