Soalan
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya mengenai hukum jika ibu bapa meminta kepada anak untuk tawaf sunat di dataran kaabah atas sebab tidak berupaya melakukan di tingkat atas. Memandangkan pihak ulil amri saudi telah menetapkan hanya orang yang berihram sahaja yang boleh melakukan tawaf di dataran kaabah. Anak berada dalam dilemma antara permintaan ibu/ayah dengan arahan ulil amri di sana. Mohon pencerahan. Terima kasih.
Jawapan
Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.
Kewajipan berbuat baik terhadap kedua ibu bapa adalah kewajipan dan tanggungjawab anak-anak. Terdapat banyak ayat al-Quran yang menyentuh berkenaan kewajipan anak-anak kepada ibubapa serta adab-adab yang mesti dijaga ketika bersama mereka. Firman Allah SWT:
وَقَضَىٰ رَبُّكَ أَلَّا تَعْبُدُوا إِلَّا إِيَّاهُ وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا ۚ إِمَّا يَبْلُغَنَّ عِندَكَ الْكِبَرَ أَحَدُهُمَا أَوْ كِلَاهُمَا فَلَا تَقُل لَّهُمَا أُفٍّ وَلَا تَنْهَرْهُمَا وَقُل لَّهُمَا قَوْلًا كَرِيمًا
Maksudnya: “Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan “Ha”, dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun).”
(Surah al-Isra’:23)
Syeikh al-Maraghi berkata, Allah SWT benar-benar mewasiatkan tentang tanggungjawab terhadap kedua-dua ibubapa secara serius, sehingga sesiapa sahaja yang derhaka terhadap mereka akan meremang bulu romanya serta ngeri mendengarnya. Ini disebabkan wasiat itu dimuliakan oleh Allah SWT dengan perintah supaya manusia bertauhid dan beribadah kepada-Nya. Kemudian kewajipan tersebut digenapkan dengan kewajipan supaya berbuat baik kepada kedua-dua ibubapa. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 8/3932)
Tambahan pula, seseorang yang sempat bersama atau berbakti kepada kedua ibu bapanya merupakan orang yang sangat bertuah dan beruntung. Ini kerana, Nabi SAW pernah menyatakan orang yang hina adalah orang yang sempat bersama ibubapanya tetapi kesempatan yang ada itu tidak membolehkan dia untuk dimasukkan ke dalam syurga.
Berkenaan dengan peraturan yang hanya membenarkan orang yang memakai ihram sahaja melakukan tawaf di dataran Kaabah yang dibuat oleh Kerajaan Arab Saudi, maka kami katakan bahawa peraturan yang dibuat tersebut adalah bertujuan untuk menjaga maslahah umum bagi mengelakkan zahmah dan kesesakan yang melampau. Hal ini kerana pemerintah atau kerajaan tidak akan melakukan sesuatu peraturan melainkan dengan adanya maslahah. Kaedah fiqh menetapkan:
تَصَرُّفُ الْإِمَامِ عَلَى الرَّعِيَّةِ مَنُوطٌ بِالْمَصْلَحَةِ
Maksudnya : “Polisi pemerintah itu hendaklah berasaskan maslahah terhadap rakyat.”
Ibn Hajar al-Haitami berkata: “Adalah tidak wajib untuk menuruti arahan pemimpin (al-hakim) yang tidak membawa kepada maslahah ‘ammah. Maka difahami scara mafhum mukhalafah, menurut arahan pemimpin yang mempunyai maslahah ‘ammah ialah wajib. (Lihat Tuhfah al-Muhtaj, 3/71)
Justeru, berdasarkan persoalan di atas, bagi meraikan ibu bapa saudara yang ingin melakukan tawaf sunat, maka bantulah mereka secara baik dengan melakukan tawaf sunat di tingkat atas. Namun sekiranya tidak mampu dan keadaan tawaf di dataran masih sesak, maka kami katakan supaya menangguhkan dahulu tawaf sunat tersebut sehingga keadaan dataran kaabah itu kurang sesak. Apabila berada dalam keadaan ini, saudara boleh membantu ibu dan bapa saudara untuk melakukan tawaf sunat di dataran kaabah tersebut dengan memakai ihram. Namun begitu, kami tidak syorkan supaya melakukan sedemikian melainkan sekiranya benar-benar tidak dapat dielakkan.
Hal ini kerana semakin jauh langkah kita melakukan tawaf, semakin banyak pahala dan kebaikan yang diperolehi dengan langkahan kakinya sebagaimana riwayat daripada Ibn Umar R.Anhuma, Rasulullah SAW bersabda:
لَا يَضَعُ قَدَمًا وَلَا يَرْفَعُ أُخْرَى إِلَّا حَطَّ اللَّهُ عَنْهُ خَطِيئَةً وَكَتَبَ لَهُ بِهَا حَسَنَةً
Maksudnya: “Tidaklah seseorang yang melakukan tawaf meletakkan salah satu kakinya, dan mengangkat kaki yang lainnya melainkan Allah akan hapuskan satu kesalahannya dengan langkah tersebut, dan dituliskan baginya satu kebaikan.”
Riwayat al-Tirmizi (959) dan beliau menyatakan hadith ini hasan
Al-Mulla Ali al-Qari menyatakan: Hal Ini bermaksud orang yang melakukan tawaf itu sekiranya dia meletakkan kakinya maka dia meletakkan sesuatu keburukan itu, dan dengan mengangkat kakinya adalah dia memastikan kebaikan yang diperlukan untuk meningkatkan darjatnya di Syurga. Namun, pahala dan ganjaran ini hanya akan diperoleh oleh mereka yang mengamalkan dan melakukan tawaf dengan penuh adab. Sedangkan apa yang dilakukan oleh orang awam dalam kesesakan sehingga menyakiti orang lain seperti bertolakan dan perlumbaan sebagaimana yang berlaku pada zaman ini, ia akan menyebabkan pertambahan dosa.” (Lihat Mirqah al-Mafatih, 5/1791)
Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.
Kami akhiri dengan doa:
رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً ، وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً ، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka.”
Surah al-Baqarah (201)
Wallahua`lam.
Bertarikh: 23 Mei 2023 bersamaan 3 Zulkaedah 1444H