#1675: Kanak-kanak Baligh Ketika Melaksanakan Ibadah Haji

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apakah hukum kanak-kanak yang baligh ketika melaksanakan ibadah haji? Terima kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga hari kiamat.

Kami mulakan dengan menyebutkan hadith yang diriwayat daripada Ibn ‘Abbas R.Anhuma katanya, Rasulullah SAW bersabda:

 أَيُّما صَبيٍّ حَجَّ ثُمَّ بَلَغَ الحِنْثَ فَعَلَيْهِ أَنْ يَحُجَّ حَجَّةً أُخْرَى

Maksudnya: “Mana-mana kanak-kanak yang melakukan haji, kemudian dia mencapai baligh, maka diwajibkan ke atasnya untuk melakukan haji sekali lagi.”

Riwayat al-Baihaqi di dalam al-Sunan al-Kubra (4/325)

Hadith di atas merupakan dalil bahawa kanak-kanak dibolehkan untuk melakukan haji, dan dia mendapat pahala haji tersebut. Akan tetapi kefardhuan haji masih tidak terangkat daripadanya kerana dia tidak memenuhi salah satu syarat wajib haji selepas selesai menunaikannya iaitu baligh.

Diriwayatkan juga daripada ‘Ali bin Abi Talib katanya, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

رُفِعَ الْقَلَمُ عَنْ ثَلاَثَةٍ عَنِ النَّائِمِ حَتَّى يَسْتَيْقِظَ وَعَنِ الصَّبِيِّ حَتَّى يَحْتَلِمَ وَعَنِ الْمَجْنُونِ حَتَّى يَعْقِلَ

Maksudnya: “Tiga golongan yang tidak tercatat dosa dan pahala: orang yang tidur sehingga dia bangun tidur, kanak-kanak sehingga dia mimpi basah dan orang yang gila sehingga dia kembali berakal.”

Riwayat Abu Dawud (4403) dan al-Tirmizi (1423)

Berdasarkan hadis di atas, jelas menunjukkan bahawa kewajipan mengerjakan ibadah terangkat daripada kanak-kanak sehinggalah dia mimpi basah (baligh).

Baligh Ketika Haji

Melihat kepada persoalan di atas, sekiranya kanak-kanak tersebut baligh ketika menunaikan haji, perlu dilihat terlebih dahulu keadaannya.

Imam al-Nawawi menyebutkan perincian perkara ini di dalam al-Idhah fi Manasik al-Hajj wa al-Umrah dan al-Majmu‘:

  • Jika dia baligh selepas habisnya waktu wuquf di Arafah atau sebelum habisnya waktu Arafah dan dia telah meninggalkan Arafah serta tidak kembali ke sana selepas dia baligh, maka hajinya itu tidak dikira sebagai haji Islam.
  • Jika dia baligh semasa sedang berwuquf di Arafah, atau selepas wuquf tetapi dia kembali semula ke sana untuk berwuquf seketika selama mana waktu wukuf masih ada, maka hajinya itu dikira haji Islam atau haji fardhu.

Akan tetapi, dia wajib mengulangi sa‘ie jika dia telah bersa‘ie semasa tawaf qudum sebelum dia baligh, dan dia tidak diwajibkan membayar dam menurut pendapat yang sahih. (Lihat al-Idhah fi Manasik al-Hajj wa al-Umrah, hlm. 509;  al-Majmu‘, 7/56)

Diriwayatkan daripada Abdul Rahman bin Ya‘mar R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

 الْحَجُّ عَرَفَةُ، فَمَنْ أَدْرَكَ لَيْلَةَ عَرَفَةَ قَبْلَ طُلُوعِ الْفَجْرِ مِنْ لَيْلَةِ جَمْعٍ فَقَدْ تَمَّ حَجُّهُ

Maksudnya: “Haji itu adalah Arafah, maka siapa yang dapat (berwuquf seketika) pada malam Arafah sebelum terbitnya fajar daripada pada malam hari berkumpul itu, maka telah sempurna hajinya.”

Riwayat al-Nasa’i (3016), Abu Dawud (1949), dan al-Tirmizi (889)

Ibn Hajar al-‘Asqalani menyebutkan bahawa yang disebutkan ‘Haji itu adalah Arafah’ adalah kerana Arafah merupakan rukun haji yang terbesar. (Lihat Fath al-Bari, 11/94)

Begitu juga jika kanak-kanak tersebut baligh selepas tahallul kedua, kemudian dia kembali ke Arafah sebelum terbitnya fajar, nescaya hajinya itu dikira sebagai haji Islam. Dan juga wajib ke atasnya untuk bermalam pada hari-hari tasyriq dan melontar pada hari-hari tasyriq tersebut. (Lihat al-Idhah fi Manasik al-Hajj wa al-Umrah, hlm. 509)

Kesimpulan

Jika masih berbaki waktu untuk berwuquf di Arafah, kanak-kanak yang baligh ketika sedang menunaikan haji  tersebut perlu kembali untuk berwuquf seketika di Arafah, ini bagi memastikan dia memperoleh haji Islam dan tertunai kewajipannya sekali seumur hidup.

Akan tetapi jika ditakdirkan dia mencapai baligh selepas habis waktu berwuquf di Arafah, haji yang dilakukan tersebut tidak dikira haji Islam. Maka kewajipan haji sekali seumur hidup masih belum terangkat daripadanya.

Wallahu a‘lam

Bertarikh: 23 Mei 2023 bersamaan 3 Zulkaedah 1444H