Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan berkaitan menziarahi atau datang beraya ke rumah jiran yang baru sahaja kematian suaminya. Boleh ustaz jelaskan? Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Pada asasnya perbuatan ziarah menziarahi termasuk dalam perkara-perkara yang dituntut dalam agama. Hal ini kerana ia boleh menyambung silaturahim dan mengeratkannya lagi, serta menggembirakan hati mereka yang sedang diuji dengan kesakitan, kematian, musibah dan seumpamanya. Di antara riwayat yang berkaitan dengan hal ini, riwayat daripada Abu Musa al-Asy‘ari R.A, Nabi SAW bersabda:
أَطْعِمُوا الْجَائِعَ وَعُودُوا الْمَرِيضَ وَفُكُّوا الْعَانِيَ
Maksudnya: “Berilah makan kepada orang yang kelaparan, ziarahilah orang yang sakit, dan bebaskanlah tawanan perang.”
Riwayat al-Bukhari (5373)
Begitu juga riwayat daripada Abu Hurairah R.A, daripada Nabi SAW bahawa:
أَنَّ رَجُلًا زَارَ أَخًا لَهُ فِي قَرْيَةٍ أُخْرَى فَأَرْصَدَ اللَّهُ لَهُ عَلَى مَدْرَجَتِهِ مَلَكًا فَلَمَّا أَتَى عَلَيْهِ قَالَ: أَيْنَ تُرِيدُ؟ قَالَ: أُرِيدُ أَخًا لِي فِي هَذِهِ الْقَرْيَةِ. قَالَ: هَلْ لَكَ عَلَيْهِ مِنْ نِعْمَةٍ تَرُبُّهَا؟ قَالَ: لَا غَيْرَ أَنِّي أَحْبَبْتُهُ فِي اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ. قَالَ: فَإِنِّي رَسُولُ اللَّهِ إِلَيْكَ بِأَنَّ اللَّهَ قَدْ أَحَبَّكَ كَمَا أَحْبَبْتَهُ فِيهِ
Maksudnya: “Pada suatu ketika ada seorang lelaki yang mengunjungi saudaranya di kampung lain. Kemudian Allah pun mengutus malaikat untuk menemui orang tersebut. Ketika orang itu ditengah perjalanannya ke kampung yang dituju, malaikat tersebut bertanya: ‘Kamu hendak ke mana?’ Orang itu menjawab: ‘Aku ingin menjenguk saudaraku yang berada di kampung lain.’ Malaikat itu bertanya lagi: ‘Adakah kamu mempunyai satu perkara yang menguntungkan dengannya?’ Lelaki itu menjawab: ‘Tidak, aku hanya mencintainya kerana Allah ‘Azza wa Jalla.’ Akhirnya malaikat itu berkata: ‘Sesungguhnya aku ini ialah malaikat utusan yang diutus untuk memberitahu kepadamu bahawasanya Allah akan sentiasa mencintaimu sebagaimana kamu mencintai saudaramu kerana Allah.’”
Riwayat Muslim (4656)
Berbalik kepada soalan yang diajukan, kami berpendapat dibolehkan untuk menziarahi jiran yang baru sahaja kematian suaminya dengan syarat selamat daripada timbulnya fitnah dan tohmahan, serta dia tidak berseorangan tetapi bersamanya orang lain seperti anak-anak, mahramnya, sekumpulan wanita yang dipercayai atau seumpamanya. Hal ini kerana berdua-duaan antara lelaki dan perempuan bukan mahram adalah suatu perbuatan yang ditegah dalam agama. Hal ini adalah berdasarkan kepada riwayat daripada Ibn Abbas R.Anhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda:
لاَ يَخْلُوَنَّ رَجُلٌ بِامْرَأَةٍ إِلَّا مَعَ ذِي مَحْرَمٍ. فَقَامَ رَجُلٌ، فَقَالَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، امْرَأَتِي خَرَجَتْ حَاجَّةً، وَاكْتُتِبْتُ فِي غَزْوَةِ كَذَا وَكَذَا. قَالَ: ارْجِعْ فَحُجَّ مَعَ امْرَأَتِكَ
Maksudnya: “Janganlah seorang lelaki berkhalwat (berdua-duaan) dengan seorang wanita kecuali bersama mahramnya. Seorang lelaki bangun lalu berkata: ‘Wahai Rasulullah, isteriku keluar untuk haji, sedangkan aku pula telah mendaftar untuk ikut berperang sekian dan sekian.’ Baginda bersabda: ‘Kembalilah dan laksanakan haji bersama isterimu.’”
