#1646: Wanita dalam ‘Iddah Menunaikan Haji

Soalan :

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Seorang wanita dalam masa ‘iddah, bolehkah dia menunaikan ibadah haji yang diwajibkan oleh syarak? Terima kasih.

Jawapan :

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Kewajipan Haji

Pada asasnya, Ibadah haji merupakan salah satu rukun Islam yang lima, yang wajib dilaksanakan oleh setiap Muslim dan Muslimah yang mukallaf. Semua ulama bersepakat mengenai kefardhuan dan kewajipan menunaikan ibadah haji berdasarkan al-Quran, al-Sunnah dan ijma‘. Hal ini jelas seperti mana firman Allah SWT:

وَلِلَّـهِ عَلَى النَّاسِ حِجُّ الْبَيْتِ مَنِ اسْتَطَاعَ إِلَيْهِ سَبِيلًا

Maksudnya: “Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat Haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya.”

 (Surah Ali ‘Imran: 97)

Syeikh al-Maraghi ketika menafsirkan ayat di atas, menerangkan bahawa ibadah haji ini diwajibkan kepada setiap orang Muslim yang mukallaf yang berkemampuan. Hal ini kerana, perintah haji merupakan satu penghormatan besar kepada Baitullah bermula dari zaman Nabi Ibrahim A.S sehinggalah ke zaman Nabi Muhammad SAW. Justeru, pelaksanaan ibadah haji dan umrah mampu menjadi mercu tanda dan bukti pengabdian setiap hamba kepada Penciptanya. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 2/853).

Seterusnya, Nabi SAW turut menegaskan berkenaan hal tersebut melalui sabdanya:

بُنِيَ الإِسْلاَمُ عَلَى خَمْسٍ شَهَادَةِ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ وَإِقَامِ الصَّلاَةِ وَإِيتَاءِ الزَّكَاةِ وَحَجِّ الْبَيْتِ وَصَوْمِ رَمَضَانَ

Maksudnya: Islam didirikan di atas lima perkara: Bersaksi bahawa tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah SWT dan Nabi Muhammad SAW adalah hamba-Nya dan utusan-Nya, mendirikan solat, mengeluarkan zakat, menunaikan haji ke Baitullah, dan berpuasa di bulan Ramadhan.

Riwayat Muslim (16)

Muhammad al-Amin al-Harari ketika menjelaskan lafaz “وَحَجِّ الْبَيْتِ” menyatakan, tujuannya adalah untuk mengerjakan ibadah khusus, bagi mereka yang mampu untuk menunaikannya. (Lihat al-Kaukab al-Wahhaj Syarh Sahih Muslim, 2/132).

Begitu juga hadith Aisyah R.Anha, katanya: 

قُلْتُ: يَا رَسُولَ اللَّهِ عَلَى النِّسَاءِ جِهَادٌ؟ قَالَ: نَعَمْ، عَلَيْهِنَّ جِهَادٌ، لَا قِتَالَ فِيهِ: الْحَجُّ وَالْعُمْرَةُ

Maksudnya:Aku bertanya: ‘Wahai Rasulullah, adakah jihad bagi kaum wanita?’ Baginda menjawab: ‘Ya, jihad tanpa peperangan, iaitu haji dan umrah.’

Riwayat Ibn Majah (2901) dan lafaz hadith daripadanya; riwayat al-Bukhari (2876); al-Nasa’i (2628) dan Ahmad (25322)

Menurut al-Sindi, haji dan umrah menyerupai jihad dari sudut kedua-duanya memerlukan permusafiran dan meninggalkan negeri (tanah air) serta bersusah payah. (Lihat Hasyiah al-Sindi ‘ala Sunan Ibn Majah, 2/212).

Selain daripada itu, Habib Hasan bin Ahmad al-Kaff menyatakan, para ulama telah bersepakat bahawa hukum mengerjakan ibadah haji adalah fardhu ain. Dalam erti kata lain, jika ia adalah hajjah al-Islam (haji kali pertama) dan memenuhi syarat-syarat wajib untuk mengerjakan haji, maka ia adalah fardhu ain ke atasnya. Syarat-syarat tersebut ialah Islam, mumayyiz, baligh, merdeka dan istita‘ah (berkemampuan). (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 470-472).

Selain itu, Imam al-Nawawi ketika membahaskan berkenaan istita‘ah menyatakan, tidak wajib haji bagi wanita sehingga dirinya aman dan selamat dengan suami, mahram atau wanita-wanita thiqah. (Lihat al-Taudhih Syarh al-Idhah fi Manasik al-Hajj wa al- ‘Umrah oleh Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri, hlm. 74).

