#1651: Kencing dalam Botol atau Bekas Khusus

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah hukum kencing dalam botol atau bekas khusus dalam keadaan terpaksa seperti dalam kereta ketika jem? Lebih-lebih lagi, sekarang ini terdapatnya produk-produk (bekas air kencing khusus) yang memudahkan untuk seseorang itu kencing sekalipun ketika berada dalam kereta.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Secara umumnya, Islam sangat mengambil berat soal kebersihan dan adab-adab termasuklah adab ketika menunaikan qadha’ hajat. Di antara adab-adab ketika menunaikan qadha’ hajat ialah:

Pertama, tidak menghadap ke arah kiblat mahupun membelakanginya. Ini adalah bagi menghormati kiblat kaum Muslimin dan membesarkan syiar Allah SWT. Rasulullah SAW bersabda:

إِذَا جَلَسَ أَحَدُكُمْ عَلَى حَاجَتِهِ فَلا يَسْتَقْبِلْ الْقِبْلَةَ وَلا يَسْتَدْبِرْهَا

Maksudnya:Jika salah seorang daripada kamu sedang buang air (qadha’ hajat), maka janganlah dia menghadap ke arah kiblat mahupun membelakanginya.”

Riwayat Muslim (389)

Kedua, tidak memegang zakarnya dengan tangan kanan ketika buang air (kencing). Rasulullah SAW bersabda:

إِذَا بَالَ أَحَدُكُمْ فَلاَ يَأْخُذَنَّ ذَكَرَهُ بِيَمِينِهِ، وَلاَ يَسْتَنْجِي بِيَمِينِهِ، وَلاَ يَتَنَفَّسْ فِي الإِنَاءِ

Maksudnya:Apabila seseorang daripada kamu kencing maka janganlah sekali-kali dia memegang kemaluannya dengan tangan kanan. Janganlah juga beristinjak dengan tangan kanannya dan jangan bernafas di dalam bekas minuman.”

Riwayat al-Bukhari (154)

Penjelasan lanjut berkenaan hal ini, bolehlah merujuk kepada artikel kami dalam Ahkam Syar‘iyyah yang bertajuk: #266 Sentuh Kemaluan dengan Tangan Kanan.[1]

Ketiga, janganlah membersihkan atau menghilangkan najis dengan menggunakan tangan kanan, sebaliknya gunakanlah tangan kiri, berdasarkan hadith di atas.

Keempat, sunnahnya untuk seseorang itu membuang air (qadha’ hajat) dalam keadaan duduk dan mendekat (rendah) ke tanah. Hal ini kerana ia lebih tertutup dan lebih selamat daripada terkena percikan air kencing lalu mengotori badan dan pakaiannya. Namun, dibolehkan untuk kencing berdiri jika selamat daripada semua perkara tersebut.

Kelima, bersembunyi atau terlindung daripada pandangan mata orang ramai ketika buang air (qadha’ hajat). Penghalang yang sering dijadikan Rasulullah SAW ketika buang air (qadha’ hajat) ialah dinding atau pagar kebun kurma (iaitu dibalik tanah tinggi atau dinding kurma). Riwayat Muslim (517).

Begitu juga jika seseorang berada di tanah lapang lalu terdesak untuk buang air (qadha’ hajat), dan dia tidak menemukan sesuatu apapun yang boleh dijadikan sebagai penghalang, maka dia hendaklah pergi jauh daripada orang ramai. Ini adalah berdasarkan kepada riwayat Mughirah bin Syu‘bah, katanya:

كُنْتُ مَعَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي سَفَرٍ فَأَتَى النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ حَاجَتَهُ فَأَبْعَدَ فِي الْمَذْهَبِ

Maksudnya:Aku bersama Nabi SAW dalam suatu perjalanan, lalu Baginda terdesak untuk buang air. Maka Baginda pergi jauh dari jalan.

Riwayat al-Tirmizi (20) dan beliau menilainya sebagai hasan sahih.

