Soalan
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya boleh berjalan ke sana ke mari, bawa kereta, motosikal serta boleh ke mana saja yang diingini. Cuma masalah saya ketika solat saya tidak boleh melipatkan kaki untuk duduk antara dua sujud serta naik kembali kerana terasa sakit yang mengganggu fokus solat. Soalan saya di manakah kedudukan kaki kerusi ketika solat jemaah dimasjid?
Jawapan
Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.
Solat merupakan rukun yang penting yang perlu dijaga. solat menjadi suatu kewajipan ke atas semua umat Islam tanpa mengira jantina, bangsa mahupun pangkat. Ini termasuk juga ke atas mereka yang tidak sihat ataupun mengalami kekurangan upaya dari segi fizikal. Firman Allah SWT:
وَأَقِيمُوا الصَّلَاةَ وَآتُوا الزَّكَاةَ وَارْكَعُوا مَعَ الرَّاكِعِينَ
Maksudnya: Dan dirikanlah kamu akan sembahyang dan keluarkanlah zakat, dan rukuklah kamu semua (berjemaah) bersama-sama orang-orang yang rukuk.
(Surah al-Baqarah: 43)
Dan firman Allah SWT lagi:
إِنَّ الصَّلَاةَ كَانَتْ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ كِتَابًا مَّوْقُوتًا
Maksudnya: Sesungguhnya sembahyang itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang-orang yang beriman, yang tertentu waktunya.
(Surah al-Nisa’: 103)
Kedua-dua ayat di atas merupakan antara dalil-dalil pensyariatan solat ke atas setiap orang Islam di atas muka bumi ini. Menunaikan solat merupakan kewajipan dan juga fardhu ‘ain ke atas semua orang Islam yang mukallaf iaitu individu muslim yang baligh berakal dan suci bersih. (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 3/3)
Namun, Islam adalah agama yang sejahtera dan mudah, maka diberikan rukhsah (keringanan) ke atas mereka yang sakit, atau kekurangan upaya fizikal atau tidak mampu bagi menunaikan solat berdasarkan nas-nas al-Quran dan juga hadith-hadith Nabi SAW.
Solat atas Kerusi
Pada asasnya, seseorang itu boleh solat dalam keadaan duduk sekiranya dia tidak mampu untuk solat secara berdiri sebagaimana riwayat daripada ‘Imran bin Husin R.A yang mana beliau berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:
صَلِّ قَائِمًا، فَإِنْ لَمْ تَسْتَطِعْ فَقَاعِدًا، فَإِنْ لَمْ تَسْتَطِعْ فَعَلَى جَنْبٍ
Maksudnya: Solatlah kamu dalam keadaan berdiri, sekiranya kamu tidak mampu (untuk berdiri) maka solatlah dalam keadaan duduk, dan sekiranya kamu tidak mampu untuk solat secara duduk, maka solatlah di atas lambung.
Riwayat Al-Bukhari (1117)
Imam al-Nawawi berkata: “Umat telah bersepakat bahawa sesiapa yang tidak mampu untuk berdiri di dalam solat fardhu maka dia boleh melakukannya secara duduk dan solat tersebut tidak perlu diulangi. Demikian juga pahalanya (solat secara duduk) tidak berkurang daripada solat secara berdiri kerana dia diberikan keuzuran. Telah sabit di dalam Sahih Al-Bukhari bahawasanya Rasulullah S.A.W bersabda:
إِذَا مَرِضَ الْعَبْدُ أَوْ سَافَرَ كُتِبَ لَهُ مَا كَانَ يَعْمَلُ مُقِيمًا صَحِيحًا
Maksudnya: Apabila seseorang hamba itu sakit ataupun dia bermusafir akan dituliskan (ganjaran) untuknya sama seperti mana yang dilakukan oleh seorang yang dalam keadaan bermukim dan juga seorang yang dalam keadaan sihat. (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 4/226).
Keadaan Yang Membolehkan Seseorang Solat Secara Duduk
Di dalam kitab-kitab fiqh para ulama terdahulu, terdapat beberapa perkara yang dianggap sebagai masyaqqah (kepayahan) yang membolehkan seseorang itu solat secara duduk. Berikut kami nyatakan beberapa contohnya:
- Tidak mampu untuk berdiri.
- Mempunyai penyakit yang akan bertambah teruk sekiranya dia bersolat secara berdiri.
- Seseorang yang berada di atas kapal, sampan, ataupun perahu, yang takut akan tenggelam sekiranya dia melakukan solat secara berdiri di atas kenderaan tersebut.
- Seseorang yang berasa pening kepala.
- Sakit yang boleh mengganggu khusyuk di dalam solat.
Hal ini adalah berdasarkan kata-kata Imam al-Nawawi: “Sekiranya seseorang (yang solat secara berdiri) itu takutkan kesusahan yang kuat atau bertambahnya kesakitan, ataupun seorang yang berada di atas sampan takut tenggelam (jika solat berdiri), ataupun seseorang berasa pening kepala maka dia boleh untuk solat secara duduk serta tidak perlu untuk mengulanginya.” (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 4/310).
Begitu juga berdasarkan pendapat yang disebut oleh Imam al-Ramli yang menyatakan bahawa dibolehkan untuk seseorang itu solat secara duduk apabila terdapatnya masyaqqah (kepayahan) yang boleh menghilangkan kekhusyukan semasa solat. (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 214)
Berdasarkan persoalan di atas , kami ingin sebutkan di sini beberapa dhawabit dan juga cadangan bagi sesiapa yang terpaksa melaksanakan solat secara duduk seperti berikut:
- Hendaklah kedudukan kerusi yang digunakan oleh para jemaah yang uzur atau tidak mampu berdiri itu berada di hujung saf.
- Bahagian belakang kaki kerusi perlulah selari dengan kedudukan kaki jemaah yang berada di sebelah.
- Kedudukan kaki mereka yang solat duduk di atas kerusi hendaklah tidak melebihi kedudukan imam.
- Kerusi yang digunakan hendaklah bersaiz kecil dan tidak terlalu besar, ini supaya keseragaman saf dapat dijaga serta memberikan keselesaan bagi jemaah yang lain.
- Kami juga mencadangkan sekiranya mereka yang solat atas kerusi ini ramai, maka pihak masjid atau surau menyediakan ruang khas bagi mereka yang menunaikan solat secara duduk seperti meletakkan kerusi yang panjang untuk mereka sebagaimana yang dilakukan oleh negara Arab dan seumpamanya.
Akhirnya, dengan penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.
Kami akhiri dengan doa:
رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ
Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.”
(Surah Ibrahim: 40)
Wallahua`lam.
Bertarikh: 23 Mei 2023 bersamaan 3 Zulkaedah 1444H