#1614: Perjalanan Bersinggah Dikira Melebihi 2 Marhalah?

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada satu soalan. Saya dari Bangi dan perlu ambil adik saya di Putrajaya. Kemudian beraya di rumah saudara di Shah Alam. Seterusnya ke Seremban dan bermalam di situ. Keesokan harinya saya pulang ke rumah di Bangi. Boleh saya tahu adakah sepanjang perjalanan saya boleh jamak dan qasar? Memandangkan jika dikira keseluruhan perjalanan sudah melebihi 2 marhalah?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Terima kasih di atas persoalan ini. Isu seperti ini sudah beberapa kali kami menjawabnya. Seringkasnya, saya nyatakan tiga syarat sah solat musafir, yakni jamak dan qasar iaitu:

  • Perjalanan yang jaraknya hingga 81 km dan lebih. Oleh itu, tidak diambil kira perjalanan yang kurang daripada jarak tersebut. Dia juga hendaklah tidak berniat menetap selama empat hari di tempat yang dituju selain pada hari mula sampai dan pada hari akan keluar. Apabila berniat menetap selama empat hari jadilah tempat yang dituju itu seolah-olah negerinya atau tempat tinggalnya yang tetap. Oleh itu dia tidak harus bersolat qasar lagi di situ dan haknya untuk bersolat qasar kekal semasa dalam perjalanan sahaja.
  • Perjalanan yang tentu tempat tujuannya. Oleh itu, orang yang merayau-rayau tanpa tujuan ke tempat yang tertentu, dan orang yang mengikut ketuanya tanpa mengetahui ke mana hendak di bawanya, perjalanan mereka tidak mengharuskan qasar kecuali setelah menjangkau jarak perjalanan yang jauh. Ini kerana telah diyakini jauh perjalanannya.
  • Perjalanan tersebut tidak bertujuan maksiat. Justeru, tidak diambil kira perjalanan musafir untuk berniaga arak, mengamalkan riba’ atau menyamun. Ini kerana qasar merupakan keringanan yang disyariatkan untuk menunaikan sesuatu tanggungjawab, dan ia tidak boleh terkait dengan sebarang maksiat.

Berdasarkan kepada kenyataan saudara, jika ia menepati syarat-syarat di atas, maka sah dan dibolehkan bagi anda, qasar dan jamak solat. Saya akhiri dengan doa: 

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.”

(Surah Ibrahim: 40)

Bertarikh: 23 Mei 2023 bersamaan 3 Zulkaedah 1444H