Disebutkan di dalam al-Fiqh al-Manhaji bahawa para ulama’ menambahkan beberapa syarat bagi wanita iaitu yang pertama ditemani suami atau mahram atau wanita lain yang boleh dipercayai dengan jumlah paling kurang dua orang. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 2/126).

Takrifan ‘Iddah dan Kewajipannya

‘Iddah dari sudut bahasa bermaksud kiraan, hitungan atau bilangan. Ini kerana ia merangkumi bilangan suci daripada haid dan juga bilangan bulan.

Manakala dari segi istilah, ‘iddah ialah nama bagi tempoh tertentu bagi seseorang perempuan menunggunya, semata-mata mematuhi perintah Allah (ta‘abbudi) atau sebagai tanda kesedihan terhadap pemergian suami, atau memastikan rahimnya bersih daripada kandungan. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 3/61).

‘Iddah kerana kematian ialah ‘iddah yang diwajibkan kepada isteri yang kematian suami:

  • Jika perempuan itu mengandung semasa kematian suaminya, maka ‘iddahnya berakhir dengan kelahiran anaknya sama ada ‘iddah itu mengambil masa yang panjang atau pendek.
  • Jika isteri tidak mengandung atau mengandung akan tetapi bukan daripada benih suami yang meninggal dunia. Ini seperti isteri mengandung, sedangkan suaminya belum baligh atau suaminya telah lama hilang melebihi empat tahun sama ada dia telah menyetubuhi isterinya ataupun belum, maka ‘iddahnya adalah dengan berakhirnya empat bulan sepuluh hari. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji 3/63).

Perempuan yang berada di dalam ‘iddah kerana kematian wajib ke atasnya melakukan perkara seperti berikut:

Pertamanya, berkabung atas kematian suaminya dengan tidak berhias dan mengenakan bau-bauan seperti bersolek, memakai baju berwarna terang, memakai barang kemas dan selainnya.

Ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh Ummu Habibah R.Anha:

لاَ يَحِلُّ لاِمْرَأَةٍ مُسْلِمَةٍ تُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ أَنْ تُحِدَّ فَوْقَ ثَلاَثَةِ أَيَّامٍ، إِلاَّ عَلَى زَوْجِهَا أَرْبَعَةَ أَشْهُرٍ وَعَشْرًا

Maksudnya:Tidak halal bagi perempuan yang beriman dengan Allah dan hari Akhirat berkabung di atas kematian seseorang melebihi tiga hari melainkan apabila kematian suaminya. Dia hendaklah berkabung selama empat bulan dan sepuluh hari.”

Riwayat al-Bukhari (5339)

Keduanya, dia wajib menetap di rumah yang didudukinya selama tempoh ‘iddah. Isteri juga tidak dibenarkan keluar melainkan sekiranya ada keperluan dan hajat. Ini seperti membeli keperluan makanan, bekerja sekiranya tidak dibenarkan untuk tinggal di rumahnya secara berterusan sepanjang dalam tempoh ‘iddah dan isteri terpaksa menghilangkan kesunyian dengan berbual-bual bersama jiran. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 3/71-73).

Keharusan untuk keluar rumah kerana keperluan adalah sebagaimana hadith yang diriwayatkan oleh Jabir R.A:

طُلِّقَتْ خَالَتِي فَأَرَادَتْ أَنْ تَجُدَّ نَخْلَهَا فَزَجَرَهَا رَجُلٌ أَنْ تَخْرُجَ فَأَتَتِ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ: بَلَى فَجُدِّي نَخْلَكِ فَإِنَّكِ عَسَى أَنْ تَصَدَّقِي أَوْ تَفْعَلِي مَعْرُوفًا

Maksudnya:Ibu saudaraku telah diceraikan dan dia ingin memetik buah tamarnya, tetapi seorang lelaki telah menegahnya keluar. Lalu, dia pergi menemui Nabi SAW. Lantas Baginda bersabda: ‘Ya, keluarlah dan petiklah buah tamar itu. Mudah-mudahan engkau akan bersedekah ataupun melakukan kebaikan.”

