Soalan :
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada satu soalan, mohon pencerahan. Begini, saya dulu bekerja secara tidak tetap dan susah untuk mengumpulkan duit. Dan sekarang alhamdulillah, saya sudah ditawarkan dengan kerja tetap. Saya teringin nak bawa mak abah saya pergi umrah memandangkan umur mereka pun sudah lanjut. Soalan saya, bolehkah saya buat pembiayaan bank untuk bawa mereka pergi umrah dan apakah hukumnya ustaz? Sekian terima kasih.
Jawapan :
Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.
Umrah dari segi bahasa bermaksud ziarah, manakala dari segi istilah yang disepakati oleh kebanyakan ulama adalah tawaf di Baitullah, dan sa‘ie di antara Safa dan Marwah dengan ihram. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 30/314).
Umumnya, para ulama berbeza pendapat berkenaan hukum umrah kepada dua pendapat.
Pendapat pertama: Hukum umrah adalah sunat dan tidak wajib. Ini adalah sebagaimana pendapat ulama dalam mazhab Maliki dan majoriti ulama mazhab Hanafi, yang berpendapat umrah adalah sunat muakkad sekali seumur hidup — iaitu pada umrah pertama. Sebahagian ulama mazhab Hanafi pula berpendapat ia adalah wajib sekali seumur hidup mengikut istilah wajib di sisi ulama mazhab Hanafi. (Lihat Badai‘ al-Sanai‘, 2/226; al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 30/314).
Pendapat kedua: Hukum umrah adalah fardhu. Ini adalah pendapat yang kuat dalam mazhab Syafi‘i dan riwayat yang kuat dalam mazhab Hanbali. Selain itu, ini juga adalah pendapat yang dipilih oleh Imam al-Bukhari.
Imam al-Nawawi menyebutkan, pendapat yang sahih dalam mazhab Syafi‘i dengan kesepakatan para ashab (ulama mazhab Syafi‘i) dan dinaskan oleh Imam al-Syafi‘i dalam qaul jadid, hukum umrah adalah fardhu. Ini juga merupakan pendapat Umar, Ibn Abbas, Ibn Umar, Jabir, Tawus, ‘Ata’, Ibn al-Musayyib, Sa‘id bin Jubair, al-Hasan al-Basri, Ibn Sirin, al- Sya‘bi, Masruq, Abu Burdah bin Abu Musa al-Hadhrami, Abdullah bin Syaddad, al-Thauri, Ahmad, Ishaq, Ibn ‘Ubaid dan Daud. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 7/7).
Imam al-Bukhari menyebutkan dalam kitab sahihnya, “Bab Kewajipan Umrah dan Keutamaannya.” Kemudian, beliau membawakan di bawah bab tersebut pendapat Ibn Umar R.Anhuma yang menyebutkan:
لَيْسَ أَحَدٌ إِلَّا وَعَلَيْهِ حَجَّةٌ وَعُمْرَةٌ
Maksudnya: “Tidaklah seorang Muslim itu melainkan berkewajipan untuk melaksanakan haji dan umrah.” (Lihat Sahih al-Bukhari, 2/529).
Membuat Pinjaman Untuk Melaksanakan Umrah
Dari sudut kedudukan haji bagi orang yang berhutang, sekiranya orang yang berhutang itu melaksanakan kewajipan haji menggunakan duit yang dipinjamnya, ibadat hajinya tetap sah sebagai haji fardhu dalam Islam. Sehubungan dengan itu, sekiranya pada suatu masa kelak, dia sudah mampu dari segi kewangan, dia tidak lagi diwajibkan atau dituntut untuk mengerjakan haji. Ini berdasarkan kenyataan Imam al-Nawawi dalam kitabnya, sesiapa yang sah hajinya dan dikira haji yang dikerjakan itu menjadi haji Islam (haji fardhu) ialah orang Muslim yang mumayyiz, baligh dan juga merdeka. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 7/20)
Berdasarkan persoalan di atas, kami nyatakan bahawa hukum melaksanakan ibadah umrah melalui pembiayaan atau pinjaman institusi kewangan adalah dibolehkan dan diharuskan. Namun begitu, pelaksanaan ibadah umrah ini dengan cara ini mestilah mematuhi beberapa syarat atau dhawabit yang telah ditetapkan sepertimana berikut:
- Pertama: Pinjaman kewangan yang dilakukan itu tidak mempunyai unsur-unsur riba. Ini kerana hukum riba telah jelas dinyatakan haram di dalam al-Quran. Ini berdasarkan firman Allah SWT:
وَأَحَلَّ اللَّـهُ الْبَيْعَ وَحَرَّمَ الرِّبَا
Maksudnya: “Dan Allah telah menghalalkan berjual-beli (berniaga) dan mengharamkan riba.”
