#1591: Pusat Lelaki Adalah Aurat?

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah dalil yang mengatakan pusat lelaki ialah aurat? Kebiasaannya dengar aurat lelaki antara “pusat” dengan lutut. Saya selalu baca perbahasan ulama mengatakan kemaluan depan dan belakang ialah aurat berdasarkan nas Al-Quran, dan kemudian membincangkan berkenaan status aurat peha/lutut berdasarkan hadis-hadis. Boleh minta pencerahan Dato’ Seri berkenaan dalil yang mengatakan pusat ialah aurat? Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Terdapat beberapa dalil yang menunjukkan kita diperintahkan untuk menutup aurat:

  • Firman Allah SWT:

وَقَرْنَ فِي بُيُوتِكُنَّ وَلَا تَبَرَّجْنَ تَبَرُّجَ الْجَاهِلِيَّةِ الْأُولَىٰ ۖ وَأَقِمْنَ الصَّلَاةَ وَآتِينَ الزَّكَاةَ وَأَطِعْنَ اللَّهَ وَرَسُولَهُ ۚ إِنَّمَا يُرِيدُ اللَّهُ لِيُذْهِبَ عَنكُمُ الرِّجْسَ أَهْلَ الْبَيْتِ وَيُطَهِّرَكُمْ تَطْهِيرًا

Maksudnya: “Dan hendaklah kamu tetap diam di rumah kamu serta janganlah kamu mendedahkan diri seperti yang dilakukan oleh orang-orang Jahiliyah zaman dahulu; dan dirikanlah sembahyang serta berilah zakat; dan taatlah kamu kepada Allah dan RasulNya. Sesungguhnya Allah (perintahkan kamu dengan semuanya itu) hanyalah kerana hendak menghapuskan perkara-perkara yang mencemarkan diri kamu – wahai “AhlulBait” dan hendak membersihkan kamu sebersih-bersihnya (dari segala perkara yang keji).

Surah al-Ahzab (33)

  • Firmacn Allah SWT:

يَا أَيُّهَا النَّبِيُّ قُل لِّأَزْوَاجِكَ وَبَنَاتِكَ وَنِسَاءِ الْمُؤْمِنِينَ يُدْنِينَ عَلَيْهِنَّ مِن جَلَابِيبِهِنَّ ۚ ذَٰلِكَ أَدْنَىٰ أَن يُعْرَفْنَ فَلَا يُؤْذَيْنَ ۗ وَكَانَ اللَّهُ غَفُورًا رَّحِيمًا

Maksudnya: “Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Surah al-Ahzab (59)

Kami mulakan dengan definisi aurat di mana perkataan aurat diambil dari perkataan Arab ‘Aurah’ yang bererti keaiban. Manakala dalam istilah fiqh pula aurat diertikan sebagai bahagian tubuh badan seseorang yang wajib ditutup atau dilindungi dari pandangan. Di dalam Islam terdapat beberapa keadaan di mana masyarakat Islam dibenarkan membuka aurat dan ia hanya pada orang-orang yang tertentu. 

Adapun peha lelaki dianggap aurat atau tidak terdapat dua pandangan:

  • Jumhur ulama mengatakan aurat. Ini kerana antara pusat dan lutut dianggap aurat. 
  • Mazhab Maliki berpendapat peha bukan aurat.

Secara terperincinya seperti berikut:

  • Mazhab Hanafi menganggap apa yang di antara pusat dan lutut sebagai daerah aurat. Mereka menganggap lutut itu aurat sedangkan pusat tidak. 
  • Manakala mazhab Syafie dan Hanbali mengatakan antara pusat dan lutut itu aurat dan pusat dan lutut itu sendiri bukan aurat.  Hal ini juga berdasarkan teguran Nabi SAW kepada Jarhad ketika mana pehanya terselak di dalam solat. Kata Nabi SAW:

غَطِّ فَخِذَكَ فَإِنَّهَا مِنْ الْعَوْرَةِ

Maksudnya: “Tutuplah peha mu kerana peha itu aurat.

Riwayat Abu Daud (4014), al-Tirmizi (2795) dan Ahmad (15932). Syeikh Syu’aib al-Arna’ut dalam takhrij al-Musnad menyatakan hadis ini hasan dengan syawahidnya.

  • Adapun mazhab Maliki, Zahiri dan satu pandangan daripada Imam Ahmad menyatakan bahawa peha itu bukan aurat. 

Namun kami tegaskan bahawa meskipun lutut dan pusat bukan aurat dalam mazhab Syafie, namun para ulama menegaskan bahawa ia tetap wajib ditutup berdasarkan qaedah: مَا لَا يَتِمُّ الْوَاجِبُ إِلَّا بِهِ فَهُوَ وَاجِبٌ Maksudnya: Jika suatu perkara yang wajib tidak sempurna melainkan dengan perkara yang lain, maka perkara yang lain itu turut menjadi wajib, Dalam kes ini, apa-apa di antara pusat dan lutut tidak akan sempurna melainkan jika pusat dan lutut turut ditutup. (Lihat Al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 205)

Isu aurat dan batasannya boleh dirujuk dalam kitab-kitab fiqh dan mengikut mazhab masing-masing. Kita berdoa kepada Allah SWT semoga kita sentiasa dalam golongan yang menutup aurat. Amin.

Bertarikh: 23 Mei 2023 bersamaan 3 Zulkaedah 1444H