Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Persoalan saya ingin bertanya, apakah hukum lintasan yang tidak elok didalam hati dikira berdosa? Ini kerana lintasan hati ini sering menimbulkan was-was akidah pada saya. Terima kasih ustaz.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan sabda Rasulullah SAW:
إِنَّ اللَّهَ تَجَاوَزَ لِي عَنْ أُمَّتِي مَا وَسْوَسَتْ بِهِ صُدُورُهَا، مَا لَمْ تَعْمَلْ أَوْ تَكَلَّمْ
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah mengampunkan bagi umatku apa yang diwas-waskan dengannya di dalam hatinya selagi mana dia tidak melakukan atau mengatakan (apa yang diwas-waskan).”
Riwayat al-Bukhari (2528)
Imam al-Nawawi menyatakan bahawa selagimana lintasan-lintasan hati itu tidak menjadi tetap seperti kekufuran dan lain-lain yang berlaku, tanpa disengajakan lalu dia segera dijauhi, maka dia tidak menjadi kafir dan tiada apa-apa yang dikenakan ke atasnya. (Lihat al-Azkar, hlm 273)
Berbalik kepada soalan yang diajukan, kami nyatakan bahawa jika sekadar lintasan untuk melakukan kejahatan, maka dia tidak dikira berdosa selagi mana dia tidak melakukannya. Sebagaimana sabda Nabi SAW:
إِنَّ اللَّهَ كَتَبَ الحَسَنَاتِ وَالسَّيِّئَاتِ ثُمَّ بَيَّنَ ذَلِكَ، فَمَنْ هَمَّ بِحَسَنَةٍ فَلَمْ يَعْمَلْهَا كَتَبَهَا اللَّهُ لَهُ عِنْدَهُ حَسَنَةً كَامِلَةً، فَإِنْ هُوَ هَمَّ بِهَا فَعَمِلَهَا كَتَبَهَا اللَّهُ لَهُ عِنْدَهُ عَشْرَ حَسَنَاتٍ إِلَى سَبْعِ مِائَةِ ضِعْفٍ إِلَى أَضْعَافٍ كَثِيرَةٍ، وَمَنْ هَمَّ بِسَيِّئَةٍ فَلَمْ يَعْمَلْهَا كَتَبَهَا اللَّهُ لَهُ عِنْدَهُ حَسَنَةً كَامِلَةً، فَإِنْ هُوَ هَمَّ بِهَا فَعَمِلَهَا كَتَبَهَا اللَّهُ لَهُ سَيِّئَةً وَاحِدَةً
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah telah menetapkan nilai kebaikan dan kejahatan, kemudian Dia menjelaskannya. Maka barangsiapa berniat mengerjakan kebaikan tetapi tidak dikerjakannya, Allah mencatatnya sebagai satu kebaikan yang sempurna. Jika ia berniat untuk berbuat kebaikan lalu ia mengerjakannya, Allah mencatatnya sebagai 10 sampai 700 kali kebaikan atau lebih banyak lagi. Jika ia berniat melakukan kejahatan, tetapi ia tidak mengerjakannya, Allah mencatatkan padanya satu kebaikan yang sempurna. Jika ia berniat melakukan kejahatan lalu dikerjakannya, Allah mencatatnya sebagai satu kejahatan.”
Riwayat al-Bukhari (6491)
Sebagai maklumat tambahan berkenaan mandi wajib, saudara boleh merujuk ke artikel kami yang bertajuk: #1215: Bisikan Atau Lintasan Hati.
Kesimpulan
Justeru itu, kami nyatakan bahawa seseorang tidak dikira berdosa selagi mana dia tidak melakukannya. Rasulullah SAW juga mengingatkan kita agar memohon perlindungan daripada Allah SWT apabila terdengar bisikan-bisikan halus tersebut dan hendaklah berusaha menghilangkannya. Dalam satu hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
يَأْتِي الشَّيْطَانُ أَحَدَكُمْ فَيَقُولُ : مَنْ خَلَقَ كَذَا ؟ مَنْ خَلَقَ كَذَا ؟ حَتَّى يَقُولَ : مَنْ خَلَقَ رَبَّكَ ؟ فَإِذَا بَلَغَهُ فَلْيَسْتَعِذْ بِاللَّهِ وَلْيَنْتَهِ
Maksudnya: “Syaitan datang kepada seseorang dalam kalangan kamu dan berkata, ‘Siapakah yang menciptakan ini? Siapakah yang menciptakan itu?,’ sehinggalah dia berkata, ‘Siapakah yang menciptakan Tuhan kamu?’ Jika sekiranya ia telah sampai kepada tahap itu, maka hendaklah dia memohon perlindungan daripada Allah SWT dan menghentikannya.”
Riwayat al-Bukhari (3276) dan Muslim (213)
Kami akhiri dengan doa yang lazimnya diamalkan oleh Rasulullah SAW:
يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ ثَبِّتْ قَلْبِي عَلَى دِينِكَ وَطَاعَتِكَ
Maksudnya: “Wahai (Tuhan) yang membolak-balikkan hati-hati, tetapkanlah hatiku atas agama-Mu dan ketaatan kepada-Mu.”
Riwayat Imam Ahmad (26133) dalam Musnad.
Bertarikh: 30 Mei 2023 bersamaan 10 Zulkaedah 1444H