Riwayat Muslim (1483)

Imam al-Nawawi menyebutkan, hadith ini adalah dalil membolehkan wanita yang dalam ‘iddah ba’in untuk keluar bagi suatu hajat atau keperluan. Pendapat mazhab Malik, al-Thauri, al-Laith, al-Syafi‘i, Ahmad dan lain-lain ulama bahawa dibenarkan wanita beriddah ba’in itu keluar pada hari siang bagi suatu hajat. Mereka juga mengharuskan juga keluar bagi wanita yang kematian suami dan dalam hal ini dipersetujui juga oleh Abu Hanifah sekalipun dalam kes talak ba’in beliau berpendapat tidak boleh keluar, sama ada malam ataupun siang. Hadith ini juga adalah dalil bahawa digalakkan bersedekah dengan tamar apabila tiba masa menuainya, begitu juga dengan memberinya sebagai hadiah. Digalakkan juga agar pemilik tamar itu sendiri yang melakukan serta mengingatkan perkara yang makruf dan kebaikan. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 10/108).

Penjelasan lanjut berkenaan perkara ini bolehlah merujuk kepada artikel kami dalam Ahkam Syar‘iyyah yang berikut:

  • #252 Wanita Dalam ‘Iddah Keluar Mengundi.[1]
  • #598 Perempuan Dalam ‘Iddah Keluar Bersedekah.[2]
  • #1409: Ziarah Ibu Mertua Ketika dalam ‘Iddah Kematian Suami.[3]

Berbalik kepada soalan yang diajukan, wanita yang sedang dalam ‘iddah kerana kematian suaminya tidak boleh pergi mengerjakan haji. Ini adalah sebagaimana fatwa daripada Da’irah al-Ifta’ al-Urduniyyah dalam fatwa mereka bahawa tidak boleh bagi wanita yang dalam ‘iddah kematian suami untuk bermusafir bagi melaksanakan ibadah haji atau umrah. Hal ini kerana tidak boleh baginya untuk keluar dari rumah semasa dalam tempoh ‘iddah melainkan adanya hajat atau keperluan. Firman Allah SWT:

وَالَّذِينَ يُتَوَفَّوْنَ مِنكُمْ وَيَذَرُونَ أَزْوَاجًا يَتَرَبَّصْنَ بِأَنفُسِهِنَّ أَرْبَعَةَ أَشْهُرٍ وَعَشْرًا ۖ

Maksudnya:Dan orang-orang yang meninggal dunia di antara kamu, sedang mereka meninggalkan isteri-isteri hendaklah isteri-isteri itu menahan diri mereka (beridah) selama empat bulan sepuluh hari.”

(Surah al-Baqarah: 234)

Apatah lagi, hendaklah diketahui bahawa ibadah Haji termasuk dalam jenis ibadah yang diwajibkan ke atas orang Islam secara tarakhi (boleh ditangguhkan) setelah memenuhi syarat istita‘ah, dan bukannya mesti secara faur (langsung dan segera). Begitu juga wanita yang dalam ‘iddah tersebut tidak dikira berdosa jika menangguhkan ibadah hajinya ke tahun hadapan sehinggalah dia selesai menjalani ‘iddahnya.

Dalam Mughni al-Muhtaj (5/108) dinyatakan bahawa jika diwajibkan ke atasnya ‘iddah sebelum dia keluar dari rumahnya, maka dia tidak boleh keluar (untuk bermusafir bagi ibadah haji). Begitu juga jika diwajibkan padanya hal itu, sedangkan dia ketika itu belum lagi meninggalkan bangunan negaranya, maka wajib ke atasnya untuk kembali semula mengikut pendapat yang paling sahih.

Selain itu, dalam al-Zawajir ‘an Iqtiraf al-Kaba’ir oleh Ibn Hajar al-Haitami (2/101) ada dinyatakan bahawa keluarnya wanita yang dalam ‘iddah dari rumah yang diwajibkan untuknya berada sehingga selesai tempoh ‘iddahnya tanpa sebarang alasan yang diizinkan oleh syarak adalah termasuk dalam dosa-dosa besar. Hal ini kerana kewajipannya untuk berada di rumahnya itu adalah hak yang pasti yang telah ditetapkan oleh Allah SWT bagi memelihara nasab dan selainnya.[4]

Pendapat ini juga selari dengan garis panduan yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bagi wanita yang ber‘iddah kerana kematian suami. Antara perkara-perkara yang mesti dipatuhi oleh mereka ialah:  