Keenam, tidak membuka auratnya kecuali setelah dekat dengan tanah. Hal ini kerana, ia lebih menutup aurat. Ini adalah berdasarkan kepada riwayat Anas R.A, katanya:

كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا أَرَادَ الْحَاجَةَ لَمْ يَرْفَعْ ثَوْبَهُ حَتَّى يَدْنُوَ مِنْ الأَرْضِ

Maksudnya:Apabila Nabi SAW ingin qadha’ hajat, Baginda tidak akan menyingkap pakaiannya sehinggalah Baginda sudah dekat ke tanah.”

Riwayat al-Tirmizi (14) dan ia telah dinilai sebagai sahih dalam Sahih al-Jami‘ (4652)

Begitu juga jika seseorang itu buang air di dalam tandas, maka janganlah dia menyingkap pakaiannya melainkan setelah mengunci atau menutup pintu tandas dan tertutup daripada pandangan mata orang lain.

Ketujuh, membaca doa masuk dan keluar tandas.

Penjelasan lanjut berkenaan hal ini, bolehlah merujuk kepada artikel kami dalam Ahkam Syar‘iyyah yang bertajuk: #475 Cara Menghalang Jin dan Syaitan daripada Melihat Aurat Manusia.[2]

Kelapan, bersungguh-sungguh membersihkan dan menghilangkan najis setelah selesai buang air (qadha’ hajat). Hal ini berdasarkan sabda Rasulullah ketika memberi peringatan keras terhadap orang-orang yang menganggap remeh perkara bersuci ini. Rasulullah SAW bersabda:

أَكْثَرُ عَذَابِ الْقَبْرِ مِنْ الْبَوْلِ

Maksudnya:Kebanyakan azab kubur itu (berpunca) daripada air kencing.

Riwayat Ibn Majah (342) dan dinilai sebagai sahih dalam Sahih al-Jami‘ (1202)

Selain itu, terdapat riwayat daripada Ibn Abbas R.Anhuma, katanya:

مَرَّ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَلَى قَبْرَيْنِ، فَقَالَ: إِنَّهُمَا لَيُعَذَّبَانِ، وَمَا يُعَذَّبَانِ فِي كَبِيرٍ، أَمَّا هَذَا: فَكَانَ لاَ يَسْتَتِرُ مِنْ بَوْلِهِ، وَأَمَّا هَذَا: فَكَانَ يَمْشِي بِالنَّمِيمَةِ ثُمَّ دَعَا بِعَسِيبٍ رَطْبٍ فَشَقَّهُ بِاثْنَيْنِ، فَغَرَسَ عَلَى هَذَا وَاحِدًا، وَعَلَى هَذَا وَاحِدًا، ثُمَّ قَالَ: «لَعَلَّهُ أَن يُخَفَّفَ عَنْهُمَا مَا لَمْ يَيْبَسَا

Maksudnya:Rasulullah SAW melewati dua kubur, lalu bersabda: ‘Sesungguhnya kedua orang ini (dalam kubur) diseksa, dan tidaklah keduanya diseksa kerana dosa besar; adapun yang ini (yang pertama) dahulu tidak berjaga-jaga daripada kencingnya, sedangkan yang ini (orang kedua) mengadu domba.’ Kemudian Baginda minta dibawakan pelepah basah, lalu membelahnya menjadi dua bahagian. Baginda meletakkan pada yang ini (kubur pertama) satu bahagian dan pada yang ini (kubur kedua) satu bahagian. Kemudian Baginda bersabda: ‘Mudah-mudahan keduanya diringankan (daripada azab) selama kedua pelepah ini belum kering.’

Riwayat al-Bukhari (6052)

Dalam erti kata lain, dia hendaklah beristinja’ selepas selesai qadha’ hajat, sama ada dengan air ataupun alat-alat istinja’ yang dibolehkan seperti batu, tisu dan seumpamanya. Penjelasan lanjut berkenaan perkara ini, bolehlah merujuk kepada artikel kami dalam Ahkam Syar‘iyyah yang bertajuk: “Beristinja’ dengan Menggunakan Tisu.”

