Soalan :
Assalamualaikum Datuk, saya ada satu kemusykilan yang saya ingin tanyakan pada datuk. Hukum tidur sebilik bagi ibu saudara & anak saudara lelaki yang telah akhil baligh. Dengan alasan si ibu saudara adalah seperti ibu kandung & haram dikahwini. Mohon penjelasan datuk. Terima kasih. Assalamualaikum.
Jawapan :
Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah SWT. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.
Rasulullah SAW bersabda:
مُرُوا أَوْلَادَكُمْ بِالصَّلَاةِ وَهُمْ أَبْنَاءُ سَبْعِ سِنِينَ، وَاضْرِبُوهُمْ عَلَيْهَا، وَهُمْ أَبْنَاءُ عَشْرٍ وَفَرِّقُوا بَيْنَهُمْ فِي الْمَضَاجِعِ
Maksudnya: “Perintahkan anak-anak kamu untuk menunaikan solat ketika mereka berusia tujuh tahun, dan pukullah mereka ketika mereka berusia sepuluh tahun, dan pisahkan tempat tidur di antara mereka.”
Riwayat Ahmad (6689) Abu Daud (495)
Majoriti fuqaha berpendapat bahawa wajib kepada bapa atau wali memisahkan tempat tidur anak-anak ketika berumur 10 tahun sama ada anak-anak tersebut sesama jantina atau lelaki dan perempuan mahupun antara anak dan ibu atau bapanya. [Lihat: al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah 38/34]
Ketika mengulas arahan “pisahkan tempat tidur di antara mereka”, Ibn Ruslan berkata: “Antara lelaki. Adapun pemisahan antara lelaki dan perempuan adalah lebih utama. Maksud pemisahan itu bermaksud mengasingkan tilam antara satu sama lain.” (Lihat Syarh Sunan Abu Daud,3/364) Badr al-Din al-‘Aini pula menjelaskan: “[Pemisahan] tempat tidur. Ini kerana jika mereka mencapai umur 10 tahun, mereka menghampiri umur minima had akil baligh dan zakar mereka mula menegang. Maka, dikhuatiri berlaku sesuatu yang buruk.” (Lihat, Sharh Sunan Abi Daud li al-‘Aini, 2/416).
Berkata Imam al-Subki bahawa memisahkan tempat tidur dilakukan dengan dua cara sama ada untuk setiap anak satu tilam atau kedua-duanya setilam tetapi berpisah dan tidak bersentuhan. (Lihat Qadha’ al-Arb fi As’ilah Halab, hlm. 248)
Dapat difahami daripada huraian para ulama’ ini, pemisahan itu boleh berlaku samada sebilik tetapi tidak bersentuhan dan lebih baik lagi, pemisahan bilik. Sekiranya hanya terdapat dua bilik dan salah satunya bilik ibu bapa, maka perlu diutamakan untuk menyediakan bilik anak perempuan. Ini sebagai langkah berjaga-jaga daripada timbulnya sebarang perkara tidak baik pada masa akan datang.
Menjawab persoalan di atas,kami menyatakan perlu dipisahkan tempat tidur antara lelaki dan perempuan yang akil baligh bagi menghindari sebarang fitnah dan sebaik-baiknya memisahkan bilik yang berbeza antara lelaki dan perempuan kecuali dalam keadaan yang tertentu contohnya : menunggu Ketika sakit.Ini juga bagi menjaga aurat dan kehormatan lelaki dan perempuan sebagaimana yang telah difirmankan oleh Allah SWT :
قُل لِّلْمُؤْمِنِينَ يَغُضُّوا مِنْ أَبْصَارِهِمْ وَيَحْفَظُوا فُرُوجَهُمْ ۚ ذَٰلِكَ أَزْكَىٰ لَهُمْ ۗ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا يَصْنَعُونَ
Maksudnya : Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan.
(Surah al-Nur : 30)
Menurut Imam Ibn Kathir, ayat ini adalah merupakan perintah Allah SWT kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya menjaga pandangan mereka daripada melihat perkara-perkara yang diharamkan oleh Allah SWT. Janganlah melihat melainkan hanya kepada perkara yang diharuskan oleh syarak sahaja dan menundukkan pandangan mereka daripada melihat perkara yang diharamkan. Begitu juga, Allah SWT memerintahkan juga kepada orang-orang perempuan yang beriman agar turut sama menundukkan (menjaga) pandangan dan memelihara kemaluan mereka (daripada perkara-perkara yang diharamkan). Dan bagi membezakan mereka daripada sifat serta perbuatan wanita Jahiliyyah. (Lihat Tafsir Ibn Kathir Tahzib wa Tartib, 4/2342-2344)
Allah berfirman juga :
أَوِ الطِّفْلِ الَّذِينَ لَمْ يَظْهَرُوا عَلَىٰ عَوْرَاتِ النِّسَاءِ
Maksudnya : atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan.
(Surah al-Nur:31)
Ibnu Kathir menafsirkannya bahawa disebabkan usianya yang kecil, mereka tidak memahami keadaan wanita, seperti ucapan yang lemah lembut, kelembutan dalam berjalan, gerakan, dan sikap mereka. Jadi, jika anak kecil tidak memahami hal itu, tidak apa-apa baginya untuk masuk ke dalam lingkungan wanita. Namun, jika dia sudah remaja atau dekat dengan masa remaja, di mana dia mengetahui dan memahaminya, dan boleh membezkan antara yang buruk dan yang cantik, maka dia tidak lagi diizinkan untuk masuk dalam kalangan Wanita. (Lihat Tafsir al-Wasit,6/409).
Kami akhiri dengan satu kata-kata daripada salaf (ulama terdahulu) :
مَنْ حَفِظَ بَصَرَهُ نَوًّرَ اللهُ بَصِيرَتَهُ وَقَلْبَهَ
Maksudnya : “Sesiapa yang memelihara penglihatannya, maka Allah SWT akan menyinari (memberi petunjuk) pandangannya dan juga hatinya.” (Lihat Tafsir Ibn Kathir Tahzib wa Tartib, oleh Dr. Solah al-Khalidi, 4/2343)
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.
Bertarikh: 23 Mei 2023 bersamaan 3 Zulkaedah 1444H