Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Adakah jika kita bermazhab Syafi‘i, maka adakah kita berdosa jika tidak mengikut mazhab Hanafi? Contoh memakan kerang dan sotong. Bantu saya Dato’. Terima kasih. Semoga Allah melimpahkan rahmat buat Dato’.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Pada asasnya, dalam isu memakan sotong, memang terdapat pandangan oleh sebahagian ulama mazhab Hanafi, bahawa hukum memakan sotong adalah haram. Hal ini kerana, mereka menyatakan bahawa sotong bukan tergolong daripada jenis ikan. Mereka telah berhujah dengan alasan berikut:
- Diqiyaskan habitat sotong sama seperti habitat tikus. Ini kerana habitat sotong memakan segala jenis makanan sama ada yang baik dan kotor di dalam laut serta kadang-kala dijumpai pasir dan kotoran di dalam badan sotong. Oleh itu, apabila tikus darat diharamkan maka tikus laut (sotong) juga diharamkan.
- Selain itu, sotong juga mempunyai dakwat hitam yang kotor dan memakan benda kotor jugak adalah haram.
Namun begitu, ia bukan pandangan majoriti mazhab ini, bahkan terdapat sebahagian ulama mazhab Hanafi yang mengharuskan makan sotong.
Dalam mazhab al-Syafie pula, hukum memakan sotong adalah harus dan ia merupakan sebahagian daripada haiwan laut yang diharuskan untuk dimakan sebagaimana firman Allah SWT:
أُحِلَّ لَكُمْ صَيْدُ الْبَحْرِ
Maksudnya: “Dihalalkan bagi kamu buruan (haiwan) laut.”
(Surah al-Ma’idah: 96)
Hadith Nabi SAW, daripada Abu Hurairah R.A, katanya:
سَأَلَ رَجُلٌ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَقَالَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، إِنَّا نَرْكَبُ البَحْرَ، وَنَحْمِلُ مَعَنَا القَلِيلَ مِنَ المَاءِ، فَإِنْ تَوَضَّأْنَا بِهِ عَطِشْنَا، أَفَنَتَوَضَّأُ مِنَ الْبَحْرِ؟ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «هُوَ الطَّهُورُ مَاؤُهُ، الحِلُّ مَيْتَتُهُ»
Maksudnya: “Seorang lelaki telah bertanya Rasulullah SAW, katanya: Kami naik kapal laut dan kami bawa air darat sikit sahaja. Jika kami berwudu’, kami akan dahaga, apakah boleh kami berwudu guna air laut? Jawab nabi: airnya suci dan bangkainya pun halal.”
Riwayat Tirmizi (69)
Dalam menjawab persoalan di atas, ia tidaklah sebegitu. Masalah ini adalah umum. Ia mengikut pandangan masing-masing di mana perkara ini adalah khilaf. Hal ini dengan mengambil umum hadis Nabi SAW:
هُوَ الطَّهُورُ مَاؤُهُ، الحِلُّ مَيْتَتُهُ
Maksudnya : “Air laut itu suci lagi menyucikan dan halal bangkainya.”
Riwayat Abu Daud (83), al-Tirmizi (69) dan al-Nasaie (59)
Imam al-Nawawi juga telah menyatakan bahawa pendapat yang paling sahih menurut mazhab Syafie bagi mana-mana hidupan air yang tidak menyerupai ikan ialah semuanya halal dimakan tanpa perlu disembelih. Ia adalah sebagaimana yang telah dinaskan oleh Imam Syafie di dalam al-Umm dan Mukhtasar al-Muzani. (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 9/31-32 dan al-Mu’tamad di al-Fiqh al-Syafi‘i, 2/548)
Justeru, tidak kira apa sekalipun, selama mana ia tidak memudaratkan, tidak beracun dan bukan khabith, maka ia boleh dimakan.
Kami katakan bahawa tidak berdosa jika tidak mengikut sebahagian mazhab Hanafi dengan sebab kita memakan kerang atau sotong bahkan ia halal dan harus dimakan mengikut pendapat kebanyakkan ulama.
Semoga Allah SWT jadikan kita golongan yang sentiasa mentaati perintah-Nya dan mengikut syariat-Nya. Amin.
Bertarikh: 23 Mei 2023 bersamaan 3 Zulkaedah 1444H