Buang air dalam botol atau produk khusus

Berbalik kepada soalan yang diajukan, terdapat hadith daripada Umaimah binti Ruqayyah, katanya:

كانَ للنَّبيِّ ﷺ قَدحٌ مِن عيدانٍ تَحتَ سَريرِهِ، يبولُ فيهِ باللَّيلِ

Maksudnya:Nabi SAW mempunyai sebuah bekas yang diperbuat daripada pelepah kurma yang diletakkan di bawah katilnya, yang Baginda gunakan untuk buang air kecil (kencing) pada waktu malam hari.”

Riwayat Abu Daud (24) dan Nasa’i (32). Hadith ini dinilai sebagai hasan sahih dalam Sahih Abi Daud (24)

Syeikh ‘Abd al-Rahman bin Nasir al-Barrak ketika mensyarahkan hadith di atas menyatakan, Baginda SAW kencing dalam bekas yang diperbuat daripada pelepah kurma yang diletakkan di bawah katilnya kerana seseorang manusia itu ingin menghalang atau mengelakkan dirinya daripada bangun dari tempat yang dia berada lalu pergi ke tempat buang air (qadha’ hajat). Jadi ini termasuk dalam perkara yang memudahkan (taisir).

Justeru, jika seseorang itu susah untuk keluar, misalnya kerana kesejukan atau kerana tidak dapat berdiri dan susah untuknya berdiri dan berjalan, maka dia boleh mengambil bekas atau botol lalu membuang air kecil ke dalamnya. Setelah itu, dia boleh menyapunya (beristinja’) dengan tisu. Ini adalah memudahkan baginya.[3]

Selain itu, syariat Islam bersifat memudahkan dan tidak menyusahkan. Terdapat pelbagai dalil-dalil daripada al-Quran mahupun hadith yang menunjukkan keadaan tersebut. Antaranya ialah firman Allah SWT:

يُرِيدُ اللَّهُ بِكُمُ الْيُسْرَ وَلَا يُرِيدُ بِكُمُ الْعُسْرَ

Maksudnya:(Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Dia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran.

(Surah al-Baqarah: 185)

Menurut Syeikh al-Sa‘di, ayat ini bermaksud Allah menghendaki hal yang memudahkan bagi kamu jalan yang membawa kamu kepada keredhaan-Nya dengan kemudahan yang paling mudah dan meringankannya dengan keringanan yang paling ringan. Oleh kerana itu, segala perkara yang diperintahkan oleh Allah kepada hamba-hamba-Nya pada dasarnya adalah sangat mudah sekali, namun apabila terjadi suatu halangan yang menimbulkan kesulitan, maka Allah SWT akan memudahkannya dengan kemudahan lain iaitu dengan menggugurkannya atau menguranginya dengan segala bentuk keringanan. Namun, hal ini adalah sesuatu yang tidak mungkin dapat dibahaskan perinciannya, kerana perinciannya adalah keseluruhan syariat dan termasuk di dalamnya segala bentuk rukhsah dan keringanan. (Lihat Tafsir al-Sa‘di, 1/86).

Begitu juga riwayat daripada Abu Hurairah R.A, Rasulullah SAW bersabda:

فَإِنَّمَا بُعِثْتُمْ مُيَسِّرِينَ، وَلَمْ تُبْعَثُوا مُعَسِّرِينَ

Maksudnya:Sesungguhnya kamu diutuskan untuk memudahkan (memberi keringanan), bukannya untuk menyusahkan.”

