Soalan
Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah hukum jika seseorang jemaah haji melontar pada hari 10 Zulhijjah di Jamrah al-Sughra kemudian dia menggunting rambutnya? Adakah terhasil baginya tahallul awwal dan jika tidak apakah yang perlu dia lakukan? Terima kasih.
Jawapan
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.
Tahallul bermaksud melepaskan diri daripada larangan yang disebabkan oleh ihram. Dalam ibadah haji, tahallul dibahagikan kepada dua bahagian iaitu tahallul awwal dan tahallul thani.
Imam al-Nawawi berkata: “Bagi haji ada dua tahallul, iaitu tahallul awwal (التَّحَلُّل الْأَوَّل) dan tahallul thani (التَّحَلُّل الثَّانِي). Kedua-duanya bergantung dengan tiga daripada empat amalan haji ini iaitu:
- Melontar di Jamrah al-‘Aqabah,
- Bercukur (bagi lelaki) atau bergunting (bagi perempuan dan lelaki) ,
- Tawaf bersama sa’ie jika dia belum lagi melakukan sa’ie.
Adapun menyembelih haiwan tidak termasuk dalam tahallul (التَّحَلُّلُ). Terhasilnya tahallul awwal (التَّحَلُّل الْأَوَّل) dengan dua daripada tiga amalan haji tersebut. Justeru, mana-mana dua daripada amalan haji itu yang dikerjakan, maka terhasillah tahallul awwal (التَّحَلُّل الْأَوَّل) sama ada melontar dan bercukur, atau melontar dan tawaf, atau tawaf dan bercukur.
Manakala terhasilnya tahallul thani (التَّحَلُّل الثَّانِي) pula dengan amalan haji yang berbaki daripada tiga amalan haji itu. Ini adalah mengikut mazhab yang sahih lagi terpilih jika kita berpendapat bahawa bercukur itu termasuk dalam manasik haji. Adapun jika kita berpendapat bahawa bercukur itu adalah bagi mengharuskan perkara yang dilarang (dalam ihram), maka tahallul tidak ada kaitan dengannya. Bahkan terhasil dua tahallul dengan melontar dan tawaf, dan mana-mana daripada kedua-dua amalan haji itu yang dimulakan maka dikira terhasil tahallul awwal (التَّحَلُّل الْأَوَّل).
Diharuskan dengan tahallul awwal (التَّحَلُّل الْأَوَّل) semua yang dilarang untuk dilakukan ketika berihram kecuali persetubuhan. Hal ini kerana larangan untuk bersetubuh berlanjutan sehinggalah dia selesai kedua-dua tahallul. Begitu juga diharamkan untuk bermesra-mesraan tanpa jimak (bersetubuh) mengikut pendapat yang paling sahih (sehinggalah dia selesai kedua-dua tahallul).
Apabila selesai kedua-dua tahallul, maka diharuskan baginya untuk melakukan semua larangan ihram. Jadilah dia seorang yang halal, akan tetapi masih berbaki kepadanya manasik haji seperti mabit (bermalam) di Mina, melontar pada hari-hari tasyriq dan tawaf wada’. Adapun bagi umrah pula, tidak ada padanya melainkan hanya satu tahallul iaitu dengan tawaf, sa’ie dan bercukur, sekiranya kita berpegang dengan mazhab bahawasanya ia adalah manasik. Sekiranya dia melakukan persetubuhan selepas tawaf dan sa’ie, dan sebelum bercukur, maka rosaklah umrahnya. (Lihat al-Idhah fi Manasik al-Hajj wa al-Umrah, hlm. 351-352)
Berbalik kepada persoalan di atas, jemaah haji itu telah tersilap dengan melakukan lontaran di Jamrah al-Sughra pada 10 Zulhijjah tersebut, kemudian bergunting rambutnya bagi menyempurnakan tahallul awwal. Sepatutnya dia melakukan lontaran pada hari tersebut di Jamrah al-‘Aqabah dan barulah bergunting bagi menghasilkan tahallul awwal.
Oleh yang demikian, tahallul awwal (التَّحَلُّل الْأَوَّل) bagi jemaah haji yang melakukan lontaran di Jamrah al-Sughra tersebut masih lagi belum terhasil sekalipun kemudian dia menggunting rambutnya. Hal ini kerana dia hendaklah melakukan lontaran di Jamrah al-Kubra atau Jamrah al-‘Aqabah bagi tujuan menyempurnakan tahallul awwal (التَّحَلُّل الْأَوَّل). Oleh itu, dia hanya dikira melakukan satu perkara sahaja daripada tiga amalan haji (bagi menghasilkan tahallul) iaitu bergunting atau bercukur, dan lontaran yang dilakukannya pula tidak dikira kerana tersalah melontar jamrah. Adapun perbuatan menggunting rambutnya pula tidak menjadi kesalahan kerana perkara tersebut sudah dibolehkan pada ketika itu.