(Surah al-Baqarah: 275)
Al-Baidhawi dalam tafsirnya menyebutkan, ayat ini menjadi dalil kepada keharusan berjual beli dan larangan melakukan riba. Beliau juga mengatakan bahawa ayat ini juga mengingkari perbuatan menyamakan jual beli bersama riba. (Lihat Tafsir al-Baidhawi, 1/162)
Kedua: Mempunyai pendapatan yang melebihi sara diri serta orang yang di dalam tanggungannya untuk melunaskan hutang dan perbelanjaan dalam mengerjakan ibadah umrah atau haji. Justeru, sesiapa yang tidak mempunyai lebihan wang daripada pendapatannya atau pendapatannya hanya cukup-cukup untuk kehidupan sehariannya maka kewajipan untuk melaksanakan ibadah haji atau umrah tergugur daripadanya sekalipun dia mengambil pinjaman daripada institusi kewangan.
Justeru, kemampuan merupakan salah satu syarat wajib yang harus dipenuhi bagi sesiapa yang ingin menunaikan ibadah umrah atau haji. Oleh itu, bagi sesiapa yang tidak berkemampuan maka gugurlah kefardhuan haji ke atasnya disebabkan kekurangannya. Namun begitu, bagi mereka yang mampu untuk membuat pinjaman maka diharuskan baginya untuk melaksanakan ibadah haji. Walau bagaimanapun cara ini hanya dibolehkan bagi mereka yang benar-benar yakin mampu untuk membayar semula pinjaman yang telah dibuatnya sekembalinya dari Tanah Suci.
Al-Lajnah al-Daimah li al-Buhuth wa al-Ifta’ ketika ditanya tentang haji orang berhutang, lalu mereka menyatakan: Harus bagi orang yang berhutang itu mengerjakan haji jika dia yakin mampu membayar balik pinjaman dan pemergiannya menunaikan haji tidak menghalangnya melunaskan hutang atau orang yang berhutang menunaikan haji dengan izin orang yang memberi hutang. Sekiranya tidak yakin dapat membayar balik atau tidak diizinkan, maka tidak harus baginya mengerjakan haji. Sekiranya dikerjakan juga, maka hajinya dari segi hukum adalah sah. (Lihat Fatawa al-Lajnah al-Daimah li al-Buhuth al-Ilmiah wa al-Ifta, 11/47-48).
Selain itu, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa MKI kali ke-69 pada 13-15 Jun 2005 bertajuk, ‘Hukum Skim Pinjaman Wang daripada Koperasi dan Seumpamanya untuk Menunaikan Fardhu Haji atau Umrah’, telah dibuat keputusan seperti berikut:
- Adalah harus seseorang berhutang untuk menunaikan haji atau umrah sekiranya diyakini mampu membayar balik hutang tersebut dan ia tidak menjejaskan kehidupan normalnya; dan
- Skim pinjaman tersebut hendaklah diuruskan melalui badan atau koperasi yang mementingkan prinsip ikhlas, ta‘awun, adil dan telus dalam operasinya di samping bebas daripada unsur-unsur riba. [1]
Tambahan pula, Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan Kali ke-20 ada membahaskan berkenaan isu ini dengan tajuk, “Menunaikan Haji Melalui Pembiayaan/ Pinjaman Institusi Kewangan.” Mereka menyatakan hukum harus bagi orang yang berhutang melalui skim pinjaman wang daripada institusi kewangan untuk menunaikan fardhu haji atau umrah sekiranya diyakini mampu membayar balik hutang tersebut dan tidak menjejaskan kehidupan normal seseorang. Walau bagaimanapun, ia tertakluk kepada syarat-syarat berikut:
- Tidak ada unsur riba.
- Mempunyai pendapatan yang melebihi sara diri serta orang yang dalam tanggungan untuk melunaskan hutang atau perbelanjaan mengerjakan haji.
