#1602: Kenapa Kentut Membatalkan Wudhu’?

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah rasional di sebalik hukum batalnya wudhu’ bila kentut. Bila kentut, kita diwajibkan ambil semula air wudhuk sedangkan air wudhu’ tidak basuh kawasan punggung. Adakah kentut di kira sebagai najis? Kenapa sendawa tidak batalkan wudhu’ sedangkan konsepnya sama, mengeluarkan gas daripada rongga badan?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا قُمْتُمْ إِلَى الصَّلاةِ فَاغْسِلُوا وُجُوهَكُمْ وَأَيْدِيَكُمْ إِلَى الْمَرَافِقِ وَامْسَحُوا بِرُءُوسِكُمْ وَأَرْجُلَكُمْ إِلَى الْكَعْبَيْنِ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan sembahyang (padahal kamu berhadas kecil), maka (berwuduklah) iaitu basuhlah muka kamu, dan kedua belah tangan kamu meliputi siku, dan sapulah sebahagian dari kepala kamu, dan basuhlah kedua belah kaki kamu meliputi buku lali,”

(Surah al-Maidah: 6)

Dalam suatu hadis, Abu Hurairah RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لا صَلاةَ لِمَنْ لا وُضُوءَ لَهُ

Maksudnya: “Tidak solat kepada orang yang tidak berwuduk.”

Riwayat Abu Daud (101)

Rasulullah SAW telah menyebut dengan jelas bahawa orang yang berhadas maka batal wudhuknya. Sedangkan solat mesti mempunyai wudhuk. Daripada Abi Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda:

لا تُقْبَلُ صَلاةُ مَن أحْدَثَ حتّى يَتَوَضَّأَ قالَ رَجُلٌ مِن حَضْرَمَوْتَ: ما الحَدَثُ يا أبا هُرَيْرَةَ؟ قالَ: فُساءٌ أوْ ضُراطٌ

Maksudnya: “Tidak diterima solat siapa yang berhadas sehingga dia berwudhuk. Lantas sahabat lelaki dari Hadramaut bertanya, ‘Apa itu hadas hai Abu Hurairah?’ Jawab Abu Hurairah, ‘Kentut, ( فُساءٌ)’ iaitu kentut yang tidak berbunyi atau ضُراطٌ iaitu kentut yang berbunyi.

Riwayat al-Bukhari (135) dan al-Tirmizi (330)

Ibnu Munzir Rahimahullah berkata, “Telah ijmak para ulama bahawa keluar najis dari dubur, keluar air kencing dari zakar dan begitu juga wanita, keluar mani, keluar angin dari dubur (kentut), hilangnya akal dengan apa cara sekali pun termasuk dalam hadas semuanya itu memerlukan taharah dan mewajibkan wudhuk.” (Lihat al-Ijma’, hlm. 29)

Dalam menjawab persoalan di atas, pendapat yang masyhur di kalangan ulama adalah batal wudhuk. Antara hikmahnya seperti kata Ibnu Qayyim boleh jadi keluar bersama angin tersebut sesuatu yang basah (cecair) yang tidak disedarinya. Justeru, syarak memutuskan agar berwudhuk dengan sebab terkentut. (Lihat I’lam al-Muwaqqi’in, 2/107-108)

Begitu juga, di antara hikmah tasyri’ bahawa kentut yang keluar dari dubur mengambil tempat keluarnya najis yang membatalkan wudhuk. Justeru, ia mengambil hukumnya. Berlainan pula udara yang keluar dari mulut (sendawa). Maka, hukumnya tidak membatalkan wudhuk. Sehingga Ibnu Qayyim berkata, “Beza antara udara yang keluar dari dubur dengan yang keluar dari mulut, yang ini mewajibkan wudhuk (kentut) tetapi tidak yang ini (sendawa).”

Ini sebahagian dari mahasin (kemuliaan syariat) dan kesempurnaannya. Sebaliknya, siapa yang menyamakan antara sendawa dan kentut pada sifat dan hukum maka dia telah rosak akal dan his (perasaan/jiwanya).

Semoga jawapan yang ringkas ini dapat difahami dengan baik. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ فَقِّهْنَا فِي الدِّينِ، وَعَلِّمْنَا التَّأْوِيلَ

Maksudnya: “Ya Allah! Berikanlah kepada kami kefahaman di dalam agama serta ajarkanlah kepada kami takwilan-takwilan.”

Bertarikh: 23 Mei 2023 bersamaan 3 Zulkaedah 1444H