#1613: Hamil Luar Nikah Apa Perlu Dilakukan?

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya sesuatu yang sangat personal. Jadi kawan saya telah hamil anak luar nikah, dan dia meminta pendapat saya tentang lebih baik gugur atau tidak. Adakah salah sekiranya saya beri pandangan? Saya sebolehnya tidak mahu terlibat tetapi dia hanya percayakan saya. Ibu bapa dia juga belum tahu. Apa yang saya patut buat ustaz? Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Alhamdulillah, saudara telah diberi kepercayaan oleh rakan saudara. Justeru, berilah pandangan yang terbaik dan nasihatilahnya sebagaimana firman Allah SWT:

وَتَوَاصَوْا بِالْحَقِّ وَتَوَاصَوْا بِالصَّبْرِ

Maksudnya: “Dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.

Surah al-‘Asr (3)

Ayat ini memberi maksud bahawa mereka saling menasihati untuk menepati kesabaran dalam melaksanakan ketaatan terhadap Allah SWT. (Lihat Tafsir al-Tabari, 24/590)

Cumanya, dalam isu pengguguran bayi, sebaik-baiknya rujuklah para ulama kerana apabila kita bermudah-mudahan dalam memberi pendapat terutamanya yang bercanggah dengan nas atau pendapat yang sahih maka dibimbangi ia adalah kesilapan yang besar yang mungkin dianggap membunuh bayi. 

Firman Allah SWT:

وَإِذَا الْمَوْءُودَةُ سُئِلَتْ )8( بِأَيِّ ذَنبٍ قُتِلَتْ

Maksudnya: “Dan apabila anak perempuan yang ditanam hidup-hidup: ditanya, – Dengan dosa apakah ia dibunuh?

Surah al-Takwir (8-9)

Ayat ini sebagai mana kata mufassirin cerita pada zaman jahiliyyah di mana amalan menanam anak-anak perempuan tanpa sebab kerana takutkan kefakiran sedangkan ianya tidak berdosa dan tanpa kesalahan. Kami telah menjawab beberapa kali isu ini, sila rujuk dalam maktabahalbakri.com.

Justeru, saya cadangkan kepada saudara agar berterus-teranglah kepadanya supaya hal ini disampaikan kepada kedua ibu bapanya. Begitu juga, redakan perasaannya daripada sifat panik, stres yang melampau dan hilanglah kebuntuan darinya. Ini termasuk dalam nasihat yang baik dan tidak berlaku dua kali kesilapan ketika mengambil tindakan seterusnya.

Antara tips yang terbaik untuk nasihatkan kepadanya ialah:

  • Biasakan dirinya untuk hadir ke majlis ilmu agama
  • Tunjukkan kepadanya masjid atau surau dan solatlah di dalamnya
  • Banyakkan istighfar, zikir dan doa
  • Tabahkan hatinya kerana sebesar mana dugaan kita banyak lagi dugaan yang lebih besar
  • Tunjukkan kepadanya beberapa tempat yang baik untuk menyelesaikan isu 
  • Ingatkan kepadanya hak anak untuk hidup

Seterusnya, saudara boleh syorkan untuk dia pergi ke rumah perlindungan seperti Darul Sa’adah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sehingga selesai melahirkan anak. Sesungguhnya, kita tidak tahu di sebalik apa yang berlaku, jika ditangani dengan baik akan membawa kepada hikmah seperti seseorang itu dengan penuh keinsafan telah menjadi wanita yang solehah kerana kehidupan yang tidak baik yang pernah dilalui sama ada terpedaya atau terperangkap menjadi pedoman hidup dalam menentukan kehidupan yang lebih cemerlang dan berjaya. Amin.

Saya akhiri dengan doa:

رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً ، وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً ، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka.”

Surah al-Baqarah (201)

Bertarikh: 23 Mei 2023 bersamaan 3 Zulkaedah 1444H