#1684: Memakan Hamster

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Maaf mengganggu. Saya hendak bertanya mengenai status halal hamster. Sekiranya ia halal, adakah bermakna ia boleh dimakan setelah menyembelihnya? Sekiranya ia tidak halal dimakan, apakah kaedah yang dianjurkan oleh Islam untuk membunuhnya? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Definisi Hamster

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, hamster ialah sejenis binatang kecil seakan-akan tikus yang dipelihara di rumah sebagai binatang kesayangan.[1] Dalam al-Mausu‘ah al-‘Arabiyah al-‘Alamiyah (26/122) dinyatakan, hamster termasuk jenis pengerat kecil yang pendek, yang menjadi salah satu haiwan berbulu hiasan rumah. Biasanya, hamster memiliki ekor yang pendek, mulutnya basah, yang membantu dirinya untuk menampung banyak makanan. Terdapat sekitar 15 variasi hamster yang hidup.

Hamster ialah mana-mana satu daripada beberapa jenis rodensia kecil, montok, dan berbulu, yang tinggal di Eropah dan Asia. Kebanyakan jenis hamster mempunyai ekor pendek dan kantung pada pipi yang boleh diisi dengan banyak makanan. Terdapat lebih kurang 15 jenis hamster. Spesies yang paling terkenal ialah hamster keemasan dan hamster biasa.

Hamster keemasan yang juga dinamakan hamster Syria, berwarna perang kemerahan pada bahagian belakangnya, dan putih pada bahagian bawahnya. Hamster keemasan kira-kira 18 sentimeter panjangnya dan mempunyai ekor yang pendek sepanjang 13 milimeter. Beratnya kira-kira 110 gram. Hamster biasa juga dinamakan hamster perut hitam, kerana ia berbulu hitam pada bahagian bawahnya. Hamster biasa kira-kira 28 sentimeter panjangnya dan beratnya sehingga 900 gram. Hamster keemasan dan hamster biasa tinggal bersendirian dan aktif terutamanya pada waktu malam. la menggali lubang bawah tanah yang mempunyai petak berasingan untuk bersarang, menyimpan makanan, dan membuang najis. Hamster memakan banyak jenis makanan, termasuk buah-buahan, biji-bijian, tumbuhan hijau, dan sesetengah haiwan kecil.

Hamster keemasan betina bunting selama 16 hari, dan hamster biasa bunting selama 16 hingga 20 hari. Kedua-dua spesies ini biasanya melahirkan enam atau tujuh ekor anak. Hamster betina liar biasanya beranak dua kali setahun, tetapi ia boleh beranak sekerap sekali sebulan jika dipelihara. Anak hamster yang baru dilahirkan tidak berupaya sama sekali dan dijaga oleh ibunya selama kira-kira tiga minggu.

Hamster keemasan adalah haiwan kesayangan yang popular. Hamster kesayangan hendaklah disimpan dalam sangkar logam, atau kurungan kaca atau plastik. Lantai kurungan hendaklah dialas dengan tatal kayu, rumput kering, atau lain-lain bahan yang mudah menyerap. Hamster boleh diberi banyak jenis makanan, termasuk buah, sayur mentah, bijirin, oat butir atau oat kasar, dan sedikit daging. la memerlukan air bersih. Hamster kesayangan boleh hidup selama tiga hingga empat tahun.

Dari segi pengelasan saintifik, hamster tergolong dalam famili rodensia, Cricetidae. Hamster keemasan ialah Mesocricetus auratus, dan hamster biasa ialah Cricetus cricetus. (Lihat Ensiklopedia Dunia, terj. DBP, 8/159).

Hamster berbeza dengan tikus

Tidak dapat dinafikan, tikus mempunyai spesies-spesies dan jenis-jenis yang banyak. Menurut ‘Aidil Muhammad Ali, pada sebahagian penelitian bahawa tikus mempunyai 86 jenis dan terdiri daripada 720 spesies. (Lihat al-Qawaridh fi al-Watni al-‘Arabi, hlm. 75).

