#1640: Hari Apa Boleh Jamak Jika Musafir Dua Minggu?

Soalan :

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya hendak bertanya, contoh saya hendak pergi langkawi selama 2 minggu dan saya dari Selangor, bagaimanakah dan pada hari apa yang saya boleh jamak ya? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pada asasnya, solat secara jamak mahupun secara qasar termasuk dalam bentuk rukhsah atau kemudahan yang diberikan kepada orang yang bermusafir ketika bersolat. Justeru, dia boleh melakukan solat yang 4 rakaat, iaitu Zuhur, Asar dan Isyak dengan 2 rakaat sahaja. Begitu juga dia boleh menghimpunkan (secara jamak) dua solat ketika menunaikannya iaitu antara solat Zuhur dan Asar dan antara solat Maghrib dan Isyak. Di antara dalil disyariatkan qasar ialah firman Allah SWT:

وَإِذَا ضَرَبْتُمْ فِي الْأَرْضِ فَلَيْسَ عَلَيْكُمْ جُنَاحٌ أَن تَقْصُرُوا مِنَ الصَّلَاةِ

Maksudnya:Dan apabila kamu musafir di muka bumi, maka kamu tidaklah berdosa “mengqasarkan” (memendekkan) sembahyang.

(Surah al-Nisa’: 101)

Manakala di antara dalil disyariatkan jamak pula adalah berdasarkan hadith, daripada Ibn Abbas R.Anhuma, katanya:

كَانَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَجْمَعُ بَيْنَ صَلاَةِ الظُّهْرِ وَالعَصْرِ، إِذَا كَانَ عَلَى ظَهْرِ سَيْرٍ وَيَجْمَعُ بَيْنَ المَغْرِبِ وَالعِشَاءِ

Maksudnya: Rasulullah SAW pernah menjamakkan solat Zohor dan Asar apabila Baginda dalam perjalanan, dan Baginda turut menjamakkan antara solat Maghrib dan Isyak.

Riwayat al-Bukhari (1107)

Berbalik kepada soalan yang diajukan, di antara syarat yang membolehkan solat musafir (jamak dan qasar) ialah tidak berniat menetap (bermukim) selama empat hari di tempat yang dituju selain pada hari mula sampai dan pada hari akan keluar. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/186; al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 316).

Begitu juga Imam al-Nawawi turut menyebutkan, tidak dikira daripada empat hari itu dua siang masuknya dan keluarnya mengikut pendapat yang sahih. (Lihat Minhaj al-Talibin, hlm. 44).

Hal ini kerana menurut pengarang al-Fiqh al-Manhaji, apabila berniat menetap selama empat hari jadilah tempat yang dituju itu seolah-olah negerinya atau tempat tinggalnya yang tetap. Oleh itu dia tidak harus bersolat qasar lagi di situ dan haknya untuk bersolat qasar kekal semasa dalam perjalanan sahaja. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/186).

Ini berdasarkan hadith al-‘Ala’ bin al-Hadhrami bahawa Rasulullah SAW bersabda:

يُقِيمُ الْمُهَاجِرُ بِمَكَّةَ بَعْدَ قَضَاءِ نُسُكِهِ ثَلَاثًا

Maksudnya: “Orang Muhajirin bermukim di Makkah selepas selesai menunaikan manasik selama tiga hari.”

Riwayat Muslim (1352)

Manakala seseorang yang berniat tinggal di sesuatu tempat kurang daripada empat hari atau tidak pasti tempohnya tinggal di situ kerana melakukan tugas yang belum tentu bila selesainya, dalam keadaan yang pertama dia harus mengqasarkan solatnya sehingga kembali ke tempat asalnya.

Sementara dalam keadaan yang kedua pula (iaitu tidak pasti tempohnya tinggal di situ) dia harus mengqasarkan solat sehingga lapan belas hari selain pada hari mula sampai dan pada hari keluar meninggalkan tempat tersebut. Hal ini berdasarkan hadith, daripada Imran bin Husain RA, katanya:

غَزَوْتُ مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَشَهِدْتُ مَعَهُ الْفَتْحَ فَأَقَامَ بِمَكَّةَ ثَمَانِىَ عَشْرَةَ لَيْلَةً لاَ يُصَلِّى إِلاَّ رَكْعَتَيْنِ

Maksudnya: Aku berperang bersama-sama Rasulullah SAW dan bersama-sama Baginda ketika pembebasan Makkah. Baginda tinggal di Makkah selama lapan belas hari dan Baginda tidak bersolat kecuali mengqasarkannya dua rakaat.

Riwayat Abu Daud (1229)

Nabi SAW telah tinggal di Makkah selama tempoh tersebut pada tahun pembebasan kerana memerangi puak Hawazin, dan Baginda mengqasarkan solatnya sedangkan Baginda tidak pasti berapa lama Baginda terpaksa tinggal di situ. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/186-187).

Begitu juga Habib Hasan al-Kaff juga ada menyebutkan, jika seseorang itu bermukim di suatu tempat kerana menunaikan suatu hajat, yang dijangka akan selesai kurang daripada empat hari, tetapi menjadi lewat, maka dibenarkan baginya untuk mengambil rukhsah (solat musafir) sehingga 18 hari. (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 316).

Kesimpulannya

Oleh itu, berdasarkan kepada kenyataan dan perbincangan di atas, saudara yang bertanya hanya boleh melakukan solat musafir (jamak dan qasar) semasa dalam perjalanan sahaja — iaitu perjalanan pergi dan balik. Hal ini kerana saudara tidak memenuhi syarat yang membolehkan untuk melakukan solat musafir (jamak dan qasar) iaitu seseorang itu tidak berniat untuk bermukim di tempat yang dituju selama empat hari atau lebih, sedangkan saudara telah berniat untuk bermukim di tempat yang dituju (iaitu Langkawi) selama dua minggu.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahu a‘lam.

 

Bertarikh: 23 Mei 2023 bersamaan 3 Zulkaedah 1444H