Soalan :
Saya ada nazar untuk sembelih kambing bila dapat anak. Boleh tak saya nak tunaikan nazar itu disekalikan seekor kambing itu untuk aqiqah. Maksudnya tunaikan nazar sekali dengan buat aqiqah anak.
Jawapan :
Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Pada asasnya, nazar dari sudut bahasa membawa erti berjanji melakukan kebaikan atau kejahatan. Manakala dari sudut istilah, nazar ditakrifkan sebagai :
اِلْتِزَامُ قُربُةِ لَم تَتَعَيَّن فِي الشَّرْعِ، إِمَّا مُطْلَقًا، أَوْ مُعَلَّقًا عَلَى شَيْء
Maksudnya: Mewajibkan ke atas diri sendiri suatu perbuatan qurbah (ibadah yang mendekatkan diri dengan Allah) yang tidak diwajibkan oleh syara’ (ke atas dirinya), sama ada secara mutlak atau pun dengan menta’liqkan (iaitu mengaitkan) dengan suatu perkara. (Lihat al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘ie, 2/501)
Hukum melaksanakan tuntutan nazar adalah wajib sekiranya ia merupakan suatu amal ketaatan. Ini berdasarkan firman Allah SWT:
وَلْيُوفُوا نُذُورَهُمْ
Maksudnya: “Dan hendaklah mereka menyempurnakan nazar-nazar mereka.”
(Surah Al-Hajj: 29)
Demikian juga berdasarkan sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Ummu al-Mu’minin A’isyah R.Anha beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ نَذَرَ أَنْ يُطِيعَ اللَّهَ فَلْيُطِعْهُ، وَمَنْ نَذَرَ أَنْ يَعْصِيَهُ فَلاَ يَعْصِهِ
Maksudnya: “Sesiapa yang bernazar untuk mentaati Allah maka hendaklah dia mentaatinya. Dan sesiapa yang bernazar untuk bermaksiat kepadanya maka janganlah dia bermaksiat kepadanya.”
Riwayat al-Bukhari (6696)
“Nazar adalah seseorang mengikat dirinya untuk melakukan sesuatu yang tidak diwajibkan oleh agama, seperti seseorang berkata, ‘Aku berjanji untuk berkorban,’ atau ‘Aku akan bersedekah jika Allah menyembuhkan penyakitku.’ Ini dalam bentuk syarat kepada Allah Azza wa Jalla.
Dalam hadis ini, Nabi SAW memerintahkan untuk menepati nazar dalam ketaatan kepada Allah dan tidak menepati nazar dalam kemaksiatan. Beliau menjelaskan bahawa siapa pun yang bernazar kepada Allah SWT dengan mengikat dirinya untuk melakukan sesuatu untuk Allah, maka tindakan tindakan tersebut adalah ketaatan kepada Allah, seperti seseorang yang bernazar untuk melakukan solat, puasa, bersedekah, haji, atau umrah. Baik ia terkait dengan syarat ataupun tidak, maka ia harus menepatinya jika mampu melakukannya. Jika sesuatu perbuatan(yang mendekatkan diri kepada Allah) tidak diwajibkan sebelum bernazar, maka nazar tersebut mewajibkan perbuatan tersebut bagi dirinya kerana ia mengikat dirinya sendiri untuk Allah Ta’ala.
Namun, jika nazar tersebut terkait dengan perbuatan maksiat, seperti seseorang yang bernazar untuk berzina, minum arak, mencuri, atau memakan harta anak yatim, maka dia dilarang untuk menepatinya kerana perbuatan maksiat tersebut dilarang dalam setiap keadaan.
Namun, jika seseorang tidak mampu dan mahu membatalkan nazar tersebut, maka dituntut ke atasnya untuk membayar kafarah sumpah.
مَنْ نَذَرَ نَذْرًا وَلَمْ يُسَمِّهِ فَكَفَّارَتُهُ كَفَّارَةُ يَمِينٍ
Maksudnya: “Sesiapa yang bernazar dengan satu nazar, namun dia tidak mampu melakukannya, maka kafarahnya adalah kafarah sumpah.”