Bahkan al-Hafiz Ibn Hajar turut menyatakan, tikus mempunyai pelbagai jenis, seperti al-Juraz (rat), al-khuld (tikus gurun), tikus unta, tikus ikan, dan banyak lagi. Semua jenis tikus ini hukumnya sama, iaitu haram dimakan dan boleh dibunuh. (Lihat Fath al-Bari, 4/39).

Terdapat beberapa perbezaan utama yang membezakan hamster daripada tikus. Spesies hamster boleh menjadi lebih besar daripada tikus biasa. Banyak hamster ditemui dalam pelbagai warna, manakala tikus biasa cenderung berwarna coklat atau kelabu. Walau bagaimanapun, tikus juga terdapat dalam beberapa warna dan corak seperti hamster, jadi ini bukan satu-satunya cara untuk menentukannya.

Pemakanan antara hamster dan tikus juga berbeza, dengan kebanyakan hamster peliharaan memakan makanan yang lebih lengkap berbanding tikus liar. Habitat tikus juga berbeza daripada habitat hamster, kerana tikus menjalani gaya hidup yang lebih fleksibel daripada hamster. Walau bagaimanapun, hamster dan tikus yang dijinakkan tinggal di habitat yang sama.

Cara mudah untuk membezakan antara hamster dengan tetikus adalah dengan melihatnya. Hamster mempunyai kaki dan ekor yang pendek dengan badan yang agak lebar; tikus lebih langsing daripada hamster, dengan ekor yang sangat panjang dan sempit. Walaupun ia bergantung pada spesies hamster atau tikus tertentu, sesetengah hamster mempunyai bintik-bintik atau bintik-bintik warna pada mereka atau mempunyai perut putih dan belakang berwarna. Perkara yang sama juga boleh dikatakan untuk spesies tikus tertentu, walaupun banyak tikus liar adalah satu warna untuk melindungi mereka dengan lebih baik dalam persekitaran semula jadi. Walau bagaimanapun, memandangkan seberapa banyak spesies tikus yang ada, tikus berkemungkinan mempunyai lebih banyak kombinasi warna daripada spesies hamster biasa.

Selain itu, tikus mempunyai telinga dan mata yang lebih besar daripada hamster biasa, yang boleh menjadi satu lagi cara mudah untuk membezakan antara satu sama lain. Walau bagaimanapun, sesetengah hamster mempunyai telinga yang sangat besar, jadi mungkin lebih baik untuk melihat saiz dan bentuk keseluruhan badan mereka terlebih dahulu.

Dari segi diet (pemakanan), hamster dan tikus mempunyai beberapa perbezaan dalam apa yang mereka suka makan. Hamster yang dipelihara dalam kurungan menikmati pelet, jerami, buah-buahan segar dan sayur-sayuran serta biji benih. Tikus berbeza daripada hamster kerana mereka adalah omnivor yang sangat oportunistik, memakan pelbagai jenis makanan apabila mereka terjumpanya. Walau bagaimanapun, kedua-dua hamster dan tikus menyimpan makanan mereka, sama ada ia dijinakkan atau tidak.

Satu lagi perbezaan yang jelas antara hamster dan tikus ialah pada kepanjangan ekor. Tikus mempunyai ekor yang selalunya sama panjang dengan badan mereka, manakala hamster dilahirkan dengan ekor yang kecil. Kebanyakan ekor hamster hanya beberapa sentimeter panjangnya, manakala ekor tikus adalah beberapa inci panjangnya. Padahal tikus memerlukan ekor mereka terutamanya untuk keseimbangan, hamster nampaknya dapat bergerak dengan baik tanpa ekor yang sangat panjang. Tikus sering mendapati diri mereka dalam lebih banyak senario akrobatik daripada hamster biasa, jadi sesuailah mereka mempunyai ekor yang panjang untuk membantu mereka mengimbangi.

