Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Apa yang perlu seorang isteri lakukan pada suami yang sering melakukan dosa. Bertahun-tahun saya menasihatinya, bersabar, disakiti hati. Namun saya sentiasa memaafkan meskipun suami masih tidak berubah. Baru-baru ini berlaku ujian yang berat. Kini, kami masih serumah tetapi berasingan bilik. Apakah hukum isteri meminta cerai? Terima kasih ustaz.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Perkahwinan atau pernikahan adalah sangat dituntut di dalam Islam. Sudah menjadi fitrah manusia untuk saling berkasih sayang ini diperjelaskan di dalam Al-Quran melalui firman Allah SWT:
وَمِنْ آيَاتِهِ أَنْ خَلَقَ لَكُم مِّنْ أَنفُسِكُمْ أَزْوَاجًا لِّتَسْكُنُوا إِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُم مَّوَدَّةً وَرَحْمَةً ۚ
Maksudnya: “Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya di antaramu rasa kasih dan sayang.”
(Surah al-Rum: 21)
Namun begitu, disebalik bahagia dan romantisnya dalam sebuah rumahtangga, sudah tentu terdapat juga pasang surutnya. Antara sebab konflik dalam rumahtangga adalah penglibatan orang ketiga, tidak menghargai pasangan, stress, isu kewangan, keganasan rumahtangga dan seumpamanya.
Oleh itu, sekiranya segala usaha telah dilakukan dalam mempertahankan institusi kekeluargaan, tetapi hanya perceraian sahaja jalan keluarnya, maka Islam membenarkannya. Firman Allah SWT:
ٱلطَّلَٰقُ مَرَّتَانِۖ فَإِمۡسَاكُۢ بِمَعۡرُوفٍ أَوۡ تَسۡرِيحُۢ بِإِحۡسَٰنٖۗ
Maksudnya: “Talak (yang boleh dirujuk kembali itu hanya) dua kali. Sesudah itu bolehlah ia (rujuk dan) memegang terus (isterinya itu) dengan cara yang sepatutnya atau melepaskan (menceraikannya) dengan cara yang baik.”
(Surah al-Baqarah: 229)
Berbalik kepada soalan yang diajukan, kami nasihatkan agar saudari cuba berbincang dahulu secara baik dengan suami untuk mendapatkan solusi. Namun sekiranya segala usaha telah dilakukan dan tiada jalan lain, maka saudari boleh rujuk ke mahkamah syariah bagi permohonan cerai yakni melalui fasakh atau khuluk. Sebagai contohnya dibawah Seksyen 52: Perintah untuk membubarkan perkahwinan atau untuk fasakh
(1) Seseorang perempuan yang berkahwin mengikut Hukum Syarak adalah berhak mendapat suatu perintah untuk membubarkan perkahwinan atau untuk fasakh atas satu atau lebih daripada alasan yang berikut, iaitu:
(a) bahawa tempat di mana beradanya suami telah tidak diketahui selama tempoh lebih daripada satu tahun;
(b) bahawa suami telah cuai atau telah tidak mengadakan peruntukan bagi nafkahnya selama tempoh tiga bulan;
(c) bahawa suami telah dihukum penjara selama tempoh tiga tahun atau lebih;
(d) bahawa suami telah tidak menunaikan, tanpa sebab yang munasabah, kewajipan perkahwinannya (nafkah batin) selama tempoh satu tahun;
(e) bahawa suami telah mati pucuk pada masa perkahwinan dan masih lagi sedemikian dan isteri tidak tahu pada masa perkahwinan bahawa suami telah mati pucuk;
(f) bahawa suami telah gila selama tempoh dua tahun atau sedang mengidap penyakit kusta atau vitiligo atau sedang mengidap penyakit kelamin dalam keadaan boleh berjangkit;
(g) bahawa isteri, setelah dikahwinkan oleh wali mujbirnya sebelum dia mencapai umur baligh, menolak perkahwinan itu sebelum mencapai umur lapan belas tahun, dan dia belum disetubuhi oleh suaminya itu;
(h) bahawa suami menganiayainya, iaitu, antara lain—
(i) lazim menyakiti atau menjadikan kehidupannya menderita disebabkan oleh kelakuan aniaya; atau
(ii) berkawan dengan perempuan jahat atau hidup berperangai keji mengikut pandangan Hukum Syarak; atau
(iii) cuba memaksa isteri hidup secara lucah; atau
(iv) melupuskan harta isteri atau melarang isteri itu daripada menggunakan haknya di sisi undang-undang terhadap harta itu; atau
(v) menghalang isteri daripada menunaikan atau menjalankan kewajipan atau amalan agamanya; atau
(vi) jika dia mempunyai isteri lebih daripada seorang, dia tidak melayani isteri yang berkenaan secara adil mengikut kehendak Hukum Syarak;
(Lihat Akta Akta 303 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984)
Meskipun cerai merupakan suatu perkara yang tidak disukai Allah SWT, akan tetapi ia merupakan jalan terakhir yang diberikan bagi menjaga kemaslahatan kedua-dua pihak. Sabda Nabi SAW:
أَبْغَضُ الْحَلَالِ إِلَى اللَّهِ الطَّلَاقِ
Maksudnya: “Perkara halal yang paling dimurkai Allah adalah talak.”
