Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Kalau kita sedang dalam proses nak memohon perceraian, boleh ke kita tinggal berasingan atas sebab berlakunya keganasan rumahtangga?
Jawapan
Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.
Perkahwinan bertujuan untuk membangunkan institusi kekeluargaan dan ia sangatlah digalakkan di dalam Islam. Ia juga bertujuan untuk memenuhi keperluan fitrah manusia, mengembangkan masyarakat Islam serta mewujudkan ketenangan dan ketenteraman jiwa. Galakan Islam terhadap perkahwinan agar mendapat banyak kebaikan dan faedah daripadanya.
Begitu juga, suami isteri merupakan pasangan yang saling melindungi di antara satu sama lain dan saling perlu memerlukan. Ini diperumpamakan di dalam al-Quran, firman Allah SWT:
هُنَّ لِبَاسٌ لَّكُمْ وَأَنتُمْ لِبَاسٌ لَّهُنَّ
Maksudnya: “Isteri-isteri kamu itu adalah sebagai pakaian bagi kamu dan kamu pula sebagai pakaian bagi mereka.”
(Surah al-Baqarah: 187)
Ibn Kathir menukilkan pandangan Ibn Abbas R.Anhuma, Mujahid, Sa’id bin Jubair, al-Hasan, Qatadah, al-Suddi dan Muqatil bin Hayyan bahawa maksud yang dikehendaki dari ayat di atas “Mereka adalah ketenangan bagi kalian dan kalian pun adalah ketenangan bagi mereka.” (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 1/510)
Firman Allah SWT lagi:
وَمِنْ آيَاتِهِ أَنْ خَلَقَ لَكُم مِّنْ أَنفُسِكُمْ أَزْوَاجًا لِّتَسْكُنُوا إِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُم مَّوَدَّةً وَرَحْمَةً ۚ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَآيَاتٍ لِّقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ
Maksudnya: “Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.”
(Surah al-Rum: 21)
Imam al-Qurtubi berkata: Yang dimaksudkan dengan kalimah al-mawaddah dan al-rahmah adalah, perasaan yang menghubungkan di antara satu sama lain (suami dan isteri). Ibn Abbas R.Anhuma menafsirkan al-mawaddah sebagai perasaan cinta seorang suami kepada isterinya. Manakala al-rahmah pula bererti perasaan belas ehsan seorang lelaki dari mendatangkan keburukan kepada isterinya. (Lihat Tafsir al-Qurtubi, 17/14)
Suami dan isteri seelok dan sebaiknya adalah dengan tinggal bersama selagi mana penceraian itu tidak berlaku. Kami berikan pesanan dengan nas daripada firman Allah SWT:
ٱلطَّلَـٰقُ مَرَّتَانِ ۖ فَإِمْسَاكٌۢ بِمَعْرُوفٍ أَوْ تَسْرِيحٌۢ بِإِحْسَـٰنٍ
Maksudnya:” Talak (yang boleh dirujuk kembali itu hanya) dua kali. Sesudah itu bolehlah ia (rujuk dan) memegang terus (isterinya itu) dengan cara yang sepatutnya atau melepaskan (menceraikannya) dengan cara yang baik.”
(Surah al-Baqarah: 229)
Syeikh al-Maraghi menyatakan di dalam syarahnya: Ayat ‘sesudah itu bolehlah ia memegang terus’ membawa makna rujuklah kembali bukan dengan niat untuk melukainya. Akan tetapi dengan niat untuk melakukan islah (tambah baik) dan bergaul dengan cara yang baik. Dan ayat ‘melepaskan dengan cara yang baik’ selepas berlaku 3 kali talak,maka berikanlah haknya.” (Lihat Tafsir al-Maraghi, 2/169)
Selain itu, perlu diketahui bahawa perkara halal yang dimurkai oleh Allah SWT ialah perceraian dan talak sebagaimana riwayat hadith daripada Ibn Umar R.Anhuma, bahawa Nabi SAW bersabda:
أَبْغَضُ الْحَلَالِ إِلَى اللَّهِ الطَّلَاقِ
Maksudnya: “Perkara halal yang paling dimurkai Allah adalah talak.”
Riwayat Abu Dawud (2178) dan Ibn Majah (2018)
Imam al-Khattabi menyatakan makna benci pada hadith itu ialah pada sebab yang membawa kepada perceraian itu seperti pergaulan yang buruk sesama suami isteri dan bukannya pada perkara talaq itu sendiri, kerana Allah telah mengharuskan perbuatan talaq itu. (Lihat Ma’alim al-Sunan, 3/231)
Berdasarkan persoalan di atas, kami katakan sekiranya dalam tempoh proses penceraian itu berlakunya keganasan dan penderaan rumah tangga, maka dibolehkan untuk tinggal berasingan, hal ini kerana sekiranya tinggal bersama itu memberikan kemudaratan, maka kemudaratan itu mestilah dihilangkan dan dielakkan. Kaedah menyebut:
الضَّرَر يُزَال
Maksudnya: “Kemudharatan hendaklah dihilangkan.” (Lihat al-Wajiz fi Idhah Qawaid al-Fiqh al-Kulliyyah, hlm. 258)
Imam Suyuti berkata: Ketahuilah bahawa kaedah ini banyak diguna pakai dalam pelbagai bab di dalam ilmu Fiqh. Ini kerana didatangkan syariat bertujuan untuk menghindarkan sesuatu daripada berlakunya kemudharatan. (Lihat al-Ashbah wa al-Nazair, 1/84)
Kaedah ini merupakan antara yang terpenting dalam perlaksanaan hukum-hukum fiqh. Lebih jauh daripada itu, diandaikan separuh daripada hukum fiqh berasaskan kaedah ini. Ini kerana segala hukum berhadapan dengan dua perkara, sama ada membawa manfaat atau menolak mudharat, yang sudah tentu termasuk dalam kaedah dharuriyyah yang lima, iaitu memelihara agama, jiwa, keturunan, maruah dan juga harta.
Kaedah ini bersandarkan kepada hadith Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Abu Said al-Khudri RA, bahawa sabdanya:
لَا ضَرَرَ وَلَا ضِرَارَ
Maksudnya: “Tiada kemudaran (dalam Syariat Islam) dan tidak boleh mengenakan kemudaratan (tanpa hak).”
Riwayat Ahmad (22778) dan Ibn Majah (2340)
Justeru, sekiranya keganasan rumah tangga itu tidak dapat dielakkan, maka saudari boleh tinggal berasingan, namun sekiranya ia dapat dielakkan dan keadaan menjadi selamat, maka kami nasihatkan untuk terus tinggal bersama dan semoga perkahwinan ini dapat diselamatkan dan konfliknya dapat diselesaikan dengan suasana aman dan harmoni. Kami akhiri dengan doa:
رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”
(Surah al-Furqan: 74)
Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.
Wallahua`lam.
Bertarikh: 23 Mei 2023 bersamaan 3 Zulkaedah 1444H