Perbezaan terakhir antara hamster dan tikus dapat dilihat melalui tingkah laku keseluruhan mereka. Tidak kira baka atau status peliharaan hamster atau tikus, tingkah laku mereka berbeza-beza. Sebagai contoh, hamster adalah makhluk malam yang sangat aktif, manakala tikus aktif hanya selama beberapa jam dalam sehari, termasuk waktu malam. Hamster juga sangat mesra dan mudah mesra, manakala tikus cenderung lebih pemalu dan ingin tahu secara keseluruhan, memanaskan diri kepada pemiliknya tepat pada masanya.[2]

Hukum memakan hamster

Sebelum menjawab soalan yang diajukan, terdapat kaedah menyebutkan bahawa hukum asal — yakni dalam menentukan status halal — bagi suatu haiwan darat itu adalah harus dan halal dimakan selagi mana tiada dalil yang mengharamkannya. Firman Allah SWT:

أُحِلَّتْ لَكُم بَهِيمَةُ الْأَنْعَامِ إِلَّا مَا يُتْلَىٰ عَلَيْكُمْ

Maksudnya: “Dihalalkan bagi kamu (memakan) binatang-binatang ternak (dan sebagainya), kecuali apa yang akan dibacakan (tentang haramnya) kepada kamu.”

(Surah al-Ma’idah: 1)

Tambahan lagi, Syeikh Muhammad bin Soleh juga ada menyebutkan bahawa hukum asal bagi suatu makanan itu adalah halal melainkan adanya dalil yang mengharamkannya. Jika timbul keraguan dalam diri kita mengenai suatu makanan itu, yakni adakah ia halal ataupun haram. Maka, ia dihukumkan sebagai halal sehinggalah jelas kepada kita bahawa hukumnya adalah haram. Hal ini adalah berdasarkan kepada firman Allah SWT:

هُوَ الَّذِي خَلَقَ لَكُم مَّا فِي الْأَرْضِ جَمِيعًا

Maksudnya:Dia lah (Allah) yang menjadikan untuk kamu segala yang ada di bumi.

(Surah al-Baqarah: 29)

Ayat di atas merangkumi segala sesuatu yang ada di atas muka bumi ini yang terdiri daripada haiwan-haiwan, tumbuh-tumbuhan, pakaian dan sebagainya. Begitu juga firman Allah SWT:

وَسَخَّرَ لَكُم مَّا فِي السَّمَاوَاتِ وَمَا فِي الْأَرْضِ جَمِيعًا مِّنْهُ

Maksudnya: “Dan Dia (Allah) telah menundukkan untukmu apa yang di langit dan apa yang di bumi semuanya, (sebagai rahmat) daripada-Nya.”

(Surah al-Jathiyah: 13)

Begitulah juga dalam sebuah riwayat daripada Abu al-Darda’ bahawa Rasulullah SAW bersabda:

ما أَحَلَّ اللهُ فِي كِتَابِهِ فَهُوَ حَلَالٌ، وَمَا حَرَّمَ فَهُوَ حَرَامٌ، وَمَا سَكَتَ عَنْهُ فَهُوَ عَفْوٌ

Maksudnya:Apa yang Allah SWT halalkan dalam kitab-Nya, maka ia adalah halal. Apa yang Allah SWT haramkan, maka ia adalah haram, dan apa yang didiamkan mengenainya, maka ia adalah dimaafkan.”

Riwayat al-Bazzar (4087) dan al-Tabarani dalam Musnad al-Syamiyyin (2102).

Oleh yang demikian, hukum asal bagi seluruh haiwan adalah halal sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan keharamannya. (Lihat Fatawa Nur ‘ala al-Darb, 20/2).

Berbalik kepada soalan yang ditanyakan, secara umumnya, hamster tergolong dalam jenis haiwan hasyarat al-ardh (حَشَرَاتِ الْأَرْضِ) sepertimana kala jengking, kumbang, lipas, tikus dan seumpamanya. Dalam bahasa mudahnya, hasyarat ialah haiwan kecil yang melata di bumi dan haiwan kecil perosak. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 17/278).

Berkenaan kehalalan hasyarat (hukum memakannya), ringkasnya terdapat dua pendapat ulama. Pendapat pertama menyatakan semua hasyarat adalah haram untuk dimakan kerana dianggap sebagai haiwan yang jijik dan kotor serta tabiat yang sihat menjauhinya. Inilah pendapat ulama mazhab Hanafi, Syafi‘i dan Hanbali. Mereka mengecualikan daripada hasyarat itu belalang kerana umat telah bersepakat mengenai kehalalannya.