Riwayat Abu Daud (2178) dan Ibn Majah (2018)
Oleh itu, Islam meraikan perasaan wanita terhadap suaminya dengan membenarkan wanita tersebut untuk menuntut pembubaran perkahwinannya apabila dia itu tidak lagi menyukai suaminya dan bimbang perasaan benci itu akan menyebabkannya dia derhaka kepada suaminya. Hal ini seperti mana hadith yang diriwayatkan oleh Ibn ‘Abbas RA:
جَاءَتِ امْرَأَةُ ثَابِتِ بْنِ قَيْسِ بْنِ شَمَّاسٍ إِلَى النَّبِيِّ صَلى الله عَلَيهِ وَسَلَّم فَقَالَتْ يَا رَسُولَ اللَّهِ مَا أَنْقِمُ عَلَى ثَابِتٍ فِي دِينٍ وَلاَ خُلُقٍ، إِلاَّ أَنِّي أَخَافُ الْكُفْرَ. فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلى الله عَلَيهِ وَسَلَّم “ فَتَرُدِّينَ عَلَيْهِ حَدِيقَتَهُ ”. فَقَالَتْ نَعَمْ. فَرَدَّتْ عَلَيْهِ، وَأَمَرَهُ فَفَارَقَهَا
Maksudnya: Isteri Thabit bin Qais telah datang kepada Rasulullah SAW dan berkata: “Wahai Rasulullah! Aku tidak mempertikaikan Thabit daripada sudut akhlak dan agamanya. Namun aku membenci kekufuran dalam Islam (mengelak daripada derhaka kepada suami). Maka Rasulullah SAW pun bersabda: Mahukah engkau mengembalikan kebunnya (maharnya)? Jawabnya: “Ya”. Lalu Rasulullah bersabda kepada Thabit: Ambillah kebunmu dan talakkanlah dia.”
Riwayat al-Bukhari (5276)
Kesimpulan
Justeru itu, sebagai seorang isteri, saudari berhak untuk menuntut cerai apabila tiada jalan keluar, sekiranya terdapat sebab yang sah disisi syarak, terutamanya apabila si suami tidak lagi menjalankan tanggungjawabnya sebagai suami, meninggalkan suruhan Allah SWT dan seumpamanya. Namun, jika sekiranya terdapat solusi diantara saudari dan suami, maka berbaiklah agar rumah tangga saudari dapat diselamatkan. Walaubagaimanapun, jika tidak ada persefahaman lagi, maka kami nasihatkan agar saudari rujuk ke Mahkamah Syariah untuk permohonan fasakh. Ketika itu, hakim yang akan memutuskannya. Selaras dengan kaedah fiqh:
أَنَّ حُكْمَ الْحَاكِمِ يَرْفَعُ الْخِلَافَ
Maksudnya: “Keputusan hakim (pemerintah) mengangkat khilaf.”
Semoga isu ini dapat diselesaikan dengan tenang dan harmoni. Kami akhiri dengan doa:
رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”
Bertarikh: 30 Mei 2023 bersamaan 10 Zulkaedah 1444H