#1656: Fakir Miskin Menjual Daging Korban Setelah Menerimanya

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apa hukum fakir miskin yang menerima daging korban, mereka ingin menjual daging korban itu? Ini bagi menampung keperluan harian mereka yang lain.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

فَكُلُوا مِنْهَا وَأَطْعِمُوا الْبَائِسَ الْفَقِيرَ

Maksudnya: “Dengan yang demikian makanlah kamu dari (daging) binatang-binatang korban itu dan berilah makan kepada orang yang susah, yang fakir miskin.”

(Surah al-Hajj: 28)

Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili berkata: Maka sebutlah nama Allah SWT atas sembelihan-sembelihan tersebut, makanlah sebahagian darinya, dan gunakan sebahagian yang lain untuk memberi makan kepada kepada orang yang mengalami kesusahan dan kefakiran. Perintah untuk ikut memakan daging haiwan sembelihan itu kerana masyarakat jahiliyyah menghindarkan daripada memakan haiwan korban mereka. (Lihat al-Tafsir al-Munir, 9/186)

Dalam menjawab persoalan di atas, kami nyatakan bahawa bagi golongan fakir yang telah menerima daging korban tersebut, maka mereka dibenarkan untuk menjual daging itu kerana ia telah pun menjadi milik mereka.

Syeikh Abd al-Rahman Ba ‘Alawi berkata: “Bagi golongan fakir, (dibenarkan) membelanjakan bahagian korban yang diterimanya walaupun seperti menjual barang diterima kerana telah menjadi miliknya. Berbeza dengan golongan kaya, maka tidak dibenarkan untuk melakukan perkara seperti menjualnya, namun dia boleh menggunakan bahagian korban yang diberikan itu dengan cara dimakan, disedekah, menjamu tetamu walaupun mereka kaya. Ini kerana, kedudukannya adalah seperti orang yang melakukan korban.” (Lihat Bughyah al-Mustarsyidin, hlm. 319)

Justeru, bagi penerima daging korban dari kalangan fakir miskin, maka mereka dibolehkan jika mahu untuk menjual daging tersebut. Mungkin dengan itu, mereka dapat membeli keperluan lain yang boleh meringankan beban dan tanggungan mereka seperti beras, susu anak, bahan asas memasak dan sebagainya.

Bertarikh: 23 Mei 2023 bersamaan 3 Zulkaedah 1444H