Selain itu, ulama mazhab Syafi‘i dan Hanbali turut mengecualikan dhab kerana ia termasuk dalam jenis haiwan hasyarat yang halal untuk dimakan. Begitu juga ulama mazhab Hanbali mengecualikan jerboa dan wabar (hyrax) dan berpendapat kedua-duanya adalah halal untuk dimakan. Manakala ulama mazhab Syafi‘i menambah lagi (selain daripada jerboa dan wabar) dengan turut mengecualikan ummu hubain (trapelus), landak dan bint ‘irs (weasel), dan berpendapat ia adalah halal untuk dimakan.

Manakala pendapat kedua menyatakan semua jenis hasyarat adalah halal untuk dimakan. Ini merupakan mazhab Maliki, yang pada asalnya terdapat dua riwayat mengenainya. Kemudian mazhab telah bersetuju dengan pendapat ini. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 17/279).

Selain daripada itu, Imam al-Nawawi ada menyatakan bahawa mazhab kami (mazhab Syafi‘i), Abu Hanifah, Ahmad dan Daud berpendapat, haram untuk memakannya. Manakala Imam Malik pula berpendapat, ia adalah halal untuk dimakan. Keharusan ini adalah berdasarkan kepada firman Allah SWT:

قُل لَّا أَجِدُ فِي مَا أُوحِيَ إِلَيَّ مُحَرَّمًا عَلَىٰ طَاعِمٍ يَطْعَمُهُ إِلَّا أَن يَكُونَ مَيْتَةً أَوْ دَمًا مَّسْفُوحًا أَوْ لَحْمَ خِنزِيرٍ

Maksudnya:Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Aku tidak dapati dalam apa yang telah diwahyukan kepadaku, sesuatu yang diharamkan bagi orang yang hendak memakannya melainkan kalau benda itu bangkai, atau darah yang mengalir, atau daging babi.’

(Surah al-An‘am: 145)

Begitu juga, terdapat riwayat daripada al-Talib bin Tha‘labah al-Tamimi R.A, beliau berkata:

صحِبْتُ النَّبيَّ صلّى اللهُ عليه وسلَّم فلم أسمَعْ لحشَرةِ الأرضِ تحريمًا

Maksudnya: “Aku telah bersahabat dengan Nabi SAW dan tidak mendengar mengenai pengharaman hasyarat (serangga dan haiwan kecil yang melata).”

Riwayat Abu Daud (3798)

Manakala Imam al-Syafi‘i dan para ashabnya pula berhujah berdasarkan kepada firman Allah SWT:

وَيُحَرِّمُ عَلَيْهِمُ الْخَبَائِثَ

Maksudnya: “dan ia mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk.”

(Surah al-A‘raf: 157)

Menurut mereka (Imam al-Syafi‘i dan para ashabnya), makna ayat ini ialah apa-apa yang dianggap jijik dan kotor oleh orang Arab. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 9/16).

Seterusnya, Imam al-Nawawi juga ada menjawab hujah-hujah yang dikemukakan oleh mereka yang mengharuskan untuk memakan hasyarat (termasuklah ular) iaitu firman Allah SWT dalam surah al-An‘am ayat 145 dan hadith al-Talib sebahagaimana yang telah disebutkan di atas. Imam al-Nawawi menyatakan, adapun ayat tersebut, Imam al-Syafi‘i dan ulama selainnya berpendapat, maknanya adalah daripada apa-apa makanan yang kamu makan dan kamu suka (tidak menganggapnya jijik). Imam al-Syafi‘i menambah, inilah maknanya yang lebih aula (utama) berdasarkan dalil al-Sunnah. Wallahu a‘lam. Adapun hadith al-Talib pula, sekalipun ia hadith yang thabit, tetap tidak boleh menjadi dalil. Hal ini kerana perkataannya yang mengatakan beliau tidak mendengar mengenai pengharaman hasyarat, tidak menunjukkan perkara tersebut tidak didengari oleh sahabat yang lain. Wallahu a‘lam. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 9/16-17).

