#1663: Pengertian Talbiah dan Waktunya

Soalan

Apakah maksud Talbiah dan bilakah waktu yang disunatkan untuk memulakannya dan bilakah waktu untuk menghabiskannya?

Jawapan

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT dan selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Nabi SAW.

Talbiah merupakan satu ucapan yang menandakan kehadiran para Jemaah Haji yang dilafazkan oleh setiap jemaah haji. Ucapan ini dilaungkan setelah berihram ketika berada di tanah suci. Maksud yang dikehendaki dari laungan talbiah ini ialah menyahut seruan Allah SWT, pembuka ucapan dan pengakuan atau ikrar, iltizam serta komitmen perjanjian dan kata-kata langsung atau berdialog dengan Allah SWT.

Lafaz talbiah adalah seperti berikut:

لَبَّيْكَ اللّٰهُمَّ لَبَّيْكَ، لَبَّيْكَ لَا شَرِيْكَ لَكَ لَبَّيْكَ، إِنَّ الْحَمْدَ وَالنِّعْمَةَ لَكَ وَاْلملْكَ لَا شَرِيْكَ لَكَ

Maksudnya: “Hamba-Mu datang menyahut panggilan-Mu ya Allah. Hamba-Mu datang menyahut panggilan-Mu. Hamba-Mu datang menyahut panggilan-Mu. Tuhan yang tiada sekutu bagi-Mu. Hamba-Mu datang menyahut panggilanMu. Sesungguhnya segala puji dan nikmat dan kerajaan adalah kepunyaanMu, tiada sekutu bagiMu.”

Hal ini bersandarkan hadith daripada Ibn ‘Umar R.Anhuma, Rasulullah SAW bersabda:

لَبَّيْكَ اللَّهُمَّ لَبَّيْكَ لَبَّيْكَ لاَ شَرِيكَ لَكَ لَبَّيْكَ إِنَّ الْحَمْدَ وَالنِّعْمَةَ لَكَ وَالْمُلْكَ لاَ شَرِيكَ لَكَ

Maksudnya: “Hamba-Mu datang menyahut panggilan-Mu ya Allah. Hamba-Mu datang menyahut panggilan-Mu, Tuhan yang tiada sekutu bagi-Mu. Hamba-Mu datang menyahut panggilanMu. Sesungguhnya segala puji dan nikmat dan kerajaan adalah kepunyaanMu, tiada sekutu bagiMu.”

Riwayat Muslim (1184)

Sunat membaca laungan talbiah ini dimulai daripada berniat ihram hingga permulaan tawaf bagi yang mengerjakan umrah dan hingga mulai melontar jamrah al-Kubra atau mulai tawaf atau bercukur mengikut amalan mana yang didahulukan bagi yang mengerjakan haji.

Dalam hadith As-Sa’ib bin Khallad, Rasulullah SAW bersabda:

أَتَانِي جِبْرِيلُ فَأَمَرَنِي أَنْ آمُرَ أَصْحَابِي أَنْ يَرْفَعُوا أَصْوَاتَهُمْ بِالإِهْلاَلِ وَالتَّلْبِيَةِ

Maksudnya: “Telah datang kepadaku Jibril A.S, maka dia memerintahkan aku untuk memerintahkan sahabat-sahabatku agar mengangkat suara-suara mereka ketika berihlal atau bertalbiah”

Riwayat al-Tirmizi (829)

Bacaan talbiah disunatkan bagi lelaki untuk menyaringkan dan meninggikan suara dan tidak pula disunatkan bagi wanita. Justeru, bacaan talbiah akan berterusan, berulang-ulang dan bergema di seluruh tanah haram Makkah dimana berkumpulnya semua jemaah haji.

Firman Allah SWT:

وَأَذِّن فِي النَّاسِ بِالْحَجِّ يَأْتُوكَ رِجَالًا وَعَلَىٰ كُلِّ ضَامِرٍ يَأْتِينَ مِن كُلِّ فَجٍّ عَمِيقٍ

Maksudnya: “Dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan ibadat Haji, nescaya mereka akan datang ke (rumah Tuhan) mu dengan berjalan kaki, dan dengan menunggang berjenis-jenis unta yang kurus yang datangnya dari berbagai jalan (dan ceruk rantau) yang jauh.”

(Surah al-Hajj: 27)

 

Kesimpulan

Talbiah sememangnya digalakkan oleh Nabi SAW bagi setiap jemaah haji. Bahkan, perkara ini dianggap sunat (mustahab). Walau bagaimanapun, jika seseorang jemaah haji itu meninggalkan perbuatan talbiah, haji yang dilakukannya tetap sah namun mereka tidak mendapat pahala fadilat talbiah tersebut. Ini jelas berdasarkan hadith di bawah:

Daripada Saidina Abu Bakar al-Siddiq R.A, bahawa Nabi SAW telah ditanya:

أَيُّ الْحَجِّ أَفْضَلُ؟ قَالَ:‏ الْعَجُّ وَالثَّجُّ‏

Maksudnya: “Apakah haji yang paling afdhal? Baginda menjawab: “Menyaringkan ucapan talbiah dan menyembelih binatang korban.”

Riwayat al-Tirmizi (827)

Kami ingin mengambil peluang di sini untuk mengingatkan para jemaah haji bahawa ibadah haji yang dilakukan adalah satu peluang yang harus digunakan dengan sebaik-baiknya. Oleh itu, gunakanlah kesempatan itu untuk memperbanyakkan lagi amalan-amalan yang mampu mendekatkan kita kepada haji yang mabrur.

Kami katakan yang talbiah merupakan penzahiran jemaah haji atas sifat kehambaannya untuk menyahut titah perintah Allah dengan sesungguh-sungguhnya. Ia hanya dilafazkan untuk pelaksanaan ibadat haji dan umrah sahaja, dan pada masa selesai berniat ihram hingga tawaf bagi umrah dan melontar bagi yang melaksanakan ibadat haji. Justeru, banyaklah menyebut dengan lidah dan hati serta penghayatan maksud dan makna talbiah itu semasa melaksanakan ibadat haji atau umrah.

Akhir sekali, marilah kita berdoa semoga kita dijauhi dan dilindungi oleh Allah SWT daripada perkara-perkara yang dimurkai oleh-Nya seterusnya hidup dibawah rahmat-Nya. Amin.

Bertarikh: 23 Mei 2023 bersamaan 3 Zulkaedah 1444H