Namun, Imam al-Nawawi menyatakan, mengikut tertib iaitu dimulakan dengan melontar di Jamrah al-‘Aqabah, kemudian menyembelih haiwan (al-Hadyu), kemudian bercukur, kemudian pergi ke Makkah untuk tawaf ifadhah adalah disunatkan. Namun, jika dia menyalahinya (yakni tertib tersebut) dengan mendahulukan sebahagian atas sebahagian yang lain hukumnya adalah diharuskan, tetapi luput fadhilatnya. (Lihat al-Taudhih Syarh al-Idhah fi Manasik al-Hajj wa al-‘Umrah oleh Dr Zulkifli al-Bakri, hlm. 249).
Maka yang tinggal baginya hanyalah untuk melakukan salah satu lagi daripada dua amalan haji yang berbaki bagi menghasilkan tahallul awwal (التَّحَلُّل الْأَوَّل) iaitu sama ada melontar di Jamrah al-‘Aqabah atau tawaf ifadhah bersama sa’ie jika dia belum lagi melakukan sa’ie. Kemudian, apabila selesai ketiga-tiga amalan haji ini, maka terhasillah tahallul thani (التَّحَلُّل الثَّانِي) baginya.
Kami menekankan di sini sebuah hadith yang menggambarkan toleransinya Nabi SAW pada hari 10 Zulhijjah pada sahabatnya yang melakukan amalan yang berbeza antara satu sama lain dalam mendahulukannya.
Daripada Abdullah bin ‘Amr bin al-‘As R.A, katanya:
أَنَّهُ شَهِدَ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَخْطُبُ يَوْمَ النَّحْرِ، فَقَامَ إِلَيْهِ رَجُلٌ فَقَالَ: كُنْتُ أَحْسِبُ أَنَّ كَذَا قَبْلَ كَذَا، ثُمَّ قَامَ آخَرُ فَقَالَ: كُنْتُ أَحْسِبُ أَنَّ كَذَا قَبْلَ كَذَا، حَلَقْتُ قَبْلَ أَنْ أَنْحَرَ، نَحَرْتُ قَبْلَ أَنْ أَرْمِيَ، وَأَشْبَاهَ ذَلِكَ، فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «افْعَلْ وَلاَ حَرَجَ» قَالَ لَهُنَّ كُلِّهِنَّ، فَمَا سُئِلَ يَوْمَئِذٍ عَنْ شَيْءٍ إِلَّا قَالَ: «افْعَلْ وَلاَ حَرَجَ».
Maksudnya: “Beliau menyaksikan Nabi SAW menyampaikan khutbah pada hari Nahar. Tiba-tiba ada seorang lelaki berdiri dan bertanya kepada Baginda: ‘Aku menyangka bahawa yang (perbuatan) ini dikerjakan sebelum (perbuatan) yang itu.’ Kemudian orang lain pula bangun dan bertanya kepada Baginda: ‘Aku menyangka bahawa yang (perbuatan) ini dikerjakan sebelum (perbuatan) yang itu. Aku telah bercukur sebelum menyembelih (haiwan korban). Aku telah menyembelih (haiwan korban) sebelum melontar (Jamrah).’ Dan berbagai pertanyaan yang seumpama itu. Nabi SAW menjawab: ‘Lakukanlah! Tidak mengapa,’ kepada semuanya. Pada waktu itu, tidaklah Baginda ditanya tentang sesuatu (berkenaan amalan haji) melainkan Baginda jawab dengan ucapan: ‘Lakukanlah! Tidak mengapa.’”
Riwayat al-Bukhari (1782)
Kami juga mengambil kesempatan di sini mengingatkan kepada para jemaah haji sekalian agar lebih peka dan prihatin berkenaan tempat-tempat yang seharusnya dia melontar. Hal ini kerana telah terdapat pembahagian tempat untuk melontar di antara Jamrah al-Sughra, Jamrah al-Wusta dan Jamrah al-Kubra atau Jamrah al-‘Aqabah, yang sepatutnya tidak menjadi kesilapan kepada para jemaah haji. Justeru, setiap jemaah haji perlu melihat dengan lebih teliti sebelum melakukan lontaran. Hal ini kerana perbuatan tersebut jika salah dilakukan akan memberi kesan kepada ibadah haji kita.
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.
Bertarikh: 23 Mei 2023 bersamaan 3 Zulkaedah 1444H