Kesimpulannya

Oleh itu, berdasarkan kepada kenyataan dan perbincangan di atas, kami berpendapat bahawa hamster haram untuk dimakan kerana ia termasuk dalam jenis hasyarat dan hasyarat pula haram untuk dimakan disebabkan oleh ia dianggap sebagai jijik dan kotor (istikhbath). Inilah pendapat yang dilihat lebih selamat dan ihtiyat (berhati-hati) Apatah lagi, tidak dinyatakan terdapatnya pengecualian ke atas hamster seperti mana diberikan kepada jerboa dan lain-lain daripada jenis haiwan hasyarat yang dikecualikan. Firman Allah SWT:

وَيُحَرِّمُ عَلَيْهِمُ الْخَبَائِثَ

Maksudnya: “Dia mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk.”

(Surah al-A‘raf : 157)

Ayat ini menunjukkan bahawa diharamkan segala apa yang jijik pada jiwa seperti bangkai dan darah, serta orang yang memakannya dianggap fasik.  Dalam kata lain, semua benda yang dianggap kotor pada tabiat manusia dan dirasakan jijik pada jiwa adalah diharamkan kerana ia menjadi sebab kepada sakit. Lalu apa sahaja yang memudaratkan hukum asalnya adalah haram. Justeru setiap yang jijik pada tabiat manusia pada asalnya adalah haram, melainkan terdapat dalil yang menyatakan hukum sebaliknya. (Lihat Mafatih al-Ghaib, 15/381).

Sekalipun ia tidak halal untuk dimakan, bukanlah bermaksud ia boleh dibunuh sewenang-wenangnya dengan menganggap hukumnya adalah seperti tikus iaitu diperintahkan untuk dibunuh sebagaimana hadith, Nabi SAW bersabda:

خَمْسٌ فَوَاسِقُ، يُقْتَلْنَ فِي الحَرَمِ: الفَأْرَةُ، وَالعَقْرَبُ، وَالحُدَيَّا، وَالغُرَابُ، وَالكَلْبُ العَقُورُ

Maksudnya: “Lima binatang fawasiq (yang mendatangkan kerosakan) boleh dibunuh di Tanah Haram: Tikus, kala jengking, helang, gagak, dan anjing yang ganas.”

Riwayat al-Bukhari (3314; 1826) dan Muslim (1198)

Di sana terdapatnya haiwan yang menyerupai atau mirip kepada tikus iaitu jerboa, tetapi ia dihukumkan sebagai halal berbeza hukumnya dengan tikus. Perbincangan lanjut mengenai jerboa, bolehlah merujuk kepada artikel kami dalam Ahkam Syar‘iyyah yang bertajuk: #1100: Makan Jerboa.[3] Hamster bukanlah tikus sekalipun ia menyerupai tikus. Atas dasar itu, dibolehkan untuk memeliharanya sebagai haiwan peliharaan meskipun meninggalkan perbuatan memeliharanya adalah lebih baik dan jauh daripada syubhah. Perbahasan lanjut berkenaan hal ini, bolehlah merujuk kepada artikel kami dalam Ahkam Syar‘iyyah yang bertajuk: #803: Pelihara Hamster.[4]

Oleh itu, kami berpendapat tidak boleh membunuh hamster melainkan ia mendatangkan kerosakan, memberi mudarat dan mengganggu manusia.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahu a‘lam.

[1] Lihat https://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=hamster. Diakses pada 24 Mei 2023.

[2] Lihat https://a-z-animals.com/blog/hamster-vs-mouse/. Diakses pada 24 Mei 2023.

[3] Lihat https://maktabahalbakri.com/1100-makan-jerboa/. Diakses pada 24 Mei 2023.

[4] Lihat https://maktabahalbakri.com/803-pelihara-hamster/. Diakses pada 24 Mei 2023.

Bertarikh: 30 Mei 2023 bersamaan 10 Zulkaedah 1444H