Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Maaf jika soalan saya ini adalah yang kerap ditanya namun, bolehkah ustaz perincikan tanggungjawab isteri terhadap suami? Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Sesungguhnya, perkahwinan merupakan perkongsian hidup antara suami dan isteri dalam mencapai kehendak fitrah dan mardhatillah. Ia merupakan tanda kekuasaan Allah SWT. Firman Allah SWT:
وَمِنْ آيَاتِهِ أَنْ خَلَقَ لَكُم مِّنْ أَنفُسِكُمْ أَزْوَاجًا لِّتَسْكُنُوا إِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُم مَّوَدَّةً وَرَحْمَةً ۚ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَآيَاتٍ لِّقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ
Maksudnya: “Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.”
(Surah al-Rum: 21)
Imam al-Qurtubi berkata: Yang dimaksudkan dengan kalimah al-mawaddah dan al-rahmah adalah, perasaan yang menghubungkan di antara satu sama lain (suami dan isteri). Ibn Abbas R.Anhuma menafsirkan al-mawaddah sebagai perasaan cinta seorang suami kepada isterinya. Manakala al-rahmah pula bererti perasaan belas ehsan seorang lelaki dari mendatangkan keburukan kepada isterinya. (Lihat Tafsir al-Qurtubi, 17/14)
Menjawab persoalan di atas, antara tanggungjawab isteri sebagaimana yang kami nyatakan ialah:
- Taat dalam Perkara Bukan Maksiat
Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:
الرِّجَالُ قَوَّامُونَ عَلَى النِّسَاءِ
Maksudnya: “Kaum lelaki itu adalah pemimpin bagi kaum wanita.”
(Surah al-Nisa’: 34)
Maksud perkataan qiwamah di dalam ayat yang dinyatakan di atas ialah berkaitan kepimpinan dan hak ketaatan.
- Tidak Membenarkan Sesiapa pun Masuk ke dalam Rumahnya Tanpa Keizinan dan Keredaan Suaminya.
Hal ini berdasarkan hadis, Rasulullah SAW bersabda:
وَلَكُمْ عَلَيْهِنَّ أَنْ لاَ يُوْطِئْنَ فُرُشَكُمْ أَحَدًا تَكْرَهُونَهُ
Maksudnya: “Kewajipan isteri kamu adalah dengan tidak membenarkan sesiapa yang kamu benci masuk ke dalam rumah kamu.”
Riwayat Muslim (1218)
Imam Nawawi Rahimahullah berkata: “Janganlah sama sekali para isteri mengizinkan seseorang yang kamu benci masuk dan duduk di dalam rumah kamu.”
- Menjaga Kemuliaan, Maruah dan Harta Suami
Hal ini berdasarkan hadis, Rasulullah SAW bersabda:
أَلاَ أُخْبِرُكَ بِخَيْرِ مَا يَكْنِزُ الْمَرْءُ الْمَرْأَةُ الصَّالِحَةُ إِذَا نَظَرَ إِلَيْهَا سَرَّتْهُ وَإِذَا أَمَرَهَا أَطَاعَتْهُ وَإِذَا غَابَ عَنْهَا حَفِظَتْهُ
Maksudnya: “Mahukah kamu, aku tunjukkan sebaik-baik perkara yang disimpan oleh lelaki? Perkara itu ialah seorang isteri yang solehah, iaitu apabila dipandang, menggembirakannya, apabila diperintahkan, mentaatinya, dan apabila suaminya tiada, dia memelihara dirinya dan harta suaminya.”
Riwayat Abu Daud (1664) dan al-Hakim dalam al-Mustadrak, di mana beliau mensahihkannya
Yang penting, suami juga perlu melaksanakan tanggungjawab terhadap isterinya seperti memberi nafkah zahir dan batin, melayan dengan makruf dan baik, membimbing isteri ke arah ketaatan kepada Allah SWT dan sentiasa memelihara maruah isteri.
Semoga rumah tangga yang dibina membawa keberkatan dan kebahagian. Lazimilah doa:
رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”
Surah al-Furqan (74)
Bertarikh: 23 Mei 2023 bersamaan 3 Zulkaedah 1444H