Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya baru sahaja kematian abang. Arwah abang saya ada meninggalkan 2 orang anak perempuan bawah 11 tahun. Apakah tanggungjawab saya sebagai adik lelaki arwah?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan sabda Rasulullah SAW:
كَافِلُ الْيَتِيمِ لَهُ أَوْ لِغَيْرِهِ أَنَا وَهُوَ كَهَاتَيْنِ فِي الْجَنَّةِ
Maksud: “Orang yang menanggung anak yatim miliknya atau milik orang lain, aku dan dia seperti dua ini (Nabi SAW mengisyaratkan dengan dua jari baginda SAW) di syurga.”
Riwayat Muslim, (2983)
Ibn Manzur menukilkan maksud yatim daripada Ibn Barriy: “Al-Yatim (الْيَتِيمُ) adalah bagi yang kematian ayah. Al-‘Ajiy (العَجِيُّ) bagi kematian ibu manakala al-Latim (اللَّطيم) pula adalah bagi yang kematian keduanya.” (Lihat Lisan al-‘Arab, 15/29)
Begitu juga, Imam al-Nawawi RA mengatakan yang dimaksudkan dengan “له” miliknya adalah ahli keluarga terdekat seperti datuk, ibu, nenek, abang, kakak, bapa saudara, ibu saudara dan ahli keluarga lain yang terdekat. Adapun yang dimaksudkan dengan “لغيره” bukan miliknya adalah orang asing ataupun orang yang tidak mempunyai pertalian keluarga. (Lihat Al-Minhaj Syarah Sahih Muslim, 113/18)
Oleh itu, dapat difahami bahawa yatim pada istilah merujuk kepada kanak-kanak yang telah kematian bapa.
Berbalik kepada persoalan yang diajukan, kami berpandangan supaya saudara berbincang dengan kakak ipar saudara yakni ibu kepada anak-anak tersebut tentang keperluan harian dan hak mereka supaya ia dapat dijaga dan menjamin kebajikan mereka sekeluarga.
Antara perkara utama yang boleh kita ambil cakna ialah:
- Keperluan harian seperti makan dan minum dan seumpamanya.
- Keperluan pakaian.
- Urusan pendidikan.
- Keperluan kesihatan.
- Berbincang berkenaan harta faraid agar hak-hak mereka sekeluarga terjamin dan terpelihara dari penindasan mana-mana pihak.
Dalam pada itu, kita juga perlu melihat kepada keadaan kita yakni dari sudut kemampuan. Janganlah kita bantu sehingga mengabaikan tanggungjawab kita sebagai suami/ ketua keluarga kepada keluarga kita. Maka, bantulah mereka mengikut kemampuan kita.
Ibunya juga jika berkemampuan hendaklah memainkan peranan dalam mendidik dan sama-sama membantu untuk membesarkan anak-anak yatim tersebut.
Kesimpulan
Dalam isu ini, kami berpandangan saudara perlu berbincang dengan kakak ipar saudara yakni ibu kepada anak-anak tersebut. Antara perkara yang perlu diketengahkan adalah seperti keperluan mereka misalnya makanan dan minum, pakaian, urusan pendidikan, keperluan kesihatan dan seumpamanya. Begitu juga, santunilah mereka dengan baik kerana mereka sudah kehilangan seorang bapa. Firman Allah SWT:
فَأَمَّا الْيَتِيمَ فَلَا تَقْهَرْ
Maksudnya: “Oleh itu, adapun anak yatim maka janganlah engkau berlaku kasar terhadap mereka”.
Surah al-Dhuha (9)
Sebagai bapa saudara kepada anak-anak tersebut, janganlah sesekali kita menganiayai mereka atau menyakiti hati mereka. Hal ini kerana mereka telah diuji ketika usia mereka masih kecil lagi. Sedangkan Allah SWT telah memberi kita nikmat untuk merasa kasih sayang seorang bapa dan ibu sehingga kita dewasa. Percayalah bahawa setiap amalan, kebaikan, pengorbanan dan amanah yang telah kita lakukan untuk mereka, pasti akan mendapat balasan yang setimpal daripada Allah SWT. Dalam pada itu, kita juga perlu melihat kemampuan diri kita dan bantulah mereka sekadar kemampuan kita tanpa mengabaikan tanggungjawab kita sebagai ketua keluarga kepada keluarga kita sendiri. Bak kata pepatah: “Anak kera di hutan disusui, anak sendiri di rumah kebuluran.”
Akhir kalam, Semoga Allah SWT mengurniakan ilmu dan kefahaman yang tepat kepada kita dalam melaksanakan setiap titah perintah-Nya. Amin.
Kami menutup dengan doa:
رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً ، وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً ، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka.”
Surah al-Baqarah (201)
Bertarikh: 23 Mei 2023 bersamaan 3 Zulkaedah 1444H