Riwayat Muslim (1645), Abu Dawud (3323), al-Tirmizi (1528), al-Nasa’ie (3832), Ahmad (17301) dan Ibn Majah (2127)
Maka wajib pada dirinya untuk menunaikan dengan menggantikan dengan menunaikan kafarah sumpah itu iaitu:
- Memberi makan kepada sepuluh orang miskin; atau
- Memberi pakaian kepada sepuluh orang miskin; atau
- Memerdekakan seorang hamba sahaya.
Jika tiga perkara tersebut tidak dapat untuk ditunaikan, maka orang tersebut perlu menunaikan puasa selama 3 hari. Hal tersebut telah difirmankan oleh Allah SWT di dalam al-Quran:
لا يُؤَاخِذُكُمُ اللَّهُ بِاللَّغْوِ فِي أَيْمَانِكُمْ وَلَكِنْ يُؤَاخِذُكُمْ بِمَا عَقَّدْتُمُ الأيْمَانَ فَكَفَّارَتُهُ إِطْعَامُ عَشَرَةِ مَسَاكِينَ مِنْ أَوْسَطِ مَا تُطْعِمُونَ أَهْلِيكُمْ أَوْ كِسْوَتُهُمْ أَوْ تَحْرِيرُ رَقَبَةٍ فَمَنْ لَمْ يَجِدْ فَصِيَامُ ثَلاثَةِ أَيَّامٍ ذَلِكَ كَفَّارَةُ أَيْمَانِكُمْ إِذَا حَلَفْتُمْ وَاحْفَظُوا أَيْمَانَكُمْ كَذَلِكَ يُبَيِّنُ اللَّهُ لَكُمْ آيَاتِهِ لَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ
Maksudnya: “Allah SWT tidak menghukum kamu disebabkan sumpah-sumpahmu yang tidak dimaksud (untuk bersumpah), tetapi Dia menghukum kamu disebabkan sumpah-sumpah yang kamu sengaja, Maka kafarah (melanggar) sumpah itu ialah memberi Makan sepuluh orang miskin, iaitu dari makanan yang biasa kamu berikan kepada keluargamu atau memberi pakaian kepada mereka atau memerdekakan seorang budak. Barang siapa tidak sanggup melakukan yang demikian, Maka kafarahnya puasa selama tiga hari. yang demikian itu adalah kafarah sumpah-sumpahmu bila kamu bersumpah (dan kamu langgar). dan jagalah sumpahmu. Demikianlah Allah menerangkan kepadamu hukum-hukum-Nya agar kamu bersyukur (kepada-Nya).”
(Surah al-Maidah: 89)
Menjawab persoalan di atas kami berpandangan tidak boleh menggabungkan antara ibadah nazar dan aqiqah dalam satu niat ini kerana kedua-duanya merupakan ibadah yang tersendiri dan tidak terkait antara satu sama lain.
Telah dinyatakan dalam al-Mausua’h al-Fiqhiyah al-Kuwaitiyyah: Jika seseorang menggabungkan dua ibadah dalam satu niat, seperti kedua ibadah tersebut ada terkaitan seperti mandi Jumaat dan mandi junub, atau junub dan haid, atau mandi Jumaat dan hari raya.Maka,ia tidak membatalkan ibadah tersebut. Namun, jika ada penggabungan antara dua ibadah yang secara khusus seperti Zohor dan rawatibnya, maka tidak sah untuk menggabungkannya dalam satu niat, kerana keduanya adalah ibadah yang tersendiri dan tidak termasuk dalam yang lain. (Lihat al-Mausua’h al-Fiqhiyah al-Kuwaitiyyah,12/24. )
Saya tutup perbincangan ini dengan marilah sama-sama kita berdoa kepada Allah:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً
Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”
Wallahu a’lam.
Bertarikh: 23 Mei 2023 bersamaan 3 Zulkaedah 1444H