Soalan:
Assalamualaikum w.b.t. Saya ada soalan. Bolehkah kita menghadiahkan bacaan al-Quran kepada orang yang masih hidup seperti kepada ibu atau ayah? Mohon pencerahan. Terima kasih.
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t.
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Pertamanya, kita hendaklah membezakan di antara menghadiahkan pahala bacaan al-Quran kepada orang yang telah meninggal dunia, dengan menghadiahkannya kepada orang yang masih hidup. Secara umumnya, menghadiahkan pahala bacaan al-Quran kepada orang Islam yang telah meninggal dunia termasuk dalam perkara yang diperselisihi oleh para ulama. Namun, pendapat yang kuat adalah pahala bacaan al-Quran yang dihadiahkan kepada mereka memberi manfaat dan sampai kepada mereka. Inilah pendapat Imam Ahmad bin Hanbal dan sebahagian ulama yang lain serta sebahagian ulama mazhab Syafi‘I sebagaimana yang telah dinukilkan oleh Imam al-Nawawi. (Lihat al-Azkar, hlm. 164-165).
Bahkan Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah dalam fatwanya menyatakan bahawa bacaan al-Quran dan sedekah serta selain daripada keduanya termasuk dalam amalan-amalan yang baik. Tidak ada perselisihan di antara ulama sunnah wal jamaah tentang sampainya pahala ibadah yang bersifat harta, seperti sedekah dan membebaskan hamba, sebagaimana sampainya pahala doa, istighfar, solat sunat, solat jenazah, dan berdoa di sisi kuburnya. (Lihat Majmu‘ al-Fatawa, 24/366).
Perbahasan lanjut mengenai hal ini bolehlah merujuk kepada artikel kami, Ahkam Syar‘iyyah yang bertajuk: “Menghadiahkan Bacaan al-Fatihah kepada Si Mati.”
Sebelum kami menjawab, pada asasnya dalam soal ibadah terdapat kaedah menyebutkan:
الأَصْلُ فِي العِبَادَةِ التَّوَقُّف
Maksudnya: “Asal bagi ibadah adalah tawaqquf (iaitu terhenti kepada al-Quran dan al-Sunnah sahaja).”
Maknanya ialah suatu ibadah itu tidak boleh untuk dilakukan atau haram untuk dilakukan melainkan terdapatnya dalil yang membenarkannya.
Berbalik kepada soalan yang diajukan, Mustafa al-Ruhaibani menyebutkan, semua bentuk qurbah (ketaatan kepada Allah) yang dikerjakan oleh seseorang Muslim, lalu dia menjadikan pahalanya (yakni menghadiahkannya) untuk orang yang masih hidup atau sudah meninggal dunia, maka ia adalah dibolehkan dan hal itu memberi manfaat kepadanya melalui pahala yang diperolehinya. (Lihat Matalib Uli al-Nuha, 3/639).
Selain itu, al-Buhuti dalam kitabnya juga ada menjelaskan, semua bentuk qurbah (ketaatan kepada Allah) yang dikerjakan oleh seseorang Muslim, lalu dia menjadikan pahalanya atau pahala sebahagiannya seperti separuh dan seumpamanya seperti satu pertiga atau satu perempat untuk orang Muslim yang lain yang masih hidup ataupun yang sudah meninggal dunia, maka hal tersebut adalah dibolehkan. Hal itu juga akan memberi manfaat kepadanya melalui pahala yang diperolehinya, bahkan kepada Rasulullah SAW. Namun, pentahqiq kepada kitab tersebut iaitu Lajnah Mutakhassisah fi Wizarah al-‘Adl telah mengkritik kenyataan akhir al-Buhuti ini dengan membawakan pendapat Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah dalam al-Ikhtiyarat al-Fiqhiyyah (hlm. 138) yang menyatakan bahawa tidak digalakkan untuk menghadiahkan sebarang bentuk ketaatan kepada Nabi SAW, sebaliknya ia adalah bidaah. Inilah pendapat yang kuat dan yang telah diputuskan. (Lihat Kassyaf al-Qina‘, 4/235).
Selain daripada itu, Dr. Ali Jum‘ah pernah ditanya berkenaan adakah dibolehkan untuk menghadiahkan pahala bacaan al-Quran kepada orang yang masih hidup? Beliau menjawab, pada asalnya pahala bacaan al-Quran adalah milik pembacanya. Akan tetapi, dibolehkan bagi seseorang itu atas dasar doa untuk mengatakan misalnya:
اللهُمَّ هَبْ مِثْلَ ثَوَابِ عَمَلِي هَذَا أَو قِرَاءَتِي هَذِهِ إِلَى فُلَانٍ أَوْ فُلَانَةٍ، حَيًّا كَانَ أَو مَيِّتًا
Maksudnya: “Ya Allah, berikanlah semisal pahala amalku ini atau bacaanku ini kepada si fulan atai si fulanah, baik dia masih hidup atau sudah meninggal dunia.”
