Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Assalamualaikum Ustaz Saya nak tanya bolehkah tahnik bayi yang dah umur sebulan? Jazakallah ustaz.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Pertamanya, saya ucapkan tahniah di atas kelahiran cahaya mata yang dikasihi. Begitu juga, niat saudara untuk mengetahui berkenaan ibadat dan ajaran serta adab-adab Islam yang terkait dengan kelahiran bayi. Kami kemukakan terlebuh dahulu definisi tahnik.
Berkenaan dengan tahnik telah disebut di dalam satu riwayat daripada Saidatina Aisyah. Kata beliau :
أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- كَانَ يُؤْتَى بِالصِّبْيَانِ فَيُبَرِّكُ عَلَيْهِمْ وَيُحَنِّكُهُمْ فَأُتِىَ بِصَبِىٍّ فَبَالَ عَلَيْهِ فَدَعَا بِمَاءٍ فَأَتْبَعَهُ بَوْلَهُ وَلَمْ يَغْسِلْهُ
Maksudnya : “Sesungguhnya Rasulullah SAW pernah didatangi dengan kanak-kanak. Lalu Baginda memberkati mereka dan mentahnikkan mereka. Kemudian Baginda didatangi dengan seorang kanak-kanak lalu kanak-kanak itu kencing di atas Baginda. Lantas Baginda meminta air dan memercikkan air tersebut ke atas kencing itu. Baginda tidak membasuhnya,”
Riwayat Muslim (688)
Yang dimaksudkan dengan tahnik adalah mengunyah tamar atau selainnya kemudian disapukan kepada lelangit bayi.
Hukum mentahnik bayi merupakan satu sunnah. Perkara ini telah dijelaskan oleh Imam al-Nawawi. Kata beliau :
“Adapun berkaitan hukum hakam yang terdapat di dalam hadis ini, terdapatnya hukum sunat mentahnikkan anak yang baru lahir. Juga berkaitan keharusan mengambil berkat daripada orang yang soleh dan baik. Di dalam hadis itu juga terdapat hukum sunatnya membawa kanak-kanak menemui orang yang soleh untuk bertabarruk dengan mereka. Lihat Syarh Sahih Muslim (14/143)
Berbalik kepada soalan yang ditanya, secara asasnya bayi disunatkan untuk tahnik seawal usia dia dilahirkan. Hal ini berdasarkan kepada hadith daripada Anas bin Malik RA bahawa beliau membawa Abdullah bin Abu Talhah al-Ansari kepada Rasulullah SAW selepas Abdullah RA baru dilahirkan. Katanya:
ذَهَبْتُ بِعَبْدِ اللَّهِ بْنِ أَبِي طَلْحَةَ الأَنْصَارِيِّ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم حِينَ وُلِدَ وَرَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم فِي عَبَاءَةٍ يَهْنَأُ بَعِيرًا لَهُ فَقَالَ ” هَلْ مَعَكَ تَمْرٌ ” . فَقُلْتُ نَعَمْ . فَنَاوَلْتُهُ تَمَرَاتٍ فَأَلْقَاهُنَّ فِي فِيهِ فَلاَكَهُنَّ ثُمَّ فَغَرَ فَا الصَّبِيِّ فَمَجَّهُ فِي فِيهِ فَجَعَلَ الصَّبِيُّ يَتَلَمَّظُهُ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم ” حُبُّ الأَنْصَارِ التَّمْرَ ” . وَسَمَّاهُ عَبْدَ اللَّهِ
Maksudnya: “Aku membawa Abdullah bin Abu Talhah al-Ansari RA yang baru lahir menemui Rasulullah SAW pada ketika itu, baginda memakai aba’ah (العباءة) sedang melumurkan untanya dengan minyak. Baginda bertanya: “Adakah kamu membawa tamar?” Aku menjawab: “Ada,” lalu aku menyerahkan beberapa biji kepada Baginda. Baginda pun memasukkan beberapa itu ke dalam mulut dan mengunyah-ngunyahnya. Kemudian, baginda membuka mulut Abdullah dan memasukkan tamar tersebut. Bayi itu pun menggerak-gerakkan lidah sambil menghisap manisnya. Kemudian, Rasulullah SAW bersabda: “Kesukaan orang Ansar ialah buah tamar. Lalu Baginda menamakannya Abdullah.”
