#1564: Solat di Surau Berhampiran Ka’bah

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Di dalam blog Dato’ Seri ketika melakukan umrah pada Ramadhan yang lalu, Dato’ Seri ada menyebutkan Dato’ Seri solat di surau Hotel Safwah. Pertanyaan saya, adakah Dato’ Seri berimamkan imam surau itu atau imam Masjidil Haram. Mohon pencerahan.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Saya mulakan dengan hadith Nabi SAW, daripada Jabir bin Abdillah RA bahawa Nabi SAW bersabda:

صَلَاةٌ فِي مَسْجِدِي هَذَا أَفْضَلُ مِنْ أَلْفِ صَلَاةٍ فِيمَا سِوَاهُ، إِلَّا الْمَسْجِدَ الْحَرَامَ، وَصَلَاةٌ فِي الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ أَفْضَلُ مِنْ مِائَةِ أَلْفِ صَلَاةٍ فِيمَا سِوَاهُ

Maksudnya: “Solat di masjidku ini (masjid Nabawi) lebih baik daripada seribu solat di tempat yang lain melainkan masjid al-Haram. Dan solat di Masjid al-Haram lebih baik daripada 100 ribu solat di tempat lain.” 

Riwayat Ahmad (15271). Sanadnya adalah sahih mengikut syarat Imam al-Bukhari menurut Syeikh Syuaib al-Arna’ut ketika beliau mentakhrijkan hadith ini di dalam musnad Ahmad.

Berdasarkan hadith ini, jelas menunjukkan bahawa ganjaran bagi sesiapa yang menunaikan solat di masjid al-Haram adalah amat besar berbanding masjid-masjid yang lain.

Jawapan bagi persoalan di atas, saya kadang-kadang solat di surau Hotel Safwah tetapi lebih banyak solat di Masjidil Haram. Jika solat di surau Hotel Safwah, saya tetap berimamkan dengan imam Masjidil Haram kerana mereka tidak menyediakan imam di situ. Bahkan secara langsung dari Masjidil Haram. Kenampakan jemaah Masjidil haram di hadapan adalah jelas di samping mic atau speaker (pembesar suara) yang amat jelas sama seperti kita berada di dalam Masjidil Haram.

Isu ini telah dibahaskan oleh Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan beberapa kali. Antara cadangan yang terbaik adalah, hendaklah solat di Masjidil Haram tetapi meraikan kepada orang yang uzur atau zahmah (kesesakan orang ramai) yang melampau menyebabkan sebahagian mereka yang masih bercita-cita untuk solat berjemaah dengan imam Masjidil Haram akan tercapai. Pendapat ini adalah sebahagian daripada ulama Syafi’iyyah di dalam Bughiyyatu al-Mustarshidin.

Resolusi Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan Ke-34 Musim Haji 1439H pada 9 – 11 November 2018 menyebut: “Adalah diharuskan solat berjemaah dengan berimam kepada imam Masjidil Haram di surau yang mana hotelnya bersambung dengan dataran atau kawasan Masjidil Haram. Keharusan ini terpakai ketika zahmah qaswa (sangat sesak) seperti waktu kemuncak haji dan solat Jumaat. Walaupun begitu, digalakkan turun untuk solat bersama imam di masjid dan bukanlah solat di hotel.”

Semoga pencerahan ini akan memberi kefahaman kepada kita berkenaan dengan solat berjemaah berimamkan imam Masjidil Haram sedangkan makmum berada di surau hotel seperti Hotel Safwah yang mana kedudukannya bersambung dengan dataran atau kawasan Masjidil Haram.

Bertarikh: 17 Mei 2023 bersamaan 28 Syawal 1444H