  • Haram menerima pinangan lelaki ajnabi.
  • Haram berkahwin dengan lelaki ajnabi. Jika perkahwinan dilangsungkan juga semasa dalam tempoh tersebut, pernikahan itu adalah tidak sah dan pasangan tersebut wajib dipisahkan.
  • Tidak dibenarkan keluar rumah termasuk untuk bermusafir, kecuali dalam had dan batas yang diperlukan sahaja. Antara keperluan penting yang membolehkan keluar rumah ialah untuk bekerja, mendapatkan rawatan perubatan, membeli barang-barang keperluan asasi (sekiranya tidak ada ahli keluarga atau orang lain yang amanah boleh melakukannya) dan keperluan-keperluan lain yang penting dan mendesak, dengan syarat mereka dapat menjaga peraturan dan adab-adab seperti yang disyariatkan Islam. Keharusan untuk keluar rumah ini juga hanya tertakluk pada waktu siang dan tidak pada waktu malam. Namun, pengecualian diberikan kepada individu yang tidak mempunyai pilihan dan perlu bekerja pada waktu malam seperti doktor, jururawat dan sebagainya. Bagi larangan bermusafir, ia termasuk larangan untuk menunaikan ibadat fardu haji dan umrah.
  • Berpindah atau tinggal di rumah lain yang bukan menjadi kebiasaannya tinggal sepanjang tempoh perkahwinan. Namun, sekiranya terdapat bahaya dan kemudaratan yang boleh mengancam keselamatan nyawa dan harta benda seperti banjir, tanah runtuh, gempa bumi dan sebagainya, mereka dibolehkan keluar dan meninggalkan rumah tersebut sehinggalah bahaya atau kemudaratan tersebut hilang atau dapat diatasi.
  • Wajib berkabung sepanjang tempoh ‘iddah. Oleh itu, sepanjang dalam tempoh tersebut, mereka wajib meninggalkan semua perkara yang mempunyai unsur-unsur berhias sama ada pada pakaian atau tubuh badan. Termasuk dalam larangan berhias ini ialah:
  • Memakai pakaian berwarna terang atau berwarna-warni yang boleh menarik perhatian orang yang memandang;
  • Memakai barang-barang kemas walaupun sebentuk cincin, gelang, rantai dan barang-barang perhiasan lain yang diperbuat daripada emas, perak dan permata;
  • Memakai wangi-wangian pada anggota badan, rambut dan pakaian; dan
  • Bersolek, memakai celak, berinai dan memakai minyak rambut serta perbuatan-perbuatan lain yang dianggap sebagai berhias pada pandangan masyarakat setempat.[5]

Kesimpulannya

Oleh itu, berdasarkan kepada kenyataan dan perbahasan di atas, kami berpendapat bahawa wanita yang sedang dalam tempoh ‘iddah kerana kematian suaminya tidak boleh keluar bermusafir bagi mengerjakan ibadah haji mahupun umrah, sehinggalah dia selesai menjalani tempoh ‘iddahnya. Justeru, wanita yang dalam tempoh ‘iddah, tidak mengapa dan tidak dianggap berdosa bagi mereka untuk menangguhkan ibadah haji ke tahun hadapannya.

Namun, jika wanita tersebut kematian suaminya ketika dia sudah pun berada di Makkah dan suatu yang sukar dan payah baginya untuk pulang ke tanah air bagi menjalani tempoh ‘iddah di rumahnya, maka kami berpendapat tidak mengapa untuk dia berada di sana dan menyelesaikan ibadah hajinya. Akan tetapi dengan syarat dia hendaklah sepanjang dalam tempoh tersebut, meninggalkan semua perkara yang mempunyai unsur-unsur berhias sama ada pada pakaian atau tubuh badan (iaitu semasa dalam berkabung) sekalipun perhiasan tersebut tidak termasuk dalam larangan ihram haji, serta lain-lain perkara yang diwajibkan ke atas wanita yang ber‘iddah semampu mungkin. Kemudian, dia hendaklah segera pulang selepas selesai mengerjakan ibadah haji, jika mampu berbuat demikian.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahu a‘lam.

 

[1] Lihat https://maktabahalbakri.com/252-wanita-dalam-iddah-keluar-mengundi/#_ftn4. Diakses pada 19 Mei 2023.

[2] Lihat https://maktabahalbakri.com/595-perempuan-dalam-iddah-keluar-bersedekah/. Diakses pada 19 Mei 2023.

[3] Lihat https://maktabahalbakri.com/1409-ziarah-ibu-mertua-ketika-dalam-iddah-kematian-suami/. Diakses pada 19 Mei 2023.

[4] Lihat https://aliftaa.jo/Question.aspx?QuestionId=2884. Diakses pada 19 Mei 2023.

[5] Lihat https://www.islam.gov.my/ms/garis-panduan/479-garis-panduan-ber-iddah-bagi-wanita-yang-bercerai-atau-kematian-suami. Diakses pada 19 Mei 2023.

Bertarikh: 23 Mei 2023 bersamaan 3 Zulkaedah 1444H