#1592: Berkahwin Ketika Masih Menjadi Isteri

Soalan :

Assalamualaikum wrt. wbt. Dato’ Seri. Jiran saya berkahwin dengan warga asing pada bulan Feb. Semasa berkahwin dia mengatakan berstatus janda kerana suami beliau telah menceraikan dia lama dahulu. 

Tapi selepas itu saya dapat tahu mahkamah memutuskan bahawa bekas suami dia orang Malaysia telah melafazkan talak pada bulan April di mahkamah tanpa kehadiran bekas isteri. Dan bermula iddah dari tarikh lafaz cerai sehingga 3 kali haid. 

Macam mana status perkahwinan dia dengan suami baru dia warga asing tersebut kerana mereka berkahwin sebelum suami lafaz cerai di mahkamah. 

Saya dah terangkan pada pasangan tersebut tetapi mereka tidak mahu terima sebab isteri dia kata bekas suami dah lama ceraikan dia.

 

Jawapan :

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Iddah dari sudut bahasa diambil daripada al-Adad, iaitu bilangan untuk disempurnakannya dari sudut penyucian ataupun bilangan bulan.

Dari sudut bahasa pula, nama bagi tempoh yang tertentu yang dilakukan oleh perempuan sebagai pengabdian kepada Allah SWT, ataupun berduka atas pemergian suami, ataupun sebagai penyucian rahim daripada benih suami. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 4/157)

Iddah ialah suatu tempoh masa yang dilalui oleh seseorang perempuan selepas perceraian atau  kematian suami. Tujuannya untuk memastikan kekosongan rahimnya daripada mengandung dan tempohnya bergantung kepada berapa kali dia mengalami haid. Biasanya, tempoh iddah bagi wanita sesudah cerainya dengan bekas suaminya yang dahulu adalah tiga kali suci kitaran haid dan wanita yang telah kamatian suaminya, tempoh iddah adalah selama 4 bulan dan 10 hari.

Dalam tempoh iddah ini, bekas isteri diharamkan berkahwin dengan orang lain. Tujuan dikenakan iddah ialah bagi memastikan rahim wanita tersebut suci daripada sebarang janin bagi mengelakkan ketidakpastian nasab sebenar anak jika perkahwinan baru dengan lelaki lain berlaku. Dalam tempoh iddah, suami boleh rujuk Kembali dengan isteri selagi mana isteri berada dalam iddah raj’ie.

 

Dalil Berkaitan Dengan Iddah

Iddah wanita yang masih didatangi haid, diceraikan semasa suami hidup: 3 Kali Suci. Hal ini sebagaimana firman Allah SWT:

وَالْمُطَلَّقَاتُ يَتَرَبَّصْنَ بِأَنْفُسِهِنَّ ثَلاثَةَ قُرُوءٍ

Maksudnya:Wanita-wanita yang ditalak handaklah menahan diri (menunggu) tiga kali suci.” 

(Surah al-Baqarah: 228)

Ulama telah bersepakat bahawa perkahwinan semasa iddah adalah dilarang dalam Islam (Lihat Nizam al-Usrah Fil Islam,  1/ 287). Ia berdasarkan firman Allah SWT:

وَلَا تَعۡزِمُواْ عُقۡدَةَ ٱلنِّكَاحِ حَتَّىٰ يَبۡلُغَ ٱلۡكِتَٰبُ أَجَلَهُۥۚ

Maksudnya: “Dan jangan kamu melangsungkan aqad nikah sehinggalah sampai tempoh yang ditetapkan al-Kitab ( tempoh iddah) ” 

(Al-Baqarah : 235)

Bukan saja nikah, malah meminang seorang wanita semasa dalam tempoh ‘iddahnya juga adalah haram. Jika meminang pun tidak dibenarkan semasa iddah apatah lagi bernikah, sudah tentu lebih besar larangannya.Ini berdasarkan dalil yang menyatakan suami berhak meruju’ kembali isterinnya yang telah dicerai sebagaimana firman Allah SWT : 

وَبُعُولَتُهُنَّ أَحَقُّ بِرَدِّهِنَّ فِي ذَٰلِكَ إِنۡ أَرَادُوٓاْ إِصۡلَٰحٗاۚ

Maksudnya: “Dan suami-suami mereka berhak mengambil kembali (rujuk akan) isteri-isteri itu dalam masa idah mereka jika suami-suami bertujuan hendak berdamai.”

 (Surah al-Baqarah: 228)

 

Al-Qurtubi berkata “para ulama telah bersepakat bahawa seorang lelaki apabila ia menceraikan isterinya yang telah dia setubuhi sama ada talak satu atau dua makai a berhak merujuk Kembali selagi mana masih dalam iddah walaupun tidak disukai isteri’ (Lihat al-Syarh Manhaj al-Salikin Wa Taudih al-Fiqh Fi Al-Din,2/155 )

Menjawab bagi persoalan di atas setelah meneliti nas-nas dan perbahasan para fuqaha kami dapat menyatakan bahawa perkahwinan tersebut terbubar kerana ia dilakukan ketika masih menjadi isteri kepada suaminya yang terdahulu. Walaupun begitu, sebaik-baiknya rujuklah ke mahkamah Syariah untuk mendapat kepastian kerana kaedah menyebut:

حُكْمُ الْحـَاكِمِ يَرْفَعُ الخِلَافَ

Maksudnya: “Keputusan hakim (yakni pemerintah) mengangkat khilaf.

Ini kerana, hakim berhak bertanya pelbagai soalan serta kisah sebenar apa yang berlaku dan sabitan lafaz cerai bila disebut. 

Saya akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

Surah al-Furqan (74)

Wallahu a’lam

Bertarikh: 23 Mei 2023 bersamaan 3 Zulkaedah 1444H