Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Persoalan saya, apabila si mati tidak mampu secara fizikal dan kewangan semasa hidup untuk menunaikan haji, adakah perlu untuk warisnya melakukan badal haji untuk si mati?
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga hari kiamat.
Kami nyatakan terlebih dahulu takrif bagi Badal Haji. ‘Badal’ menurut Dewan Bahasa dan Pustaka Edisi Keempat ialah mewakili bagi pihak orang lain naik haji. Manakala ‘Haji’ pada sudut bahasa bermaksud tujuan, dan pada istilah fuqaha’ bermakna menuju ke Baitullah al-Haram untuk menunaikan ibadah yang khusus berserta syarat-syarat yang khusus.(Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 2/113)
Maka yang dimaksudkan dengan Badal Haji ialah seseorang yang telah melakukan haji untuk dirinya lalu melaksanakan haji untuk orang lain, sama ada seseorang yang telah meninggal dunia atau sakit yang tiada harapan sembuh untuk melakukan ibadah haji ke tanah suci, sama ada dengan upah atau tidak.
Hukum Badal Haji
Hukum asal bagi Badal Haji adalah diharuskan oleh syara‘ menurut jumhur fuqaha’ berdasarkan hadith daripada Ibn ‘Abbas R.Anhuma katanya:
أَنَّ امْرَأَةً مِنْ جُهَيْنَةَ جَاءَتْ إِلَى النَّبِيِّ ﷺ فَقَالَتْ: إِنَّ أُمِّي نَذَرَتْ أَنْ تَحُجَّ فَلَمْ تَحُجَّ حَتَّى مَاتَتْ، أَفَأَحُجُّ عَنْهَا؟ قَالَ: نَعَمْ حُجِّي عَنْهَا، أَرَأَيْتِ لَوْ كَانَ عَلَى أُمِّكِ دَيْنٌ أَكُنْتِ قَاضِيَةً؟ اقْضُوا اللَّهَ، فَاللَّهُ أَحَقُّ بِالْوَفَاءِ
Maksudnya: “Seorang wanita dari Juhainah datang menemui Rasulullah SAW dan berkata: ‘Sesungguhnya ibuku telah bernazar untuk menunaikan haji, apakah aku perlu menunaikan haji bagi pihaknya?’. Jawab Baginda: ‘Ya, tunaikanlah haji untuknya. Apa pandangan kamu kalau ibu kamu berhutang, apakah kamu perlu melunaskannya?’. Jawabnya: ‘Ya’. Sabda Baginda: ‘Tunaikanlah hutang Allah, dan hutang Allah lebih berhak untuk dilunaskan.’”
Riwayat al-Bukhari (1852) dan al-Nasa’ie (2632)
Hadith di atas menjelaskan bahawa boleh melaksanakan haji bagi pihak yang telah meninggal dunia walaupun tidak diwasiatkan olehnya untuk berbuat demikian.
Badal Haji Bagi yang Tidak Mampu
Merujuk kepada persoalan yang dilontarkan, para ulama’ membahagikan ‘kemampuan’ kepada dua: Kemampuan dari sudut fizikal dan kemampuan dari sudut kewangan.
1) Tiada Kemampuan dari Sudut Fizikal
Bagi mereka yang telah meninggal dunia, di mana semasa hidupnya tidak mempunyai kemampuan dari sudut fizikal tetapi ada kemampuan dari sudut kewangan sahaja, maka hukum dikerjakan Badal Haji bagi pihaknya adalah wajib.
Ibadah haji merupakan salah satu rukun Islam yang lima, yang wajib ditunaikan oleh semua individu Muslim yang berkemampuan sekurang-kurangnya sekali seumur hidup. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 7/9).
Mereka ini dikira berhutang dengan Allah SWT. Imam Ibn Hajar al-Haitami berkata: “Oleh kerana haji disamakan dengan hutang, dan juga adanya tuntutan (kewajipan) untuk melunaskannya (hutang), maka ia menunjukkan kewajipan mengerjakan haji bagi pihak si mati, dan perbelanjaannya diambil daripada harta si mati.” (Lihat Tuhfah al-Muhtaj, 4/28)
Jika dia sakit dan tiada harapan untuk sembuh, ataupun meninggal dunia sebelum sempat melakukan haji, wajib dikerjakan Badal Haji untuknya berdasarkan hadith Ibn ‘Abbas R.Anhuma yang telah disebutkan di atas, sabda Nabi SAW:
اقْضُوا اللَّهَ، فَاللَّهُ أَحَقُّ بِالْوَفَاءِ
Maksudnya: “Tunaikanlah hutang Allah, dan hutang Allah lebih berhak untuk dilunaskan.”
Perkataan ‘tunaikanlah’ (اقْضُوا) adalah kata perintah berbentuk suruhan yang pada asalnya membawa maksud Wajib, selagimana tiada qarinah (tanda-tanda) daripada dalil lain yang menukarkan hukumnya kepada Sunat atau Harus.