Riwayat al-Bukhari (5233) dan Muslim (1341)
Imam al-Nawawi ketika mensyarahkan hadith di atas menyebutkan, janganlah seorang lelaki itu duduk berdua-duaan dengan seorang perempuan melainkan bersama-sama dengan perempuan itu mahramnya. Sekiranya seorang lelaki ajnabi itu berkhalwat bersama-sama dengan wanita ajnabiyyah tanpa ada orang yang ketiga maka perbuatan itu adalah haram secara sepakat para ulama. Demikianlah juga (hukumnya) jika bersama-sama perempuan tersebut seseorang yang mereka tidak berasa malu dengannya disebabkan kecilnya dia seperti seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun, tiga tahun atau seumpamanya, kerana wujudnya anak tersebut di situ sama seperti tiada. Selain itu, ulama-ulama dalam kalangan mazhab Syafi‘i berpendapat, tiada beza dalam pengharaman khalwat — antara lelaki dan perempuan ajnabiyyah — sama ada khalwat itu berlaku ketika solat atau selainnya. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 9/109).
Al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani menyebutkan larangan berdua-duaan antara lelaki dan wanita ajnabiyyah merupakan kesepakatan para ulama. Akan tetapi para ulama berbeza pendapat adakah keperluan adanya mahram ini boleh digantikan dengan bukan mahram yang lain, contohnya seperti adanya sekumpulan wanita-wanita yang dipercayai? Pendapat yang sahih ialah ia adalah dibolehkan kerana kurangnya fitnah dan tohmah dalam hal tersebut. Manakala al-Qaffal tetap berpendapat bahawa mesti ada juga mahram. Begitu juga halnya dengan sekumpulan wanita yang dipercayai dalam permusafiran menunaikan haji, mestilah ada mahram bersama salah seorang daripada mereka. Ini diperkuatkan lagi dengan nas Imam al-Syafi‘i bahawa tidak boleh seorang lelaki mendirikan solat bersama kaum wanita melainkan bersama-sama salah seorang wanita itu mahramnya. (Lihat Fath al-Bari, 4/77).
Menjauhi ruang-ruang yang boleh menmbulkan tohmahan kepada diri orang yang berziarah atau orang yang diziarah selari dengan kaedah yang menyebutkan:
اتَّقُوا مَواضِعِ التُّهَمِ
Maksudnya: “Berhati-hatilah kamu dengan ruang-ruang tohmahan.”
Begitu juga Umar R.A pernah berkata:
مَنْ سَلَكَ مَسَالِكَ التُّهَمِ اتُّهِمَ
Maksudnya: “Sesiapa yang menempuhi laluan-laluan tohmahan, dia akan ditohmah.” (Mulla Ali al-Qari menyebutkan, ia diriwayatkan oleh al-Khara’iti dalam Makarim al-Akhlaq daripada Umar secara mauquf dengan lafaz). [1]
Hal ini kerana sebagai seorang Muslim, kita turut diperintahkan untuk menjauhi segala perkara yang boleh mendatangkan tohmahan, persepsi negatif dan fitnah, sama ada kepada diri kita sendiri sebagai seorang individu Muslim atau kepada agama Islam yang kita anuti sehingga memberi persepsi buruk dan menjatuhkan atau merendahkan martabatnya. Maka, sebelum melakukan sesuatu atau apa-apa perkara fikirkan terlebih dahulu kesannya buat diri, keluarga dan agama.