- Kemudahan yang diambil hendaklah benar-benar atas dasar menyegerakan pelaksanaan perintah Allah SWT, bukan sekadar memenuhi keinginan untuk berkunjung dan berekreasi bersama keluarga ke tanah suci. [2]
Kesimpulan
Sebagai kesimpulan kepada persoalan yang diajukan, kami katakan bahawa pembiayaan bank bagi saudara untuk membawa ibu dan bapa menunaikan umrah adalah harus dan dibolehkan berdasarkan hujah dan syarat yang kami nyatakan.
Selain itu, dalam hadith yang diriwayatkan daripada Abdullah bin Mas‘ud R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
تَابِعُوا بَيْنَ الْحَجِّ وَالْعُمْرَةِ فَإِنَّهُمَا يَنْفِيَانِ الْفَقْرَ وَالذُّنُوبَ كَمَا يَنْفِى الْكِيرُ خَبَثَ الْحَدِيدِ وَالذَّهَبِ وَالْفِضَّةِ وَلَيْسَ لِلْحَجَّةِ الْمَبْرُورَةِ ثَوَابٌ إِلاَّ الْجَنَّةُ
Maksudnya: “Ikutkanlah umrah kepada haji, kerana keduanya menghilangkan kemiskinan dan dosa-dosa sebagaimana pembakaran menghilangkan karat pada besi, emas dan perak. Sementara tidak ada pahala yang layak bagi haji yang mabrur kecuali masuk ke dalam syurga.”
Riwayat al-Tirmizi (810), al-Nasa’i (2631), Ahmad (167), Ibn Majah (2887) dan Ibn Hibban (3693). Syeikh Ahmad Syakir menilai sanadnya sebagai sahih (Lihat Takhrij al-Musnad, 5/244).
Imam al-Tibi berkata: “Kemampuan keduanya (haji dan umrah) untuk menghilangkan kemiskinan adalah sepertimana kemampuan amalan bersedekah dalam menambah harta.” (Lihat Faidh al-Qadir, 3/225)
Atas asas inilah, mereka yang menggunakan kaedah pinjaman atau hutang yang bertangguh bagi meraih pahala daripada Allah dan membasmi dosa serta kefakiran bertekad untuk menjadi dhuyuf al-Rahman di Tanah Suci Makkah.
Kami mencadangkan kepada sesiapa yang ingin membuat skim pembiayaan umrah atau haji melalui bank perlulah memuhasabahkan diri dari sudut istita‘ah dan kemampuan untuk membayar balik hutang atau pinjaman tersebut dalam waktu yang singkat dan tidaklah terlalu lama. Begitu juga, perlunya ada takaful agar sebarang keadaan yang berlaku memungkinkan takaful menjaminnya.
Kami akhiri dengan dua buah doa yang berikut:
اَللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوْذُبِكَ مِنَ الْهَمِّ وَالْحَزَنِ، وَنَعُوْذُبِكَ مِنَ الْعَجْزِ وَالْكَسَلِ، وَنَعُوْذُبِكَ مِنَ الْجُبْنِ وَالْبُخْلِ، وَنَعُوْذُبِكَ مِنْ غَلَبَةِ الدَّيْنِ وَقَهْرِ الرِّجَالِ
Maksudnya: “Ya Allah, sesungguh kami berlindung dengan-Mu daripada gelisah dan dukacita, kami berlindung dengan-Mu daripada sifat lemah dan malas, aku berlindung dengan-Mu daripada sifat penakut dan bakhil, kami berlindung dengan-Mu daripada dikalahkan hutang dan oleh kekuasaan lelaki.” (Lihat Inilah Doaku, hlm. 15)
Semoga Allah kurniakan umrah yang mabrurah dan haji yang mabrur kepada mereka yang melaksanakannya. Ameen.
[1] Lihat http://penerbitan.jawhar.gov.my/p_admin/file_upload/Kompilasi%20Fatwa%2012052015.pdf. Diakses pada 23 November 2022. [2] Lihat https://cms-th.s3.amazonaws.com/7.RESOLUSI+MHPK+KALI+KE-20+MUSIM+HAJI+1425H+-+MELAKA+-2.pdf. Diakses pada 23 November 2022.
Bertarikh: 23 Mei 2023 bersamaan 3 Zulkaedah 1444H