Nabi SAW juga membuat perbandingan antara orang yang melunaskan haji yang belum dikerjakan sama melunaskan hutang yang belum dibayar oleh seseorang yang meninggal dunia. Kemudian wajib diwakilkan haji bagi si mati jika dia mampu pada masa hidupnya di mana dia tidak melaksanakan ibadat haji. Ini pun sekiranya dia mempunyai harta pusaka, jika sebaliknya, maka tidak wajib bagi waris menunaikan haji untuknya. (Lihat al-Taudhih Syarah al-Idhah, hlm. 175)
Imam al-Nawawi berkata: “Jumhur mengatakan bahawa dibolehkan untuk melaksanakan haji bagi pihak mereka yang telah meninggal, atau bagi pihak mereka yang sakit dan tiada harapan untuk sembuh.” (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Muslim, 8/27)
Mereka ini dikategorikan sebagai berkemampuan secara tidak langsung, pengarang kitab al-Fiqh al-Manhaji menyebutkan: “Berkemampuan secara tidak langsung ialah seseorang mukallaf yang memiliki harta yang mencukupi untuk mengupah orang lain mengerjakan haji bagi pihaknya sama ada semasa dia masih hidup atau selepas dia meninggal dunia. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 2/124)
Dr. Wahbah al-Zuhaili di dalam kitabnya menyatakan bahawa dibolehkan bagi seseorang itu untuk melakukan ibadah haji ke atas orang lain dalam dua keadaan:
- Uzur yang berpanjangan iaitu tubuh badannya tidak mampu untuk melakukan ibadah haji. Hal ini berkemungkinan kerana keadaannya yang sudah tua dan sakit yang tiada harapan untuk sembuh. Sedangkan dia berkemampuan dari segi harta untuk melakukan ibadah haji. Selain itu, tidak sah badal haji sekiranya tidak mendapat keizinan daripada tuan badannya sekiranya dia masih hidup.
- Meninggal dunia dan tidak sempat menunaikan ibadah haji. Maka wajib ke atas warisnya untuk menunaikan haji ke atasnya, sekiranya dia seorang berkemampuan dari segi kewangan.” (Lihat al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, 3/2098)
2) Tiada Kemampuan Dari Sudut Kewangan
Jika masih hidup:
Adapun bagi mereka yang masih hidup, tetapi tidak mempunyai kemampuan dari sudut kewangan, maka tidak sah dikerjakan Badal Haji bagi pihaknya.
Hal yang demikian kerana telah gugur kewajipan menunaikan haji bagi golongan faqir dan miskin kerana tidak termasuk dalam istita‘ah. Akan tetapi boleh jadi Allah SWT akan memberikannya kekayaan pada masa akan datang yang mana perkara tersebut mewajibkan mereka untuk menunaikan haji.
Telah dinyatakan di dalam Fatawa al-Lajnah al-Da’imah berkenaan Badal Haji bagi kaum kerabat yang mampu untuk melakukan tawaf (ada kemampuan fizikal) akan tetapi tidak mampu untuk pergi ke Makkah kerana kurang dari sudut kewangan. Mereka menjawab: “Tidak diwajibkan Badal Haji untuk mereka selagi mana mereka tidak mampu dari sudut kewangan, dan tidak sah mewakili mereka dalam menunaikan haji atau umrah. Hal ini kerana mereka mampu untuk menunaikan keduanya (haji dan umrah) dari sudut fizikal jika mereka boleh datang ke Makkah. Dan sah mewakili si mati dalam menunaikan keduanya (haji atau umrah), ataupun mereka yang tidak mampu menunaikannya secara fizikal.” (Lihat Fatawa al-Lajnah al-Da’imah, 11/52)
Jika telah meninggal dunia:
Manakala bagi mereka yang telah meninggal dunia, tidak diwajibkan untuk dikerjakan haji bagi pihaknya. Imam Ibn Hajar al-Haitami menyebutkan bahawa mereka yang telah meninggal, jika tidak meninggalkan apa-apa harta pusaka, maka tidak diwajibkan kepada sesiapa untuk melakukan haji bagi pihaknya atau mengupah orang lain melaksanakan Badal Haji bagi pihaknya. Akan tetapi disunatkan Badal Haji bagi pihak si mati sekalipun tanpa keizinan warisnya. (Lihat Tuhfah al-Muhtaj, 4/28)
Kesimpulan
Melihat kepada perbahasan di atas, kami simpulkan bahawa orang yang tidak mempunyai kemampuan dari segi fizikal dan kewangan tidaklah diwajibkan ke atasnya haji. Maka sekiranya dia meninggal dunia dan belum melakukan haji, tidak diwajibkan kepada warisnya untuk melakukan Badal Haji bagi pihaknya.
Sekalipun begitu, sunat untuk dilakukan Badal Haji bagi pihak si mati itu, tidak kira sama ada yang melakukannya adalah dari kalangan ahli warisnya sendiri ataupun orang lain.
Wallahu a‘lam.
Bertarikh: 23 Mei 2023 bersamaan 3 Zulkaedah 1444H