Selain itu, tujuan ziarah atau datang beraya tersebut bukanlah dengan niat untuk menyusahkannya. Akan tetapi untuk mengucapkan takziah, meneguhkan hatinya dalam menghadapi musibah (iaitu kematian suami), membantu meringankan bebannya serta untuk menggembirakan hatinya, di samping hadiah-hadiah yang dibawa bersama ketika berziarah. Ini sebagaimana kaedah yang menyebutkan:
الأُمُورُ بِمَقَاصِدِهَا
Maksudnya: “Setiap perkara itu dinilai berdasarkan niat.”
Bahkan digalakkan atau menjadi tanggungjawab masyarakat sekeliling untuk membantu keluarga si mati dalam menguruskan jenazah bagi meringankan beban keluarga si mati. Begitu juga kaum kerabat dan juga jirannya boleh membantu dalam menyediakan makanan kepada ahli keluarga si mati pada siang dan juga malamnya. Ini berdasarkan sebuah hadith di mana Nabi SAW mengarahkan agar dibuatkan makanan kepada keluarga Jaafar R.A:
اصْنَعُوا لآلِ جَعْفَرٍ طَعَامًا فَإِنَّهُ قَدْ أَتَاهُمْ أَمْرٌ شَغَلَهُمْ
Maksudnya: “Buatkan untuk keluarga Jaafar makanan kerana sesungguhnya sesuatu (musibah kematian) telah menimpa mereka dan menyibukkan mereka.”
Riwayat Abu Daud (3132)
Kesimpulannya
Justeru, berdasarkan kepada kenyataan dan perbincangan di atas, kami ulangi sekali lagi bahawa kami berpendapat dibolehkan untuk menziarahi jiran yang baru sahaja kematian suaminya dengan syarat selamat daripada timbulnya sebarang fitnah mahupun tohmahan ke atas dirinya sebagai orang yang berziarah atau kepada orang yang diziarahi.
Begitu juga tujuan ziarah tersebut adalah untuk mengucapkan takziah, membantu meringankan musibah yang sedang dihadapi dan seumpamanya dan bukannya untuk menyusahkannya. Apatah lagi jika orang yang ingin berziarah itu mempunyai hubungan kekeluargaan sama ada dari sebelah kaum kerabatnya, mahupun kaum kerabat suaminya yang baru meninggal dunia itu, maka ia adalah lebih-lebih lagi utama.
Di samping itu, terdapat banyak hadith yang menceritakan akan kepentingan menunaikan hak jiran dan berbuat baik kepada mereka. Di antaranya, riwayat daripada Abu Syuraih RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ فَلْيُحْسِنْ إِلَى جَارِهِ
Maksudnya: “Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia berbuat baik kepada jirannya.”
Riwayat Muslim (77)
Begitu juga riwayat daripada Ibn Umar R.anhuma, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مَا زَالَ جِبْرِيلُ يُوصِينِي بِالْجَارِ، حَتَّى ظَنَنْتُ أَنَّهُ سَيُوَرِّثُهُ
Maksudnya: “Jibril sentiasa berwasiat kepadaku agar berlaku baik kepada jiran sehingga aku menyangka bahawa jiran itu akan mewarisi hartaku.”
Riwayat al-Bukhari (6015)
Imam al-Nawawi menukilkan kata-kata daripada al-Qadhi ‘Iyadh bahawa hadith ini bermaksud sesiapa yang beriltizam dengan syariat Islam maka wajib ke atasnya untuk memuliakan atau berlaku baik kepada jiran dan tetamunya. Semua ini menunjukkan akan kepentingan hak berjiran serta galakan memeliharanya. Ini kerana, Allah SWT telah berpesan atau mewasiatkan agar berlaku baik kepada mereka melalui firman-Nya di dalam al-Quran dan juga hadith Nabi SAW. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 18/2).
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.
Wallahu a‘lam.
[1] Lihat al-Asrar al-Marfu‘ah fi al-Akhbar al-Maudhu‘ah oleh Mulla Ali al-Qari, hlm. 80.
Bertarikh: 23 Mei 2023 bersamaan 3 Zulkaedah 1444H