#1622: Wang Zakat Untuk Majlis Sambutan Hari Raya

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya, bolehkah wang zakat digunakan untuk majlis sambutan raya dan menjayakan program kerajaan?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

إِنَّمَا ٱلصَّدَقَٰتُ لِلۡفُقَرَآءِ وَٱلۡمَسَٰكِينِ وَٱلۡعَٰمِلِينَ عَلَيۡهَا وَٱلۡمُؤَلَّفَةِ قُلُوبُهُمۡ وَفِي ٱلرِّقَابِ وَٱلۡغَٰرِمِينَ وَفِي سَبِيلِ ٱللَّهِ وَٱبۡنِ ٱلسَّبِيلِۖ فَرِيضَةٗ مِّنَ ٱللَّهِۗ وَٱللَّهُ عَلِيمٌ حَكِيمٞ

Maksudnya: “Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir, dan orang-orang miskin, dan amil-amil yang mengurusnya, dan orang-orang muallaf yang dijinakkan hatinya, dan untuk hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya, dan orang-orang yang berhutang, dan untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah, dan orang-orang musafir (yang keputusan) dalam perjalanan. (Ketetapan hukum yang demikian itu ialah) sebagai satu ketetapan (yang datangnya) dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.”

(Surah Al-Taubah: 60)

Ibn Abbas R.Anhuma menyatakan bahawa ayat ini merupakan penerangan berkenaan golongan asnaf yang berhak menerima zakat. Mana-mana daripada golongan ini yang telah kamu berikan zakat, maka sudah memadai sebagaimana Allah SWT memerintahkan kita untuk menghadap kiblat iaitu kaabah. Sekiranya kita sudah menghadap sebahagian daripada kaabah, maka sudah dikira menghadap kiblat.” (Lihat al-‘Inayah Syarh al-Hidayah, 2/265)

Imam al-Qurtubi apabila menafsirkan ayat ini beliau menyebut: “Al-Syafi’e dan ashabnya mengatakan bahawa huruf ‘lam’ (di dalam ayat tersebut; لِلۡفُقَرَآءِ ) membawa maksud al-Tamlik (pemilikan)”. Justeru, golongan-golongan yang disebutkan oleh nas sahaja yang boleh menerima zakat. (Lihat al-Jami’ Li Ahkam al-Quran, 8/167)

Ibn Kathir dalam menafsirkan ayat berkaitan dengan asnaf-asnaf zakat menyebutkan bahawa didahulukan golongan fakir dan miskin disebabkan mereka golongan yang lebih berhak berbanding asnaf yang lain kerana keadaan mereka yang sangat memerlukan dan berhajat kepada bantuan. Justeru itu, harta zakat hendaklah diutamakan dan didahulukan kepada golongan asnaf yang lebih memerlukan seperti fakir dan miskin sebelum dibahagikan kepada asnaf-asnaf yang lain. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 2/175)

Berdasarkan ayat di atas, maka telah jelas siapakah yang layak untuk menerima zakat. Mereka itu adalah:

  • Fakir
  • Miskin
  • Amil Zakat
  • Muallaf
  • Al-Riqab
  • Al-Gharimin
  • Fi Sabilillah
  • Ibn Sabil

Berdasarkan kepada nas di atas, jika kerajaan menjayakan majlis sambutan Hari raya dengan memasukkan golongan ini untuk diraikan serta membantu mereka maka ia adalah termasuk dalam perkara yang sepatutnya. 

Sebaliknya, jika duit zakat digunakan selain daripada mereka di kalangan rakyat maka hukumnya tidak dibolehkan sama sekali kerana nas di atas jelas menunjukkan dengan kalimah إِنَّمَا yang memberi maksud terkhusus dan terhad kepada golongan yang lapan ini sahaja.

Nas dengan jelas menunjukkan pemberian kepada fakir miskin merupakan antara yang terpenting dalam isu zakat. Daripada Ibn Abbas R.anhuma, bahawa tatkala Rasulullah SAW mengutuskan Muadz bin Jabal ke penduduk Yaman, baginda berpesan, antara lainnya:

فَأَعْلِمْهُمْ أَنَّ اللَّهَ افْتَرَضَ عَلَيْهِمْ صَدَقَةً فِي أَمْوَالِهِمْ تُؤْخَذُ مِنْ أَغْنِيَائِهِمْ وَتُرَدُّ عَلَى فُقَرَائِهِمْ

Maksudnya: “Maka beritahulah mereka bahawa Allah telah menfardukan ke atas mereka sadaqah (zakat wajib) terhadap harta-harta mereka, diambil daripada orang kaya dalam kalangan mereka dan dikembalikan kepada orang fakir dalam kalangan mereka.”

Riwayat al-Bukhari (1395), Abu Daud (1584) dan al-Tirmizi (625)

Daripada Abu Juhaifah RA bahawa dia berkata:

قَدِمَ عَلَيْنَا مُصَدِّقُ النَّبِيِّ – صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ – فَأَخَذَ الصَّدَقَةَ مِنْ أَغْنِيَائِنَا فَجَعَلَهَا فِي فُقَرَائِنَا

Maksudnya: “Telah datang wakil Rasulullah SAW untuk mengutip zakat dalam kalangan kami, maka dia mengambil zakat daripada kalangan kami yang kaya dan membahagikan zakat itu kepada orang miskin dalam kalangan kami.”

Riwayat al-Tirmizi (649)

Semoga Allah SWT taufiq dan hidayahkan kita untuk mengikuti segala titah perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya.

Bertarikh: 23 Mei 2023 bersamaan 3 Zulkaedah 1444H