#1598: Fadhilat Membaca Surah al-Kahfi pada Hari Jumaat

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Kenapa hari Jumaat digalakkan membaca ayat 1-10 & 100-110 surah Al Kahfi? Ada maksud tersirat dan fadhilat dalam ayat tersebut?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Terdapat hadith yang menyatakan pengkhususan membaca surah al-Kahfi secara keseluruhan pada hari jumaat serta kelebihannya. Hal ini berdasarkan hadith, daripada Abu Sa’id al-Khudri RA, Nabi SAW bersabda:

مَنْ قَرَأَ سُوْرَةَ الكَهْفِ فِي يَوْمِ الجُمُعَةِ أَضَاءَ لَهُ مِنَ النُّوْرِ مَا بَيْنَ الجُمُعَتَيْنِ

Maksudnya: “Sesiapa yang membaca surah al-Kahfi pada hari Jumaat Allah akan meneranginya dengan cahaya sepanjang masa di antara dua Jumaat.”

Riwayat al-Hakim (3392), dan al-Baihaqi (5996)

Dalam riwayat lain, disebutkan bahawa Nabi SAW bersabda:

 مَنْ َقَرَأَ سُوْرَةَ الْكَهْفِ لَيْلَةَ الْجُمْعَةِ أَضَاءَ لَهُ مِنَ النُّوْرِ فِيْمَا بَيْنَهُ وَبَيْنَ الْبَيْتِ الْعَتِيْقِ

Maksudnya “Sesiapa membaca surah al-Kahfi pada malam Jumaat, maka dipancarkan cahaya untuknya sejauh antara dirinya dia dan Baitul ‘atiq.”

Riwayat al-Darimi (3273). Hadith ini dinilai sahih dalam Sahih al-Targhib wa al-Tarhib (736)

Imam al-Syafie berkata : Dan aku suka bacaan Surah al-Kahfi pada malam Jumaat serta pada siang hari Jumaat berdasarkan riwayat yang menganjurkannya. (Lihat al-Umm, 1/239).

Membaca surah al-Kahfi pada hari dan juga malam jumaat adalah sunat sebagaimana yang disebutkan oleh imam al-Munawi dalam menukilkan pandangan imam al-Syafi’e. Imam al-Munawi menyebutkan,”Hal ini menunjukkan bahawa sunat untuk membaca surah al-Kahfi pada hari Jumaat, begitu juga pada malamnya, sebagaimana telah ditunjukkan oleh al-Imam al-Syafi’e.” (Lihat al-Faidh al-Qadir, 6/198)

Antara kelebihan lain bagi sesiapa yang membaca surah al-Kahfi adalah dilindungi daripada fitnah Dajjal sebagaimana hadith yang diriwayatkan daripada Abu Darda’, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ حَفِظَ عَشْرَ آيَاتٍ مِنْ أَوَّلِ سُورَةِ الْكَهْفِ عُصِمَ مِنَ الدَّجَّالِ

Maksudnya: “Sesiapa yang menghafaz sepuluh ayat daripada awal surah al-kahfi, dia akan dipelihara daripada Dajjal.”

Riwayat Muslim (809), Abu Dawud (4323), dan Ahmad (27540)

Imam al-Nawawi menyebutkan di dalam syarahnya, “Dikhususkan awal surah ini kerana terdapat keajaiban dan tanda-tanda, maka sesiapa yang mentadabbur ayatnya maka dia tidak akan terkena fitnah dajjal”. (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 6/93)

Justeru, sebagaimana yang ditunjukkan dalam nas, untuk mendapatkan fadhilat penuh bacaan Surah al-Kahfi pada malam Jumaat atau pada siang hari Jumaat, hendaklah dibaca keseluruhan surah tersebut sebanyak 110 ayat. Tidak mencukupi dengan sekadar membaca 10 ayat pertama atau 10 ayat terakhir sahaja.

Selain itu, Imam al-Ramli juga pernah ditanya tentang seseorang yang membaca separuh Surah al-Kahfi pada waktu malam dan separuh lagi pada waktu siang, adakah dia mendapat ganjaran yang dikhususkan atau tidak. Lalu beliau menjawab : “Dia tidak mendapat ganjaran yang dikhususkan tersebut, akan tetapi dia hanya mendapat pahala asal (membaca surah daripada Al-Quran).” (Lihat Hasyiah al-Bujayrimi, 2/210; I’anah al-Talibin, 2/103).

Oleh itu, untuk mendapat ganjaran seperti yang disebutkan dalam hadith, seseorang itu hendaklah sama ada membaca Surah al-Kahfi keseluruhannya pada malam Jumaat, atau membaca keseluruhannya pada siang hari Jumaat, dan tidak dibaca secara separuh-separuh.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

Bertarikh: 23 Mei 2023 bersamaan 3 Zulkaedah 1444H