Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya. Saya sekeluarga menetap di Bangi. Baru-baru ini, ibu bapa saya telah membeli rumah di Seremban. Saya masih menetap di rumah asal (Bangi), namun kadang-kadang saya bermalam di Seremban memandangkan lebih dekat dengan tempat kerja saya. Boleh saya tahu bagaimana dengan mukim saya? Adakah di Bangi mahu pun Seremban? Atau kedua-duanya?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Firman Allah SWT:
وَإِذَا ضَرَبْتُمْ فِى ٱلْأَرْضِ فَلَيْسَ عَلَيْكُمْ جُنَاحٌ أَن تَقْصُرُوا مِنَ ٱلصَّلَوٰةِ
Maksudnya : “Dan apabila kamu musafir di muka bumi, maka kamu tidaklah berdosa “mengqasarkan” (memendekkan) solat.”
(Surah al-Nisa’ :101)
Kami mulakan dengan definisi mustautin dan mukim mengikut ulama fiqh. Mustautin didefinisikan dengan maksud “orang yang tinggal di suatu tempat dan tidak ada niat untuk berpindah ke tempat lain,” (Lihat Dewan Bahasa dan Pustaka Edisi Kedua). Definisi ini tidak jauh berbeza dengan takrif berdasarkan Hukum Syarak yang menyebut:
Contoh: Muhammad Ali berasal dan lahir di Nilai, Negeri Sembilan. Beliau mendapat pekerjaan dan membeli rumah di Kuantan, Pahang. Beliau menetap di Kuantan, Pahang dan tidak ada niat untuk berpindah ke tempat lain walaupun tempat lahirnya di Nilai, Negeri Sembilan. Maka Muhammad Ali telah dikira sebagai bermastautin di Kuantan, Pahang dan beliau dikira di antara 40 makmum jemaah Solat Jumaat.
Manakala Mukim bermaksud orang yang bermusafir dan tinggal di suatu tempat lebih daripada tiga hari dan tidak berniat untuk kekal selama-lamanya di situ (Lihat al-Muhazzab fi Fiqh al-Imam as-Syafie, m/s 195).
Contoh, Kasim bermusafir ke Terengganu selama 2 hari kerana urusan kerja, kemudian pulang ke Kuantan, Pahang. Maka 2 hari berada di Terengganu termasuk hari pergi dan balik, beliau boleh menjamak dan mengqasarkan solat bahkan tidak wajib baginya untuk menunaikan Solat Jumaat.
Sebelum menjawab isu ini, maksud mukim yang saudara maksudkan berbeza dengan mukim seperti nas di atas, tetapi seolah-olah dengan maksud mustautin mengikut kefahaman saya dari persoalan saudara.
Dalam kes saudara, oleh kerana saudara mempunyai 2 rumah. Maka, saudara menetap di Bangi dan kadang-kadang pulang ke Seremban, hukum saudara dianggap sebagai sahibu al-baladain (orang yang mempunyai 2 negeri).
Justeru, saudara diiktiraf di dua tempat tersebut kecualilah pemberatnya saudara banyak tinggal di bangi dan hanya sekali sekala sahaja dalam tempoh yang lama, saudara muncul dan menetap di rumah saudara di Seremban. Maka, ketika itu seolah-olah saudara berada di Bangi dan bermukim di Bangi, ketika di Seremban dianggap sebagai rumah persinggahan buat sementara.
Bertarikh: 23 Mei 2023 bersamaan 3 Zulkaedah 1444H