Pemberian hadiah pahala tersebut termasuk dalam kategori doa sebagaimana yang telah disepakati oleh para ulama.[1]
Di samping itu, Mantan Mufti Besar Arab Saudi, Syeikh ‘Abd al-‘Aziz bin Baz juga pernah ditanya berkenaan menghadiahkan bacaan al-Quran kepada orang yang masih hidup ataupun yang telah meninggal dunia? Beliau menjawab, perkara ini termasuk dalam perkara yang diperselisihi oleh para ulama. Kebanyakan ulama berpendapat, tidak mengapa untuk seseorang itu membaca al-Quran dan menghadiahkan pahalanya untuk bapanya, atau ibunya, atau Zaid, atau ‘Amr daripada kalangan mereka yang masih hidup ataupun yang telah meninggal dunia. Hal tersebut adalah sebagaimana dia mendoakan buat mereka dan bersedekah buat orang lain.
Manakala sebahagian ulama lagi berpendapat, hal tersebut tidak disyariatkan kerana berkaitan al-Quran, tidak didapati terdapatnya riwayat daripada Rasulullah SAW mahupun para sahabat yang menunjukkan bahawa mereka menghadiahkan pahala bacaanya kepada orang yang sudah meninggal dunia mahupun kepada orang yang masih hidup. Inilah pendapat yang afdhal dan sebaiknya dia tidak menghadiahkan pahala bacaannya kepada sesiapapun. Seseorang itu membaca al-Quran untuk dirinya sendiri dan mencari (memohon) ganjaran pahala bacaannya serta tidak menghadiahkan ganjaran pahalanya kepada sesiapapun dalam kalangan manusia. Jika dia mahu menghadiahkan pahala, maka dia boleh bersedekah bagi pihak ayahnya dan ibunya dengan apa yang mudah baginya dengan dirham, pakaian dan makanan. Begitu juga mendoakan untuk mereka; ibu bapanya, kaum kerabatnya dan orang yang dikasihinya. Dia juga memohon keampunan dan rahmat buat mereka. Sekiranya mereka masih lagi hidup, dia boleh mendoakan mereka dengan segala kebaikan seperti rezeki yang luas, diberi taufiq, ilmu yang bermanfaat, amalan soleh dan seumpamanya.[2]
Kesimpulannya
Berbalik kepada soalan yang diajukan, kami berpendapat bahawa sebaik-baiknya tidak menghadiahkan pahala bacaan al-Quran kepada orang lain yang masih hidup kecuali kes yang tertentu seperti sakit untuk diruqyahkan. Hal ini kerana tidak didapati hal tersebut dilakukan atau diamalkan oleh Baginda SAW, para sahabat mahupun ulama salaf. Apatah lagi, kita sebagai seorang manusia masih belum lagi terjamin bagaimanakah keadaannya kita nanti. Dalam erti kata lain, sudah cukupkah persediaan dan bekalan kita bagi menempuh kehidupan selepas kematian yang pasti akan dihadapi oleh semua orang. Justeru, afdhalnya adalah untuk seseorang itu membaca al-Quran dan meraih pahala untuk dirinya sendiri.
Adapun jika seseorang itu mahu memberi pahala buat mereka adalah dengan bersedekah atau berwaqaf bagi pihak mereka dan dengan memperbanyakkan doa buat mereka.
Sekalipun begitu, jika seseorang itu tetap menghadiahkan pahala bacaannya kepada orang lain sama ada yang masih hidup atau yang sudah meninggal dunia, pahala tersebut sampai dan bermanfaat buatnya kerana ia termasuk dalam perkara doa iaitu seperti seseorang yang mendoakan untuk orang lain.
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.
Wallahu a‘lam.
[1] Lihat https://www.dar-alifta.org/ar/fatawa/12758/ هبة-ثواب-قراءة-القران-الكريم-للاحياء. Diakses pada 16 Mei 2023.
[2] Lihat https://binbaz.org.sa/fatwas/13486/ ما-حكم-اهداء-تلاوة-القران-للحي-او-الميت. Diakses pada 16 Mei 2023.
Bertarikh: 23 Mei 2023 bersamaan 3 Zulkaedah 1444H