Soalan:
Assalamualaikum w.b.t. Saya ada satu soalan. Apakah hukumnya pemandu e-hailing yang membawa penumpang beragama Kristian pergi ke gereja untuk upacara agama Kristian. Pemandu tersebut hanya mengetahui destinasi yang ingin dituju setelah mengambil penumpang kerana maklumat tersebut tidak dinyatakan sebelum mengambil penumpang. Mohon pencerahan. Terima kasih.
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t.
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Pada asasnya, sebagai seorang Muslim, kita tidak boleh membantu orang bukan Islam dalam apa-apa amalan keagamaan agama lain kerana ia melibatkan syirik dan dosa kepada Allah SWT. Firman Allah SWT:
وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ
Maksudnya: “Dan janganlah kamu saling membantu dalam perkara dosa dan permusuhan.”
(Surah al-Ma’idah: 2)
Ibn Kathir ketika menafsirkan ayat di atas menyebutkan, Allah SWT melarang kamu daripada saling membantu dalam perkara yang batil, dan (juga melarang) daripada tolong-menolong dalam perkara-perkara dosa dan perkara yang diharamkan. Menurut Ibn Jarir, dosa itu adalah meninggalkan sesuatu yang Allah SWT perintahkan untuk dia lakukan. Manakala maksud al-‘udwan adalah melampaui batasan Allah di dalam agama, dan melampaui apa yang Allah SWT telah fardhukan ke atas diri kita. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 3/7).
Justeru, berdasarkan ayat di atas, jelas bahawa perbuatan membantu orang bukan Islam ke rumah ibadat mereka termasuk dalam perkara dosa yang diharamkan. Selain itu, terdapat satu kaedah yang turut menjelaskan perkara ini, iaitu:
إِعَانَةُ الـمَعْصِيَةِ مَعْصِيَةٌ
Maksudnya: “Membantu ke arah maksiat itu merupakan suatu maksiat.” (Lihat Ma‘lamah Zayed li al-Qawa‘id al-Fiqhiyyah wa al-Usuliyyah, no.666).
Oleh itu, walaupun seseorang itu tidak melakukan maksiat atau perbuatan dosa syirik tersebut, namun perbuatannya dalam menolong orang lain untuk melakukan perbuatan maksiat akan turut dianggap sebagai maksiat.
Berbalik kepada soalan yang diajukan, pada asalnya membawa penumpang beragama Kristian atau selain Islam ke gereja atau rumah ibadat mereka adalah tidak dibolehkan kerana hal tersebut termasuk dalam perbuatan dilihat seolah-olah membantu kepada perkara maksiat dan kesyirikan. Sekiranya hal tersebut berterusan, maka dia hendaklah mencari alternatif atau pekerjaan lain yang halal yang lebih suci pendapatannya dan lebih diredhai oleh Tuhannya. Adapun jika hal itu adalah sesuatu yang mendatang atau berlaku secara tiba-tiba yang tidak dapat dielakkan sedangkan asas pekerjaannya melibatkan pemindahan atau penghantaran benda-benda yang baik (yakni yang halal), maka diharapkannya mendapat pengampunan Allah SWT dengan syarat dia mengeluarkan sebahagian pendapatannya yang sepadan dengan penghantaran yang diharamkan itu. Soalan yang hampir sama pernah diajukan kepada Dr. Solah al-Sawi dan beliau menjawab seperti mana yang kami telah nyatakan di atas. (Lihat Mausu‘ah Fatawa al-Mughtaribin, 5/445).
Seterusnya pendapatannya yang sepadan dengan penghantaran yang diharamkan boleh disalurkan atau digunakan untuk kepentingan dan maslahat umat Islam. Hal ini sebagaimana fatwa Imam al-Ghazali yang dinukilkan oleh Imam al-Nawawi dalam kitabnya bahawa sekiranya bersama seseorang itu suatu harta haram dan dia ingin bertaubat dan melepaskan diri daripada harta haram itu, maka jika harta itu mempunyai pemilik yang tertentu, hendaklah dipulangkan kepadanya atau kepada wakilnya. Jika dia sudah mati, wajib diserahkan kepada warisnya. Jika tidak diketahui siapa warisnya dan sudah berputus asa daripada mengetahuinya, maka wajib orang tadi menggunakan harta itu bagi keperluan umat Islam yang umum, seperti untuk (keperluan) jambatan, ribat-ribat (kandang kuda, tempat pengajian, atau tempat golongan Sufi berkumpul), masjid-masjid, dan keperluan jalan raya Makkah, dan seumpamanya dari segi boleh dikongsi bersama orang Islam.
Begitu juga Imam al-Ghazali menukilkan daripada Mu‘awiyah bin Abu Sufyan, dan selainnya daripada kalangan ulama salaf seperti Imam Ahmad bin Hanbal, al-Harith al-Muhasibi dan ulama yang warak selain mereka berdua, yang menyatakan bahawa kerana tidak dibenarkan untuk menghapuskan harta haram itu dan mencampakkannya ke dalam laut. Maka tiada pilihan melainkan digunakan untuk kepentingan atau maslahat umat Islam. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 9/351).
Kesimpulannya
Berdasarkan kepada kenyataan di atas, kami berpendapat bahawa seseorang Muslim yang bekerja sebagai pemandu e-hailing tidak boleh menghantar penumpang beragama Kristian ke gereja untuk upacara agama Kristian. Hal ini kerana ia termasuk dalam perbuatan membantu ke arah maksiat dan kesyirikan kepada Allah SWT. Justeru, jika dapat menolak dengan baik tanpa menjejaskan pekerjaannya itu, maka dia hendaklah melakukannya. Begitu juga jika perkara tersebut berterusan, maka pada masa yang sama dia hendaklah berusaha mencari pekerjaan lain yang lebih suci pendapatannya dan lebih diredhai oleh Allah SWT.
Walau bagaimanapun, sekiranya asas pekerjaannya itu adalah baik, di mana dia sepatutnya hanya membawa penumpang ke destinasi yang diinginkan atau dituju, dan hanya kadang-kadang sahaja dalam situasi tertentu (dan jarang berlaku) dia terpaksa membawa penumpang agama lain ke rumah ibadat mereka kerana dikhuatiri jika kerap menolak untuk membawa penumpang atau seumpamanya, maka dia boleh dibuang daripada pekerjaan tersebut atau menjejaskan pekerjaannya. Jadi, ketika dalam situasi tersebut, apatah lagi dalam keadaan yang amat sukar memperoleh pekerjaan untuk menampung hidupnya, maka tidak mengapa dan semoga Allah SWT mengampuni ketergelincirannya itu. Akan tetapi dia hendaklah mengeluarkan sebahagian pendapatannya yang sepadan dengan penghantaran yang haram tersebut (iaitu membawa penumpang agama lain ke rumah ibadat mereka), lalu disalurkan atau digunakan untuk kepentingan dan maslahat umat Islam.
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.
Wallahu a‘lam.
Bertarikh: 30 Mei 2023 bersamaan 10 Zulkaedah 1444H