Hadith riwayat Muslim (2144)
Berkaitan hal ini, Imam al-Nawawi juga menyebutkan dalam syarah Muslim:
أنَّ تَحْنِيكَ المَوْلُودِ يَوْمَ وِلَادَتِهِ سُنَّةٌ بِالإِجْمَاعِ، وَيُحَنِّكُهُ صَالِحٌ مِنْ رَجُلٍ أَوِ امْرَأَةٍ، وَيُسْتَحَبُّ التَّحْنِيْكُ بِالتَّمْرِ
Maksudnya: Bahawasanya amalan tahnik bayi pada hari kelahirannya hukumnya adalah sunat secara ijma’ dan hendaklah ditahnikkan bayi tersebut dengan seorang lelaki soleh atau perempuan yang solehah. Disunatkan digunakan tamar untuk bertahnik. (Lihat Syarh al-Minhaj ‘ala Sahih Muslim, 14/123)
Selain itu, Imam al-Bukhari telah menamakan satu bab di dalam kitab sahihnya dengan nama:
بَابُ تَسْمِيَةِ الْمَوْلُوْدِ غَدَاةَ يُولَدُ لِمَنْ لَمْ يَعُق عَنْهُ وَتَحْنِيْكِهِ
Maksudnya: Bab pada menyatakan perbuatan menamakan bayi dan mentahniknya pada waktu petang kelahirannya sekalipun belum dilakukan akikah. (Lihat Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari, 9:399)
Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani dalam mensyarahkan tajuk ini mengatakan bahawa, perbuatan mentahnik tersebut diikat dengan ‘waktu petang’ itu bagi mengikut kepada hadith yang ada di dalam bab tersebut. Ini kerana, jika seseorang bayi dilahirkan pada waktu pagi, maka ditahnikkan dan diberi namanya pada waktu petang. Ini menunjukkan bahawa tahnik disunatkan pada hari selepas bayi itu dilahirkan.
Begitu juga, dalam satu hadith yang diriwayatkan dalam bab ini, iaitu daripada Abu Musa al-Asy’ari RA, bahawa beliau berkata:
وُلِدَ لِي غُلَامٌ فَأَتَيْتُ بِهِ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَسَمَّاهُ إِبْرَاهِيْم فَحَنَّكَهُ بِتَمْرَةٍ وَدَعَا لَهُ بِالْبَرَكَةِ
Maksudnya: Telah lahir bagiku seorang anak lelaki, maka aku datang kepada Rasulullah SAW dan Baginda SAW menamakannya Ibrahim dan mentahniknya dengan sebiji tamat serta mendoakannya dengan keberkatan.
Riwayat al-Bukhari (5467)
Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani dalam syarahan hadith ini menyebutkan bahawa ia menunjukkan bahawa Abu Musa RA bersegera untuk membawa bayi yang dilahirkan kepada Rasulullah SAW, lalu Rasulullah SAW mentahnikkannya selepasd diberikan nama. Ini bermakna Rasulullah SAW mempercepat perkara demikian seperti menamakan bayi (dan tahnik) pada hari pertama ia dilahirkan dan tidak perlu menunggu sehingga ke hari ketujuh. (Lihat Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari, 9/502)
Berdasarkan nas di atas, jelaslah bahawa perbuatan mentahnik bayi seelok-eloknya pada hari yang sama bayi tersebut dilahirkan. Jika bayi dilahirkan pada waktu pagi, maka seeloknya pada petang tersebut ditahnikkan dan diberikan nama tanpa perlu menunggu hari ketujuh. Ia perlu disegerakan jika tiada apa-apa sebab yang menghalangnya. Namun jika ada halangan dan kekangan untuk melakukan demikian, seperti bayi perlu dijaga dan mendapatkan rawatan di hospital, maka tidak mengapa untuk melewatkkannya dalam tempoh masa tujuh hari atau lebih, selepas bayi sudah kembali sihat.
Kami akhiri dengan doa:
رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”
Surah al-Furqan (74)
Bertarikh: 23 Mei 2023 bersamaan 3 Zulkaedah 1444H