#1662: Syarat-syarat Nafar Awwal

Soalan:

Apakah syarat-syarat yang dikenakan bagi jemaah haji yang ingin melaksanakan Nafar Awwal?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Dalam melaksanakan ibadah haji, jemaah haji diberi pilihan untuk melakukan Nafar Awwal atau Nafar Thani. Tujuan Nafar Awwal dibuat adalah untuk meringkaskan tempoh pelaksanaan ibadah haji manakala Nafar Thani pula adalah bermaksud melaksanakan ibadah haji seperti biasa.

Firman Allah SWT:

فَمَن تَعَجَّلَ فِي يَوْمَيْنِ فَلَا إِثْمَ عَلَيْهِ وَمَن تَأَخَّرَ فَلَا إِثْمَ عَلَيْهِ

Maksudnya“Sesiapa yang segera (meninggalkan Mina) pada hari yang kedua, maka ia tidaklah berdosa dan sesiapa yang melambatkan (meninggalkan Mina) maka ia juga tidaklah berdosa”

(Surah al-Baqarah: 203)

Menurut Syeikh Wahbah al-Zuhaili di dalam Tafsir al-Munir menjelaskan bahawa menjadikan jamrah hanya pada dua hari (11 dan 12 Zulhijjah) sahaja tidaklah berdosa, manakala sesiapa yang melanjutkannya sehingga hari yang ketiga (13 Zulhijjah) adalah juga tidak berdosa. Maka apa yang paling afdhal ialah kekal di Mina dan bermabit padanya selama tiga hari tiga malam untuk melontar. (Lihat Tafsir al-Munir, 2/218).

ِAl-Lajnah al-Daimah dalam fatwanya menyebut: Tempoh yang diwajibkan oleh jemaah haji di Mina selepas Hari Nahar ialah dua hari iaitu pada tanggal sebelas dan dua belas Zulhijjah. Adapun pada tanggal tiga belas Zulhijjah, tidak wajib bagi orang yang mengerjakan haji di Mina, dan tidak wajib baginya untuk melontar di jamrah pada hari itu; malah ia hanya dianjurkan, melainkan dia masih berada di Mina ketika matahari terbenam pada hari kedua belas, dalam hal ini dia mesti bermalam di Mina dan melontar di tiga Jamarat selepas matahari tergelincir (zohor) pada 12 Zulhijjah.

Berkenaan dengan maksud yang disebutkan dalam ayat tersebut, jika seseorang bersegera meninggalkan Mina setelah bermalam 2 malam setelah hari al-Nahar, dan selepas melontar di tiga jamarat pada hari kesebelas dan kedua belas, maka tidak ada kesalahan dan dosa baginya dan tidak dikenakan dam padanya, Hal ini kerana dia telah melakukan apa yang telah diwajibkan daripadanya. Dan jika seseorang tinggal di Mina dan bermalam sebelum hari ketiga belas di sana, dan melontar di tiga jamarat pada hari ketiga belas, juga tidak ada kesalahan dosa ke atasnya; sebaliknya dia bermalam di Mina dan melontar di tiga jamarat pada hari itu adalah lebih baik dan akan mendatangkan pahala yang lebih besar, kerana Nabi SAW melakukan hal itu. Kemudian Allah SWT mengakhiri ayat tersebut dengan menyeru agar kita bertaqwa kepada-Nya dan beriman kepada hari akhirat. (Lihat Fatawa al-Lajnah al-Da’imah li al-Buhuth al-‘Ilmiyyah wa al-Ifta’, 11/266-267)

Setiap pelaksanaan amalan ibadah perlulah ada padanya syarat-syarat bagi menyempurnakannya. Antara syarat-syarat bagi pelaksanaan Nafar Awwal adalah seperti berikut:

  1. Jemaah haji tersebut perlu meninggalkan Mina sebelum terbenam matahari pada 12 Zulhijjah.
  2. Jemaah tersebut telah menyempurnakan kesemua lontaran di ketiga-tiga jamrah bagi dua Hari Tasyriq (11 dan 12 Zulhijjah) sebanyak 42 biji anak batu.
  3. Jemaah haji tersebut telah bermabit di Mina selama dua malam dengan sempurna.
  4. Jemaah haji perlu berqasad di dalam hatinya untuk melaksanakan Nafar Awwal sebelum keluar dari Mina dan qasad nafarnya itu perlu disegerakan dengan keluarnya.
  5. Jemaah haji tersebut tidak berazam untuk kembali bermabit di Mina. Oleh itu, dia perlulah bernafar sebelum terbenam matahari pada hari 12 Zulhijjah. Ini bermaksud jemaah tersebut telah benar-benar berjalan keluar sebelum matahari terbenam. Oleh itu, sekiranya jemaah tersebut telah memulakan perjalanannya, namun dia masih berada di dalam had kawasan mina lalu matahari telah terbenam, dalam hal ini nafar tersebut adalah dikira sah.

Kesimpulan

Nafar Awwal yang telah digariskan oleh syarak adalah satu keringanan yang diberikan kepada para jemaah haji. Keringanan ini diberi kepada mereka yang kesuntukan masa dan tergesa-gesa dalam melaksanakan ibadah haji. Dengan Nafar Awwal, ibadah haji yang sepatutnya panjang dapat disingkatkan tempohnya bagi memudahkan jemaah haji terus pulang ke Kota Makkah.

Namun begitu, pelaksanaan ibadah haji yang jarang-jarang dilakukan perlulah dititikberatkan berkenaan kesempurnaannya agar ibadah yang dilakukan diterima oleh Allah SWT.

Semoga dengan penjelasan yang diberikan dapat menghilangkan kekeliruan kepada semua. Akhir sekali, marilah kita berdoa semoga kita dijauhi dan dilindungi oleh Allah SWT daripada perkara-perkara yang dimurkai oleh-Nya seterusnya hidup dibawah rahmat-Nya. Amin.

Bertarikh: 23 Mei 2023 bersamaan 3 Zulkaedah 1444H