Riwayat al-Bukhari (6128)

Menurut Ibn Battal, ini adalah sebagaimana perintah Nabi SAW untuk memudahkan sebagaimana hadith lain yang telah disebutkan sebelum ini. Kemudian, beliau menukilkan daripada al-Tabari yang menyebutkan maksud “يَسِّرُوا وَلَا تُعَسَّرُوا” ialah pada perkara-perkara sunat dan bukannya perkara yang telah difardhukan oleh Allah. Begitu juga pada apa yang telah Allah SWT berikan kelonggaran dan keringanan daripada amalan fardhu dalam keadaan adanya keuzuran seperti solat fardhu dalam keadaan duduk kerana tidak mampu untuk berdiri, berbuka puasa di bulan Ramadhan semasa bermusafir dan sakit, dan lain-lain lagi yang termasuk dalam rukhsah yang diberikan oleh Allah SWT kepada para hamba-Nya. Adapun diperintahkan untuk memudahkan dalam perkara-perkara sunat dan melaksanakannya dalam bentuk yang tidak menyusahkan mahupun melampaui batas bagi mengelakkan berasa bosan untuk melakukannya. Hal ini kerana sebaik-baik amalan di sisi Allah SWT adalah yang berterusan dilakukan sekalipun sedikit. (Lihat Syarh Sahih al-Bukhari oleh Ibn Battal, 9/301-302).

Kesimpulannya

Oleh itu, berdasarkan kepada perbahasan dan perbincangan di atas, kami berpendapat bahawa dibolehkan untuk seseorang itu buang air kecil dalam botol atau produk bekas khusus dengan syarat terlindung daripada pandangan mata orang ramai dan beristinja’ selepas selesai qadha’ hajat dengan menggunakan tisu dan bahan-bahan seumpamanya. 

Saya pernah dihadiahkan bekas seperti itu dan diterangkan fungsinya. Sejujurnya, dengan suasana dan keadaan semasa di samping alat yang cukup canggih, maka saya berpendapat hukumnya tidak mengapa, bersyaratkan dengan syarat-syarat di atas. 

Jadi, seseorang yang berada dalam situasi di mana terpaksa melakukannya kerana terperangkap dalam kesesakan lalu lintas, atau sakit sehingga menyukarnya untuk kerap bangun ke tandas, atau seumpamanya adalah lebih-lebih lagi dibolehkan.

Begitu juga dia hendaklah memastikan air kencing tersebut tidak tertumpah dan seterusnya mengotori kawasan dalam keretanya (jika dalam situasi di atas), mahupun kawasan lain seperti dalam rumah dan seumpamanya. Seterusnya bekas atau botol yang mengandungi air kencing tersebut hendaklah dibersihkan atau dibuang pada tempat yang sepatutnya, serta tidak dibiarkan merata-rata lalu mengotorkan kawasan sekitar.

Selain daripada itu, keharusan untuk membuang air kecil dalam botol atau bekas khusus juga dilihat termasuk dalam bentuk kemudahan (al-Taisir) dan menghilangkan kepayahan (Raf‘ al-Haraj) yang diberikan oleh agama Islam kepada para penganutnya.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ لَا سَهْلَ إِلاَّ ما جَعَلْتَهُ سَهْلاً، وأنْتَ تَجْعَلُ الحَزْنَ إذَا شِئْتَ سَهْلاً

Maksudnya: “Ya Allah! Tiada kemudahan kecuali apa yang Engkau jadikannya sebagai kemudahan. Dan Engkaulah yang menjadikan perkara yang sukar itu jika Engkau kehendaki dengan kemudahan.”

Riwayat al-Baihaqi dalam al-Da’awat al-Kabir (265), Ibn Hibban (974) dan Ibn al-Sunni dalam ‘Amal al-Yaum wa al-Lailah (351)

Wallahu a‘lam.

[1] Lihat https://maktabahalbakri.com/266-sentuh-kemaluan-dengan-tangan-kanan/. Diakses pada 22 Mei 2023.

[2] Lihat https://maktabahalbakri.com/475-cara-menghalang-jin-dan-syaitan-daripada-melihat-aurat-manusia/. Diakses pada 22 Mei 2023.

[3] Lihat https://sh-albarrak.com/article/18124. Diakses pada 22 Mei 2023.

Bertarikh: 23 Mei 2023 bersamaan 3 Zulkaedah 1444H